https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenaikan OPR: Rafizi tolak kebimbangan disuarakan Hassan


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata dia bertemu dan berbincang panjang lebar dengan Hassan Abdul Karim sebelum ahli parlimen Pasir Gudang itu membuat kenyataan mengenai kebimbangannya terhadap kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara.

Rafizi yang juga timbalan presiden PKR itu juga menjelaskan kebimbangan yang dinyatakan Hassan itu sebagai suatu kesilapan.

“Kami bertemu pada hari Jumaat, malam sebelum dia membuat kenyataan. Saya beritahu dia supaya jangan terikut-ikut sentimen pembangkang.

“Jika dia takut isu OPR dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) menjejaskan undi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dia silap; ada banyak lagi faktor yang akan menjejaskan pengundian.

"Saya sudah beritahu dia,” kata Rafizi seperti dipetik Malay Mail.

Pada 6 Mei lalu Hassan meminta Rafizi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan kepada rakyat mengenai kenaikan 25 mata asas OPR seperti diumumkan Bank Negara baru-baru ini.

Kata Hassan dia dia tidak mahu rakyat yang tidak berpuas hati "menempelak" kerajaan berhubung perkara itu dalam pilihan raya di enam negeri akan datang.

"Bank Negara ada alasannya kenapa Kadar OPR itu dinaikkan. Kita bersangka baik kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPN) Bank Negara yang membuat keputusan menaikkan kadar OPR itu. BNM mungkin melihat kepentingan ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang.

"Tetapi Bank Negara juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan sekarang pimpinan Anwar yang sedang berusaha untuk membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut untuk hidup berdepan dengan krisis kos sara hidup yang parah," katanya.

Menurut Rafizi, Hassan sebenarnya sentiasa boleh berhubung dengan dia atau Anwar secara langsung untuk bertanyakan sebarang soalan sama ada mengenai perkara yang dibangikitkan itu dan hal lain.

Walaupun tidak menerima taklimat peribadi daripada Bank Negara berhubung justifikasi mereka menaikkan OPR tersebut, Rafizi berkata, dia bersetuju dengan langkah itu bagi menyokong nilai ringgit di pasaran pertukaran asing.

“Jika kita tidak menaikkannya, kita mungkin menghadapi masalah untuk menarik dan mengekalkan pelabur asing ke Bursa Malaysia.

"Jadi, kenaikan itu adalah rancangan jangka panjang Bank Negara," katanya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.