Tak habis-habis lagi hal konsert?
Oleh Ronasina
Isu Coldplay jadi besar hanya kerana orang politik menyibuk-nyibuk. Ada banyak konsert berlalu dan mendatang tapi konsert Coldplay pula yang jadi isu nasional.
“Abang tak pergi ke konsert Coldplay?” Tanya kawan saya, anak muda yang setelah gigih bertarung di internet, akhirnya gagal memiliki tiket.
“Tak. Tak minat,” jawab saya.
Saya mempunyai sifir mudah dalam hitungan hidup saya. Jika tak minat, walaupun ditawarkan tiket percuma pun saya tak mahu. Biarlah diberikan kepada mereka yang benar-benar minat. Kalau saya minat betul dengan seseorang artis atau sesebuah band tapi bajet tak ada untuk beli tiket konsert, saya diam sajalah buat bodoh tanpa perlu ada rasa ralat. Saya hanya peminat, bukan penyembah. Mampu, saya pergi. Tak mampu, lupakan. Tapi kalau beri tiket percuma, ya saya akan pergi. Saya harap sifir hidup saya ini boleh dijadikan contoh. Ha! Ha!
Isu Coldplay jadi besar hanya kerana orang politik menyibuk-nyibuk. Ada banyak konsert berlalu dan mendatang tapi konsert Coldplay pula yang jadi isu nasional. Sebab permainan geng-geng politik ni aja! Antara pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Mulalah main isu LGBT, isu ‘maksiat merosakkan ummah dan mengundang kemurkaan tuhan’ padahal waktu ‘awak’ jadi kerajaan sebelum ini tak adakah konsert di mana artisnya ‘menyokong’ LGBT? Tak payahlah kita nak senaraikan di sini, boleh saja kita buat “homework” (bak kata Hattan) apa konsert dan siapakah artis semasa kerajaan terdahulu, akan terkeluarlah. Kenapa pada masa itu kamu tak bising? Tak bertekak tentang isu moral atau LGBT atau maksiat? Di rumah kamu tidak ada cermin muka waktu kamu menyikat rambut pagi-pagi? Tentang kedai judi dan cabutan nombor ekor waktu kamu perintah bagaimana? Kenapa kamu diam?
“Oh! Ingat abang anti-LGBT,” gurau kawan saya membuat saya tersedar jauh benar saya mengelamun menjawab persoalan di atas. Saya tahu kawan saya ini hanya sekadar melawak. Dia sengaja hendak menjolok saya, saya tahu.
Saya cukup berasa mual dan menyampah dengan permainan isu politik ‘bangang’ tak habis-habis macam ini. Okeylah, saya tak minat Coldplay. Kita tukar situasi. Saya peminat band Queen. Jika band Queen masih ada atau Freddie Mercury masih hidup dan datang Malaysia untuk buat konsert, saya hendak pergi. Saya suka Freddie, setiap kali mendengar nyanyian dan menonton persembahannya tidak terlintas pun dalam kepala saya dia itu mempunyai sisi lain dari segi orientasi seks apatah lagi untuk menjadi seperti dirinya. TIDAKKK! Saya pernah ketika remaja diancam seorang ‘brader’ seks songsang dan trauma yang saya alami memakan masa bertahun-tahun. Saya “straight” dan saya menentang sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Kau, kau. Aku, aku!
Jadi, saya meminati Queen bukan kerana Freddie seorang homoseksual atau biseksual. Itu dia punya hal. Saya terangsang mendengar lagu Bohemian Rhapsody, Innuendo, Love Of My Life, Don’t Stop Me Now, dan lain-lain. Muziknya membuat saya bertenaga. Minat gila!
Soal konsert meruntuhkan moral, mengundang kemarahan Tuhan ini amat menyedihkan saya. Apakah seorang saya yang ingin menikmati muzik sesebuah band itu turut sama dicop bersubahat jika berpuluh ribu penonton lain dikatakan buat maksiat? Sedihnya. Tanpa memikirkan Freddie seorang homoseksual apakah saya tergolong dalam golongan yang bersubahat ketika saya hadir di dalam stadium itu? Saya hanya ingin menikmati bunyian yang dihasilkan oleh sekumpulan seniman. Tapi saya kena pukul rata dan dahi saya pun kena cop sebab adanya istilah ‘subahat’? Isy… kecewanya.
Yang saya tahu artis-artis yang membuat konsert di mana saya hadir itu bukan kluster mahkamah yang mempunyai tuduhan rasuah. Puak yang menyatakan saya tak bermoral sebab pergi konsert itu boleh pula berpeluk-peluk dengan musuh lama mereka yang mereka sendiri pernah kata tak bermoral, perembat kekayaan, dan pemecah-belah ummah. Eh…eh dia berkawan tak apa, kita tak boleh. Bila dia buat, dia kata demi menyelamatkan ummah, kita yang pergi konsert dia bilang meruntuhkan ummah. Untuk dia tak ada istilah bersubahat, istilah moral. Apa cerita ni, dey?
Alamak! Ter-emosi pula saya. Maaf. Tenang! Tenang! Mari kita selesaikannya baik-baik atas nama demokrasi. Siapa saja berhak beri pandangan. Kita alu-alukan. Pihak ‘sana’ berhak mengatakan saya tak bermoral jika saya hadir ke konsert, saya terima. Saya juga berhak menolak mereka yang saya rasa bersubahat apabila mereka bergabung dengan pemimpin politik yang pernah mereka sendiri gelarkan sebagai bapa perasuah. Adil, 1-1.
“Masalah moral, masalah akhlak
Biar kami cari sendiri
Urus saja moral mu, urus saja akhlak mu…”
Itu kata Iwan Fals dalam lagu Manusia Setengah Dewa. Kata saya pula..
“Masalah moral, masalah akhlak
Kita uruslah sendiri,
Bersihkan diri, bersihkan hati,
Bersihkanlah air paip yang keruh itu sekali!”
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.