https://critoxium.com/shop/

Terkini

Menjelang Syawal: 90 peratus perantau dijangka balik kampung

 

KUALA LUMPUR: Menjelang ketibaan Syawal, hampir 90 peratus perantau dijangka meninggalkan kediaman dalam tempoh yang panjang untuk pulang ke kampung atau bercuti ke pelbagai destinasi.

Serentak dengan itu, kira-kira 4,000 pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan 2,000 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan digerakkan di seluruh negara melakukan pencegahan bagi membendung kejadian jenayah seperti kecurian atau pecah rumah

Penolong Pengarah Unit Kereta Peronda (MPV), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Che Haniza Che Senapi, meminta warga kota yang meninggalkan kediamannya mengisi borang balik kampung di balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

"Ia bertujuan memaklumkan kepada balai polis berhampiran mengenai pergerakan mereka bagi membolehkan MPV dan URB membuat rondaan di kawasan kediaman bagi mengelakkan kes jenayah membabitkan kecurian atau pecah rumah.

"JKKP, unit MPV dan URV membabitkan kira-kira 4,000 anggota (MPV) dan 2,000 anggota (URB) akan digerakkan sepenuhnya untuk menurunkan kadar jenayah.

"Sehubungan itu, kita memohon kerjasama orang ramai supaya pergi ke balai polis berhampiran dan melaporkan pergerakan mereka dengan mengisi borang balik kampung.

Penolong Pengarah MPV, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Asisten Komisioner Che Haniza Che Senapi (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam Program Bicara BH di balai Berita Bangsar, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Penolong Pengarah MPV, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Asisten Komisioner Che Haniza Che Senapi (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam Program Bicara BH di balai Berita Bangsar, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

"Apabila mereka memaklumkan, PDRM ada rekod dan pelaksanaan untuk rondaan pencegahan jenayah berdasarkan data yang kita dapat di mana kawasan tumpuan," katanya dalam Program Bicara BH, di sini.

Di bawah beliau kongsikan tip mengurangkan risiko kecurian iaitu;

1. Kunci pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah walaupun untuk masa yang singkat.

2. Tutup semua suis elektrik, air dan gas.

3. Jangan sembunyikan kunci rumah di dalam pasu, bawah alas kaki ataupun dalam rak kasut di luar rumah.

4. Jangan tinggal nota menunjukkan anda tiada di rumah.

5. Hentikan hantaran pesanan harian (surat khabar) apabila anda tiada di rumah untuk beberapa hari.

6. Pasang semula 'mangga' atau kunci rumah yang baharu jika anda kehilangan anak kunci atau penyewa rumah bertukar.

7. Elakkan dari memberi kunci rumah kepada kontraktor.

8. Simpan tangga dan peralatan (tools) di tempat yang selamat supaya tidak digunakan oleh penceroboh.

9. Wujudkan suasana rumah yang berpenghuni seperti bunyi radio dan lampu terpasang pada waktu malam (guna timer, alat kawalan waktu).

10. Cabut talian telefon bagi mengelak telefon berdering berterusan atau pasang sistem pesanan, simpanan suara (jangan maklum anda tiada di rumah).

11. Sertai program kejiranan khususnya bersama polis untuk mengenali serta meningkatkan kerjasama antara komuniti dan polis.

12. Berikan nombor talian anda yang boleh dihubungi kepada talian balai polis yang berhampiran semasa membuat pemakluman pergerakan di balai polis.

13. Pastikan kebersihan persekitaran rumah supaya tidak ditumbuhi lalang dan semak samun yang boleh dijadikan tempat persembunyian penceroboh.

14. Pastikan sekitar kawasan pagar tidak mempunyai pokok yang boleh digunakan penceroboh untuk memasuki rumah dengan mudah.

15. Orang ramai dikehendaki menyimpan nombor telefon balai polis dan IPD berhampiran kediaman masing-masing di dalam telefon bimbit.

16. Memaklumkan pergerakan pergi dan balik kampung kepada jiran sebelah.

Tip tambahan

1. Pintu utama dan pintu belakang perlu dibuat daripada bahan yang kukuh dan dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti.

2. Pasang 'door viewer' dan penyelak di pintu utama.

3. Pasang jeriji berkunci pada pintu dan tingkap rumah.

4. Pasang lampu (guna lampu yang jimat tenaga dan mesra alam yang mempunyai alat pengesan untuk kawalan di luar rumah)

5. Pasang alat keselamatan tambahan seperti penggera dan kamera litar tertutup.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.