https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kit Siang hulur salam perdamaian buat Hadi

 


Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar kerajaan perpaduan bekerjasama dengan PAS menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, Lim berkata kerajaan perpaduan hanya perlu berbuat demikian dengan dua syarat - pertama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menghentikan permusuhan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan mesti membuktikan keikhlasannya.

Lim membuat gesaan itu dalam menyokong titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik dan kejayaan konvensyen kerajaan perpaduan semalam.

Lim Kit Siang

Kedua, Lim berkata sekiranya Hadi mengaku ada melemparkan beberapa dakwaan tidak berasas terhadap DAP dan berjanji tidak akan mengulanginya, maka PAS perlu dijemput menyertai kerajaan perpaduan.

Antara lain, Lim berkata Hadi pernah membuat beberapa dakwaan liar termasuk melabelkan masyarakat bukan Islam sebagai "perompak" yang terlibat dalam rasuah dan penipuan dengan menjadikan orang Melayu sebagai mangsa.

Abdul Hadi Awang

Lim juga memetik dakwaan Hadi bahawa DAP merekrut orang Melayu "jahil" untuk dijadikan sebagai  "boneka" parti itu.

“Jika Hadi bersedia menjadi pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab dan dihormati di Malaysia dan mengakui bahawa dia terkhilaf dalam  membuat dakwaan liar dan tidak masuk akal itu... saya tidak nampak kenapa PAS tidak boleh dijemput menyertai kerajaan perpaduan.

“Yang di Pertuan Agong adalah betul – Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia yang progresif, makmur dan dihormati.

"Tetapi bersediakah Hadi untuk mengutamakan kepentingan negara dan bukannya bertindak untuk kepentingan peribadinya?" soal Lim.

Kenyataan Lim dibuat ketika Anwar juga menghulurkan salam perdamaian  kepada PAS menerusi ahli jawatankuasa pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam pertemuan dengan Nik Abduh Jumaat lalu, Anwar memaklumkan hasratnya untuk menjalin semula hubungan dengan pemimpin PAS termasuk Hadi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.