Wujudkan gerakan dalam media sosial lawan Islamofobia
Oleh Dr Siti Suriani Othman dan Dr Habibah Ismail
Gejala ketakutan, prejudis dan kebencian kepada Islam serta penganutnya, iaitu Islamofobia semakin menular di Barat. Sejak peristiwa 9/11, gejala itu kian meningkat hingga Persatuan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengangkat 15 Mac sebagai tarikh melawan Islamofobia.
Tentunya umat Islam tidak lupa terhadap tindakan ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan membakar al-Quran di Stockholm bukan sekali, tetapi dua kali. Ia dibuat sebagai reaksi terhadap tindakan Turkiye membantah penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Paludan tidak asing dengan kontroversi kerana sejak 2017 sudah mendapat perhatian kerana tindakan anti-Islam yang dimuat turun dalam media sosial dengan tujuan meningkatkan sokongan dalam pilihan raya.
Justeru, bagaimana umat Islam dapat menangani Islamofobia dalam persekitaran dunia global hari ini? Jelas antara medium utama digunakan pelaku Islamofobia ialah media sosial sebagai alat utama menyebar fitnah dan kebencian.
Kita perlu mengakui kekuatan media sosial perlu dimanfaatkan untuk menentang elemen kebencian terhadap Islam dan penganutnya. Bagaimanapun, umat Islam tidak boleh melawan kebencian dengan kebencian, apatah lagi menggunakan fitnah dan hasutan.
Media sosial tidak sepatutnya dijadikan alat melahirkan pelampau, sebaliknya pendekatan yang ditekankan dalam agama sejak dahulu lagi adalah berlembut dan berhikmah berdasarkan metodologi dakwah Rasulullah SAW yang relevan sepanjang zaman.
Pengguna media sosial boleh melihat situasi semasa dalam bentuk risiko dan peluang. Islamofobia ialah risiko kepada kita andai tidak dibendung dengan hikmah, tetapi ia juga boleh dijadikan peluang untuk melawannya dengan menunjukkan teladan baik kepada rakan bukan Muslim, sekali gus mewujudkan suasana harmoni dalam negara pelbagai budaya seperti Malaysia.
Pada masa sama, pelbagai institusi Islam di negara ini perlu proaktif menangani Islamofobia dengan menyebarkan maklumat bertunjangkan Islam dalam bentuk kontemporari dan menarik termasuk melalui media sosial.
Kefahaman mengenai Islam sebenar perlu datang daripada golongan yang arif dalam bidang itu dan mempunyai wibawa. Ini kerana maklumat berkredibiliti dapat memberikan input benar, berbeza dengan kandungan mengenai Islam yang datang daripada pelbagai sumber mungkin menarik, tetapi diragukan.
Oleh itu, gabungan pengguna biasa dan institusi Islam secara terancang dapat mewujudkan gerakan besar-besaran dalam media sosial untuk melawan Islamofobia. Kebangkitan ummah secara bersepadu dalam menyatakan kebenaran itu, diharap dapat memadamkan api kemarahan dan fitnah.
Ini kerana jika kita tidak 'melawan' secara berkesan, ia memperlihatkan sikap seolah-olah reda diperkotak-katikkan, sekali gus mengiyakan tipu daya. Jika kita tidak bersedia dengan ilmu dan segala kekuatan, imej dan hakikat Islam akan terselindung di sebalik dalam arus ganas teknologi yang menghanyutkan masyarakat dunia dengan berita palsu.
Siti Suriani adalah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala Habibah adalah Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.