https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ruangan ini sahaja dibiarkan kosong

 


Bak puisi, kata seorang rakan selepas membaca ayat khatimu ar-risalah yang tertera pada suatu notis "sulit" didakwa dikeluarkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) baru-baru ini.

Asalnya sukar juga mahu bersetuju, tetapi selepas direnung-renung lebih mendalam dan lama, diakui frasa "ruangan ini sahaja dibiarkan kosong" pada surat tersebut membawa nilai estetika yang tersendiri.

Atau malah ia membawa nilai absurd, mungkin juga bersifat mujarad.

Lantaklah jika dikatakan pemberian sagu hati tiga kategori itu adalah prosedur biasa untuk AKSB bagi menghargai jerih perit pihak yang berkenaan membekalkan air bersih kepada penduduk Kelantan.

Saya tidak becadang untuk menyanggah hujah bernas diberikan Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed dalam kenyataan berhubung isu itu semalam.

Dengan bergaya dan bersahaja saja beliau mematahkan dengan tuntas segala hujah, kritikan dan kebencian sesetengah pihak terhadap kerajaan Kelantan, khususnya AKSB.

Saya juga sempat merenungi dengan mendalam kenyataan timbalan pengarah Urusetia Belia dan Sukan Kelantan itu.

Jelas beliau mempunyai alasan sangat kukuh apabila mengharapkan rakyat Kelantan agar akur saja dengan ketetapan pihak yang berkenaan.

Pengorbanan ahli politik

Apa saja isu yang dibangkitkan, usah diungkit-ungkit lagi. Hal itu kerana sebagai pemimpin atau pegawai kanan kerajaan, sudah tentu mereka melihat kepentingan yang perlu dijaga berbanding sudut pandang rakyat jelata.

Sesungguhnya imbuhan sekecil RM10,000 setahun sekali sempena Aidilfitri kepada barisan pemikir AKSB itu terlalu wajar. Bahkan mungkin tidak setimpal pun dengan segala kerja-kerja mereka memerah buah fikir, idea, dan berusaha mengharungi liku-liku mehnah dan tribulasi membekalkan air di Kelantan.

Lihatlah saja betapa buah fikir mereka itulah menjadikan AKSB sebuah agensi yang sentiasa mempunyai altenatif untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami rakyat yang melanggan perkhidmatan mereka.

Cuma saya tidaklah boleh memastikan jika idea mengambil air dari pili bomba juga merupakan hasil buah fikiran barisan pemikir AKSB yang menerima sagu hati sekecil RM10,000 itu.

Apa pun, di sebalik insiden itu seorang kontraktor dikompaun RM100 kerana kesalahan 'mencuri' air pili bomba.

Sayu juga menyaksikan bersusah-payahnya Kak Lah mencari jalan membekalkan air bersih kepada penduduk setempat. Tidak padan benar dengan status Kak Lah - atau Siti Zailah Mohd Yusoff - sebagai ahli parlimen Rantau Panjang.

Lebih terharu apabila air yang Kak Lah agihkan kepada penduduknya itu juga diberi percuma, seperti apa yang tertulis di kain rentang yang tergantung-gantung pada lori-lori yang mengangkut air.

Mungkin bagus juga disiasat jika kewujudan kain rentang itu juga hasil daripada buah fikir barisan pemikir di AKSB berkenaan. Ia sangat bernas dan menyerlahkan lagi keikhlasan wakil rakyat Kelantan membantu orang kampung.

Bukan perah minda saja

Apa pun saya pasti ia bukanlah idea yang diperah oleh minda pihak yang menyebabkan pengguna air di negeri Serambi Mekah itu sering merungut apabila muncung pili di rumah mereka hanya memuntahkan air karat, berkeladak - bahkan kadang-kadang angin - sahaja.

Bukanlah saranan mereka hingga menyebabkan rakyat terpaksa mengeluarkan modal untuk mengupah tukang mengorek bumi untuk membuat telaga tiub demi mendapatkan bekalan air.

Untuk yang kurang memahami, inisiatif menggali telaga tiub itu juga kadang-kadang seperti mencuba nasib menangkap tuah.

Kalau bernasib baik, air yang keluar dari telaga tiub itu bersih dan jernih namun ia tidak melalui proses rawatan seperti air di loji-loji milik AKSB. Jika tidak bernasib baik, air dari telaga tiub itu boleh juga keruh, berkeladak atau seperti teh susu.

Jika bernasib malang, terpaksalah mereka memerah minda semula untuk mencari atau membuat penapis untuk mendapatkan air yang lebih baik.

Selain memerah minda, sudah tentu mereka juga terpaksa memerah poket juga.

Baiklah, isu air di Kelantan memang bukan masalah politik, tetapi kesan daripada situasi dialami itu barangkali menyebabkan lebih banyak lagi insiden "ruangan ini sahaja dibiarkan kosong".

Maka banyak lagi perlu difikirkan oleh barisan pemikir AKSB untuk Aidifitri tahun-tahun mendatang. Bermakna juga adalah wajar jika sagu hati untuk mereka diberikan pada kadar yang lebih tinggi.

Lagi pula - seperti yang dijelaskan pemimpin PAS negeri itu - pemberian sagu hati itu hanyalah prosedur biasa, bukannya baru terjadi secara tiba-tiba tahun ini. Maksudnya, ia adalah proses rutin tahunan, cuma tahun ini ia menjadi 'istimewa' apabila surat tersebut tersebar kepada umum.

Namun selepas dokumen itu tular, rakyat Kelantan tidak melenting pun sebenarnya. Tidak juga marah, tidak pun kecewa pun.

Sesetengah mereka mungkin sekadar menghayati bagaimana rasanya diberi sejumlah wang RM10,000 selepas berpenat lelah berfikir dan bekerja sepanjang tahun.

Selepas berada di bawah kerajaan PAS selama lebih 30 tahun, rakyat Kelantan sudah faham benar - apalah sangat RM10,000 setahun itu jika dibandingkan dengan pengorbanan besar para pemimpin dan pentadbir negeri.

Boleh jadi dalam tempoh setahun, entah berapa malam saja mereka boleh tidur lena selepas penah memerah minda memikirkan masalah rakyat jelata.

Akhir kata, selepas memikirkan dengan mendalam, cermat dan teliti, timbullah keinsafan di dalam diri. Barangkali saya tersilap malah mungkin berdosa kerana berasa curiga.

Imbuhan itu bukanlah diberi hanya dengan suka-suka, tetapi boleh jadi dengan duka-duka rakyat yang berbahagia melayan hidup dengan berdepan masalah air berpanjangan.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.