Cuaca panas, gelombang haba ujian daripada Allah
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni
Kesan daripada perubahan iklim, suhu di pelbagai negara Asia termasuk Malaysia kini meningkat dan mencatat rekod lebih tinggi berbanding biasa. Keadaan yang berlaku secara berterusan ini disebut sebagai 'gelombang haba' yang boleh mengakibatkan risiko kesihatan seperti dehidrasi, kekejangan panas, keletihan haba dan strok haba yang boleh membawa maut. Malah menurut Jabatan Meteorologi, Malaysia dijangka akan mengalami fenomena El Nino yang boleh mengakibatkan kemarau kering sehingga September depan.
Kita meyakini panas dan sejuk tabiat alam semula jadi yang ditetapkan oleh Allah SWT. Malah, kedua-duanya boleh menyebabkan kematian sekiranya kawasan yang mengalami iklim panas terdedah kepada cuaca panas yang melampau atau kawasan yang mengalami iklim sejuk terdedah kepada cuaca sejuk yang ekstrem.
Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Neraka pernah mengadu kepada Tuhannya seraya berkata: 'Wahai Tuhanku, sebahagianku telah memakan sebahagian yang lain.' Lalu, Dia pun mengizinkan neraka dengan dua hembusan nafas, satu nafas pada musim sejuk dan satu nafas lagi pada musim panas. Maka, itulah dia (sebab) hawa paling panas yang kamu sekalian dapat rasakan dan juga hawa paling sejuk yang kamu sekalian dapat rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan cuaca paling panas yang manusia rasai itu adalah daripada kepanasan neraka Jahanam dan cuaca paling sejuk yang manusia rasai pula adalah daripada kesejukan neraka Jahanam. Sedangkan apa yang dirasai itu sebenarnya adalah suatu peringatan kepada mereka bahawa dunia ini adalah tempat ujian semata-mata dan bukannya tempat tinggal yang abadi.
Bagi orang yang berfikir, terdapat banyak bukti jelas tentang kewujudan perkara ghaib yang Allah SWT perintahkan manusia beriman dengannya. Ketika Allah SWT memerintahkan manusia supaya mempercayai Hari Akhirat serta kewujudan syurga dan neraka sebagai tempat balasan bagi kebaikan atau kejahatan yang mereka lakukan, Dia turut mewujudkan tanda yang dapat menunjukkan kebenaran adanya kedua-dua tempat balasan tersebut. Selain melalui perkhabaran wahyu yang diturunkan kepada sekalian nabi dan rasul-Nya, Allah SWT juga mengisyaratkannya secara nyata melalui cuaca panas atau cuaca sejuk ekstrem yang dialami oleh mereka.
Kata Imam al-Hasan al-Basri: "Setiap cuaca sejuk yang membinasakan sesuatu, maka ia adalah daripada nafas neraka Jahanam dan setiap cuaca panas yang membinasakan sesuatu, maka ia juga adalah daripada nafas neraka Jahannam."
Oleh kerana dunia yang fana ini tempat ujian, sewajarnya kenikmatan dirasai mengingatkan manusia kepada kenikmatan syurga yang abadi serta mendorong mereka berusaha untuk memperolehnya. Kesengsaraan pula sewajarnya mengingatkan kepada kesengsaraan neraka yang abadi serta mendorong mereka berusaha menjauhinya. Sekurang-kurangnya dengan berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT.
Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Jika hari begitu panas, lalu seseorang berkata: 'La ilaha illallah, alangkah sangat panasnya hari ini. Ya Allah, lindungilah daku daripada kepanasan neraka Jahanam'. Maka, Allah berfirman kepada neraka Jahanam: 'Sesungguhnya ada seorang hamba daripada hamba-Ku yang berlindung dengan-Ku daripada kepanasanmu. Maka, Aku persaksikan kamu bahawa Aku sesungguhnya telah melindunginya'. Dan jika hari begitu sangat sejuk, lalu seseorang berkata: 'La ilaha illallah, alangkah sangat sejuknya hari ini. Ya Allah, lindungilah daku daripada kesejukan neraka Jahanam'. Maka, Allah berfirman kepada neraka Jahannam: 'Sesungguhnya ada seorang hamba daripada hamba-Ku yang berlindung dengan-Ku daripada kesejukanmu. Maka, Aku persaksikan kamu bahawa Aku sesungguhnya telah melindunginya." Para sahabat bertanya: 'Apakah kesejukan neraka Jahannam itu?' Jawab baginda: 'Suatu tempat yang orang kafir akan dicampakkan ke dalamnya sehingga terlerai tubuhnya antara satu sama lain disebabkan terlalu sejuknya." (Riwayat Ibn as-Sunni dengan sanad daif)
Cuaca yang sangat panas adalah suatu ujian namun kita dibenarkan untuk melindungi diri daripadanya. Rasulullah SAW bersabda: "Jika panas menjadi sangat terik, maka tunggulah hingga sejuk sedikit untuk bersolat (Zuhur) kerana panas yang sangat terik itu adalah daripada hembusan neraka Jahanam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW pernah melihat seorang lelaki sedang berdiri di bawah terik matahari, lalu baginda pun bertanya mengenainya. Maka, sahabat menjawab: "Itu Abu Isra'il, beliau telah bernazar untuk berdiri, tidak akan duduk, tidak akan berteduh dan tidak akan bercakap di samping berpuasa." Lalu Nabi SAW bersabda: "Suruhlah dia untuk bercakap, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya." (Riwayat al-Bukhari)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.