https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tindakan 'main api' gugat kerukunan masyarakat, negara


 Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed -

PELBAGAI komen serta kenyataan menyentuh isu sensitif berkaitan Raja, agama dan kaum (3R,) terutama dalam media sosial sangat membimbangkan, walaupun dilakukan segelintir anggota masyarakat.

Tangkapan demi tangkapan dibuat pihak berkuasa membuktikan masih ada degil dan cuba bermain api, sekali gus mengganggu-gugat kerukunan hidup masyarakat majmuk serta kestabilan negara. Terkini seorang pemilik akaun Twitter ditahan selepas disyaki menghina institusi Raja dan bersifat perkauman.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Seremban, dikesan memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi Raja dan bersifat provokasi perkauman. Siasatan terhadap suspek dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian kepada mana-mana Raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Masyarakat sewajarnya mengambil iktibar terhadap beberapa pengguna media sosial sebelum ini disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Orang ramai perlu menjadi pengguna media sosial bijak, berhemah dan tidak menyalahgunakan platform terbabit hingga boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara, terutama membabitkan isu 3R.

Ironinya sejak Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), isu membabitkan 3R terus dijadikan senjata politik oleh ahli politik dan netizen, khususnya dalam media sosial. Ketika ini terlalu banyak komen dan perkongsian pandangan berbentuk provokasi berbaur kebencian membabitkan 3R ini diviralkan pihak tidak bertanggungjawab. Kita perlu sedar ia tindakan sangat berbahaya dan boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Hakikatnya selepas 66 tahun negara mencapai kemerdekaan kita masih berhadapan isu sensitif 3R ini. Ternyata masih ada anggota masyarakat tidak peka dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, lantas sengaja mencetuskan pelbagai tindakan provokasi melalui penyebaran maklumat serta kandungan palsu dan berbaur kebencian hingga mengganggu-gugat keharmonian kaum dan kehidupan masyarakat majmuk di negara kita.

Persoalan kita kepada kelompok ini kenapa suka bermain api? Penelitian penulis menunjukkan pengguna media sosial bertindak menyebarkan pelbagai propaganda dan maklumat sensitif, sama ada bagi diri sendiri untuk tujuan tertentu atau melakukan tindakan sama, tetapi bagi pihak lain tidak bertanggungjawab mengupah mereka demi mencapai agenda dan kepentingan peribadi.

Sindrom defisit jati diri

Apapun alasannya, tindakan individu atau kelompok menyebarkan pelbagai pandangan jelik mengenai 3R ini melambangkan mereka mengalami masalah sindrom defisit jati diri dan semangat cintakan negara sangat serius.

Sebagai warganegara menjunjung dan patuh kepada Perlembagaan serta berpaksikan semangat dan roh Rukun Negara, kita sewajarnya tidak melakukan apa-apa tindakan boleh menggoncang jambatan perpaduan antara masyarakat majmuk serta melampaui batas perundangan negara.

Janganlah menggadai prinsip dan sanggup melanggar undang-undang hanya kerana disediakan ganjaran lumayan tanpa mempedulikan impak dan kesan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu terhadap rakyat dan negara.

Secara prinsipnya, kita melihat ada keperluan menyedarkan anggota masyarakat khususnya ahli politik dan generasi muda terhadap kepentingan mematuhi undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan serta menghayati dan mengamalkan setiap prinsip Rukun Negara sebagai cara hidup dan amalan murni masyarakat berbilang agama dan bangsa.

Kita perlu membaca dan memahami intipati Perlembagaan berkaitan 3R yang menyediakan panduan sangat jelas untuk dipatuhi setiap warganegara.

Misalnya, institusi diraja diterima sebagai simbol perpaduan dengan kedaulatan Malaysia adalah berpaksikan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti dijelaskan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

Malah Perkara 32(1) juga dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Tertinggi di Persekutuan Malaysia. Justeru, tidak wajar mempertikai mahupun menghina institusi Diraja.

Sebagai warganegara bertanggungjawab dan sayangkan rakyat serta negara dan cintakan perpaduan dan keharmonian, kita perlu menzahirkan aku janji tidak akan menyentuh lagi isu 3R hingga boleh memecahbelahkan anggota masyarakat.

Penulis adalah Timbalan Ketua Panel Pemikir Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.