https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan pertimbang Menu Rahmah Siswa untuk universiti, kolej swasta

 


PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meluaskan program Menu Siswa Rahmah merangkumi universiti dan kolej swasta, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata kementeriannya memerlukan masa untuk berbincang dengan sektor pendidikan tinggi swasta dan meneliti bagaimana skim makanan berpatutan ini yang hanya terdapat di institusi pengajian tinggi awam, boleh diperluaskan.

“Saya hanya dapat memberi tumpuan kepada institusi pengajian tinggi awam sebelum Hari Raya Aidilfitri bulan lalu,” katanya dalam town hall yang dianjurkan oleh Sinar Harian.

Salahuddin berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan kepadanya sama ada skim tersebut boleh diperluaskan untuk merangkumi institusi swasta, memandangkan majoriti pelajar adalah dari golongan miskin atau isi rumah B40.

Mac lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin telah menggesa institusi pengajian tinggi swasta untuk menyediakan skim Menu Siswa Rahmah kepada pelajar mereka.

Sementara itu, berkenaan dengan isu telur, Salahuddin berkata bekalan telah pulih dan terdapat stok yang mencukupi di pasar raya dan kedai runcit tempatan.

Bagaimanapun, beliau menambah, jika kementeriannya menerima aduan tentang kekurangan bekalan itu di kawasan luar bandar, beliau akan memastikan pegawai kementerian bertindak segera menyelesaikan masalah berkenaan.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata beliau telah menulis kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada kementeriannya bagi urusan perniagaan francais, termasuk pemindahan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas).

Agensi yang mengkaji pembiayaan francais kini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau berkata, sementara menunggu maklum balas daripada Anwar, kementeriannya akan terus melaksanakan program sedia ada untuk pembangunan francais di mana ia boleh dilakukan kerana Akta Francais Malaysia 1998 berada di bawah kementeriannya.

“Jika saya ingin menunggu Pernas dikembalikan, maka tidak ada yang akan bergerak, jadi yang boleh kita lakukan adalah berbincang dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengelak pertembungan. Kami akan ‘work smart’,” tambahnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.