https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan Perpaduan perlu pastikan kerjasama terus kukuh, stabil

 


Oleh Zanariah Abd Mutalib -

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan, Ahad lalu, melakar sejarah apabila menghimpunkan hampir 10,000 pemimpin dan ahli parti komponen kerajaan, yang 'dulunya lawan, kini kawan' di pentas sama.

Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) menjadi saksi kepada kesepakatan termeterai antara 19 parti komponen selepas enam bulan terbentuknya Kerajaan Perpaduan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus melupakan persengketaan antara sesetengah parti yang sudah memakan masa berdekad-dekad lamanya.

Mereka bertekad memastikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal utuh hingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dengan menzahirkan komitmen untuk mengekalkan kestabilan politik, walaupun berbeza ideologi.

Konvensyen yang julung kali itu, turut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Buat Malaysia, ditandatangani 19 ketua parti komponen, dengan lima tekad untuk memperkasa pentadbiran, meningkatkan ketelusan, memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Pada masa sama, Wanita dan Pemuda Kerajaan Perpaduan, masing-masing turut menzahirkan lima tekad, dengan matlamat sama, menggambarkan kesepaduan sayap itu untuk mendokong aspirasi kerajaan.

Ketika desas-desus mengenai wujudnya gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan masih belum berakhir, Perdana Menteri menggunakan pentas besar konvensyen itu untuk meyakinkan rakyat bahawa pentadbirannya kini dalam keadaan kukuh dan stabil.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan, kejayaan konvensyen itu membuktikan kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan tergugat dan mampu kekal mentadbir negara sekurang-kurangnya hingga PRU16.

Keyakinan beliau itu diperkukuh lagi dengan komitmen daripada ketua parti komponen, baik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk melangkah bersama-sama dengan beliau, mentadbir dan menguruskan negara.

Ini bukan kali pertama Perdana Menteri menegaskan keutuhan kerajaan pimpinannya, selepas bertiupnya khabar angin ada ahli Parlimen kerajaan yang akan beralih sokongan, dengan terbaru beberapa pimpinan pembangkang mendakwa ia mempunyai sokongan hingga 126 Ahli Dewan Rakyat.

Fokus laksana tata kelola baik

Selain terus menekankan prinsip untuk kerajaan pimpinannya melaksanakan tata kelola yang baik dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa masalah yang membelenggu rakyat akan terus diberi keutamaan.

Isu air di Kelantan dan Sabah akan diselesaikan tahun ini, dengan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, selain memenuhi semua tuntutan yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, tidak dapat dinafikan, sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan seperti disyorkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada parti mendapat majoriti pada PRU15, kesepakatan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa dipersoal, terutama antara PH dan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin parti gabungan menyerang sesama sendiri secara terbuka, malah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, yang dijangka pada Julai atau Ogos ini, sudah mula kedengaran bibit-bibit pertelagahan dalam urusan pembahagian kerusi.

Tidak mahu masalah itu terus mengganggu-gugat keharmonian cuba dipertahankan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan tertutup dengan Ketua Bahagian UMNO sempena konvensyen itu menggesa supaya keserasian antara 19 parti itu disegerakan.

Gesaan Timbalan Perdana Menteri itu juga turut dizahirkan rakan sejawatnya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang meminta semua parti mencari titik persamaan untuk memperkukuh perpaduan, bukan menumpukan kepada perbezaan.

Malah, Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam nada sama, mahu pimpinan parti berusaha membawa kerjasama dan kestabilan di peringkat kerajaan ke peringkat ahli parti serta akar umbi.

Bagi sesetengah pemimpin dan penyokong parti, mungkin bukan sesuatu mudah untuk bersahabat dengan musuh tradisi, lebih-lebih lagi bukan atas kerelaan sendiri, sebaliknya kerana menurut kehendak parti, yang disifatkan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti 'kahwin paksa'.

Bukan hanya dalam kalangan pemimpin BN, beberapa pemimpin DAP sendiri mengakui mereka tidak pernah terfikir untuk hadir ke WTC, tempat yang sinonim dengan UMNO, malah berkongsi pentas sama atas nama Kerajaan Perpaduan.

Dengan baki menjelangnya PRN sekitar dua bulan lagi, mahu atau tidak, 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan ini perlu bersatu dalam erti kata sebenar, dari peringkat atas sehingga ke bawah.

PRN adalah gelanggang pertama akan menguji kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan, bermula daripada agihan kerusi, kempen sehingga menerima keputusan yang ditentukan rakyat kelak.

Dengan keyakinan Perikatan Nasional (PN) bahawa 'gelombang hijau' mampu menakluk enam negeri pada PRN nanti, ini bukan masanya untuk parti komponen Kerajaan Perpaduan mengungkit kisah lama atau mahu menunjukkan siapa lebih dominan.

Mereka sebaliknya perlu sederap melangkah membuktikan kerjasama yang dikatakan 'kerana terpaksa' itu berhasil dan merekalah kestabilan yang amat didambakan rakyat.

Penulis adalah wartawan BH

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.