https://critoxium.com/shop/

Terkini

UMNO sudah temui penawar untuk berdepan PRN?


Oleh Adha Ghazali  

Ramai rasanya bersetuju jika dikatakan ada riak gembira terpampang pada wajah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang melabuhkan tirainya kelmarin.

Sepanjang hampir 38 minit berucap di hadapan barisan perwakilan, celoteh dan amanat Presiden UMNO itu sedikit pun tidak lekang dengan hilai ketawa dan gurau senda.

Sekejap 'hoi', sekejap 'hei' dan kadang-kadang diselang-seli dengan laungan 'hoi-hei' sambil disahut perwakilan - jelas sekali bibit keakraban semakin ketara. Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin pula tidak putus-putus mencelah dengan aksi 'keloloh' seperti digambarkan Presiden, menambah gamat dalam dewan.

Jika keakraban ini dijadikan sandaran, tak salah dikatakan UMNO seperti sudah menemui penawar yang amat diperlukan.

UMNO sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi digambarkan dalam situasi retak ter- utama dengan kewujudan dua 'kapal' dalam parti. Satu kumpulan setia di bawah teraju Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan satu lagi cenderung ke arah Perikatan Nasional (PN).

Selepas PRU15 pula, tindakan pecat dan gantung keahlian beberapa pemimpin oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dilabel sesetengah pihak sebagai operasi pembersihan, menyasarkan kelompok tidak sealiran dengan Presiden.

Terkini, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang turut membabitkan DAP - yang sekian lama dilabel 'musuh politik' UMNO - menyuntik kekeliruan dalam kalangan akar umbi sehingga melarat ke dalam PAU kali ini.

Persoalannya kini, apakah penamat gembira PAU 2023 ini mencukupi untuk benar-benar merawat dan memulih UMNO yang digambarkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai berada dalam keadaan cedera dan merosot kesihatannya?

Benar ubat paling mujarab untuk memulihkan UMNO perlu bermula dengan kesatuan dan perpaduan semua pihak, namun kekusutan yang timbul dek isu dan sentimen dimainkan pada peringkat akar umbi juga tidak kurang penting ditangani.

Sebagai contoh, soal membabitkan kerjasama parti dengan DAP selaku seteru politik UMNO sejak sekian lama. Apakah ini berjaya dirungkai di pentas PAU kali ini?

Daripada reaksi perwakilan susulan desakan lantang Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menuntut DAP memohon maaf atas tohmahan ditujukan kepada parti itu sebelum ini, jelas sekali penawar diperlukan untuk merungkai kekusutan ini bukan kecil anak.

Isu kerjasama UMNO, DAP terus dicanang 

Perlu diingat, isu kerjasama UMNO dengan DAP tidak akan pernah berhenti, malah bakal terus dicanang terutama di enam negeri yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Justeru, UMNO perlu cari titik ampuh sebagai solusi. Ibarat tarik rambut dalam tepung - rambut tak putus dan tepung pula tak berselerak.

Apa pun pujian diberikan kepada beberapa perwakilan yang berhujah untuk memurnikan kerjasama yang turut membabitkan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Namun perlu diingat, PAU 2023 hanya dihadiri 6,341 perwakilan, sedangkan angka terkini ahli UMNO adalah 3.4 juta orang.

Apa jaminan mesej di pentas persidangan benar-benar sampai kepada ahli pada peringkat akar umbi atau pengundi di enam negeri, mengambil kira akses liputan media ketika penganjuran PAU juga agak terhad.

Kenyataan Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Said, selaku wakil Pulau Pinang ketika berbahas juga wajar diambil perhatian apabila melihat parti masih mengamalkan politik lama dengan lebih banyak mengendalikan sentimen untuk menjawab dakwaan pembangkang, berbanding 'menyerang' mereka.

Apakah ini punca kepada persoalan dibangkitkan Ketua UMNO Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dan Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengenai undi diperoleh Barisan Nasional (BN) ketika PRU15?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan BN memperoleh undi 3.46 juta di seluruh negara pada PRU15, hampir sama dengan bilangan ahli UMNO.

"Adakah UMNO dan BN hanya mendapat sokongan undi daripada ahli parti atau adakah kita gagal mempengaruhi ahli keluarga dan saudara terdekat untuk menyokong kita? Atau adakah jumlah ahli yang benar-benar setia kepada perjuangan parti jauh lebih rendah berbanding angka rasmi yang kita banggakan?" demikian soal Wan Rosdy.

Yang jelas kini, PAU 2023 yang diharap untuk merungkai segala kekusutan yang timbul sebelum atau pasca PRU15, selain menyuntik penawar diperlukan untuk bergerak menuju PRN, sudah pun melabuhkan tirai.

Sama ada penawar diperlukan itu ditemukan ataupun sebaliknya, hasilnya hanya dapat dinilai melalui keputusan PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Bak kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan - "... ada 60 hari sahaja maksimum untuk perkukuh parti sebelum PRN."

Waktu terus berdetik dan masa semakin singkat. Kini terpulang lebih 6,000 perwakilan PAU untuk membawa pulang mesej serta amanat PAU 2023.

Jika 'putih' dibawa pulang perwakilan ke akar umbi, maka insya-Allah sekurang-kurangnya 'kelabu' atau 'putih' hasil bakal diraih. Namun jika 'kelabu' atau 'hitam' mesej dibawa pulang, maka peluang terhidang tidak mustahil malap atau gelap.

Pengarang Berita BH

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.