https://critoxium.com/shop/

Terkini

HAWANA: "Pengumuman penting" Anwar dinanti pengamal media


 

IPOH: Hari yang dinanti-nantikan kira-kira 1,000 pengamal media yang berkampung di sini bermula Jumaat lepas bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, kini tiba dengan tumpuan semestinya kepada ucapan perasmian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang ini.
 
Pastinya ia detik yang dinantikan seluruh pengamal media di negara ini lebih-lebih lagi selepas Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi, Fadzil semalam mengesahkan Perdana Menteri akan membuat beberapa pengumuman penting berkenaan hala tuju industri media.
 
Anwar pada majlis sambutan hari ini juga akan menyampaikan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga penerima terdiri daripada wartawan veteran yang menghadapi masalah daripada aspek kesihatan dan kesukaran hidup. 
 
 
Sebelum acara kemuncak pada sebelah petang, antara tumpuan HAWANA 2023 yang bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" pada sebelah pagi hari ini semestinya forum media anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
 
Forum bertemakan "Masa Depan Media" itu akan dirasmikan Fahmi dan dijangka disertai kira-kira 150 peserta merangkumi wartawan, koresponden dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun, Kuwait selain Malaysia
 
.Sambutan HAWANA 2023 membuka tirai semalam dengan pelepasan "Media Hunt HAWANA", iaitu pertandingan mencari harta karun bermula dari Wisma Bernama di Kuala Lumpur ke Ipoh melibatkan kira-kira 120 peserta dengan hampir 40 kenderaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Ni Ching.
 
Karnival Mini HAWANA 2023 diteruskan hari ini yang menawarkan pelbagai acara menarik kepada pengunjung dengan aktiviti seperti slot interaksi bersama personaliti Bernama, sesi 'pocket talk' 'sayadigital' serta sesi temu mesra bersama artis dan selebriti tempatan.
 
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
 
Sambutan HAWANA 2023 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan pelaksanaannya dikendalikan Bernama. - BERNAMA

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.