https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kefahaman terhadap MA63 elak salah tanggap isu kalimah

 


Oleh Dr Nor Aishah Hanifa

Kes penggunaan kalimah Allah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap Jill Ireland dalam konteks dalam pendidikan agamanya, menjadi kes sensitif kepada penduduk Sarawak yang melihatnya sebagai kebebasan agama seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Sarawak.

Umum perlu memahami kes ini ada akar umbi dengan perjalanan sejarah negara selepas 1957. Beberapa hak istimewa diberikan kepada Sabah dan Sarawak dalam gagasan Malaysia, termasuk kebebasan agama, pengurusan kewangan, pendidikan serta imigresen.

Perlembagaan Sarawak tidak menyatakan agama rasmi bagi negeri itu yang turut berlaku dalam Perlembagaan Sabah hingga 1973. Pindaan pada 1973 menetapkan Islam sebagai agama rasmi Sabah, seperti termaktub dalam Perkara 5(A).

Kita perlu melihat perkembangan ini dalam sejarah negara sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Satu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ditubuhkan pada Ogos 1962, hasil cadangan Suruhanjaya Cobbold dengan fungsi utamanya adalah untuk menjamin hak dan kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak tidak tergugat apabila negeri berkenaan menyertai Malaysia.

Jawatankuasa ini mengkaji dan mengesyorkan peruntukan Perlembagaan berkaitan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia. Satu memorandum diberi nama 20 Perkara dihantar Sabah melalui jawatankuasa ini bertujuan melindungi hak dan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Sarawak pula mengemukakan memorandum 18 Perkara bersetuju dengan perkara dinyatakan dalam memorandum 20 Perkara, terutama membabitkan kepentingan dan hak rakyat secara umum.

Memorandum 20 Perkara Borneo Utara dan Memorandum 18 Perkara Sarawak diselidik IGC dan beberapa siri mesyuarat diadakan dengan pemimpin di kedua-dua wilayah berkenaan. Akhirnya satu laporan dikeluarkan IGC memperuntukkan hak autonomi jauh lebih komprehensif, merangkumi 14 perkara akan dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Ia termasuk bidang pelajaran, bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negeri, Borneonisasi dalam perkhidmatan awam, autonomi dalam imigresen, autonomi dalam pengurusan kewangan serta percukaian.

Hasil laporan IGC dijadikan sebagai asas kepada semua peruntukan dan terma dimasukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 mengandungi 235 halaman. Perjanjian ini ditandatangani di London dengan perwakilan British, Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Kandungan dan isi MA63 diserapkan dalam pindaan dilakukan ke atas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, terutama menyentuh hak istimewa Sabah dan Sarawak. Semua pindaan dilakukan boleh dibaca dalam Bab 3 Laporan IGC. Memorandum 20 Perkara dan Memorandum 18 Perkara bukan bernilai undang-undang, tetapi beberapa pengesyoran (14 Perkara) dimasukkan dalam MA63.

Perjanjian Malaysia menjadi undang-undang antarabangsa didaftarkan Kerajaan United Kingdom (UK) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 bernombor rujukan 10760.

Lahir generasi hayati sejarah

Malaysia mempunyai tanggungjawab menghormati MA63 sebagai aktor negara bertanggungjawab dalam sistem antarabangsa. Melanggar MA63, iaitu satu undang-undang antarabangsa boleh menjatuhkan reputasi negara. Jika perkara ini tidak diuruskan dengan baik, boleh membawa ketegangan politik dalaman tidak diingini.

Semua kekeliruan dan ketegangan politik dalam kes Jill Ireland diperalatkan pihak tidak bertanggungjawab dengan sejarah penubuhan gagasan Malaysia sengaja dilupakan. Rakyat dikelirukan dengan kes individual tanpa mendedahkan sejarah negara, manakala ada juga manipulasi isu agama.

Rakyat perlu mempunyai pengetahuan terhadap Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, IGC, Memorandum 20 Perkara, Memorandum 18 Perkara, Perkara 14, Perjanjian Malaysia 1963, pindaan dilakukan ke atas Perlembagaan 1957 serta Perlembagaan Persekutuan 1963.

Pendidikan menyeluruh mengenai MA63 perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara untuk mengelakkan kesangsian dan kekeliruan yang boleh diperalatkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab pada masa depan.

Memahami sejarah MA63 membolehkan rakyat mengetahui arus politik, ekonomi dan sosial di Sabah serta Sarawak. Rakyat keseluruhannya dapat disedarkan mengenai 'kelainan Sabah dan Sarawak' dalam gagasan Malaysia.

Pendidikan sejarah berterusan dapat memupuk masyarakat di bawah agenda Malaysia MADANI tanpa banyak kekangan. Konsep itu boleh menjadi kenyataan jika semua rakyat boleh bertolak ansur, bekerjasama dan mendahulukan kepentingan negara.

Rakyat perlu memilih musyawarah berterusan dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah daripada melakukan demonstrasi dan tunjuk perasaan apabila semua saluran bicara sentiasa terbuka.

Perlu diingat, ketegangan dalam masyarakat kerana isu sensitif boleh memecahkan negara, terutama permuafakatan Sabah dan Sarawak dalam semangat Persekutuan Malaysia. Kepentingan dan keselamatan negara boleh diancam oleh politik agresif dan kejahilan terhadap sejarah negara.

Perspektif terhadap subjek Sejarah pada peringkat sekolah perlu diubah. Menjadikan mata pelajaran itu sebagai subjek wajib lulus pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memadai.

Negara perlukan generasi menghayati sejarah negara, bukannya menghafal subjek sejarah untuk lulus peperiksaan. Adalah lebih mustahak subjek mengenai sejarah negara tidak berat sebelah, bersifat Malaysia dan mencerminkan semua aspek utama negara.

Hakikatnya, kes Ireland menjadi antara kes masalah seorang individu Sarawak 'terperangkap' dalam sejarah negara. Kes ini secara tidak langsung menggali isu ketidakpuasan hati Sabah dan Sarawak terhadap Kerajaan Persekutuan.

Kita membina gagasan Malaysia sebagai satu perisai perlindungan pada masa Perang Dingin. Kini, kita sedang melupakan segala usaha murni kita apabila ada masalah.

Apa yang penting, solidariti gagasan Malaysia dalam kepentingan dan keselamatan nasional negara, manakala mempertahankan gagasan Malaysia memerlukan banyak pengorbanan daripada ahli politik dan rakyat. Tanggungjawab mendukung MA63 terletak di tangan kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak serta tidak dilupakan setiap rakyat.

Pensyarah Kanan, Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian Pertahanan dan Pengurusan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.