Pelajar universiti harus menggunakan pemikiran kritis mereka dan tidak hanya menerima segala kenyataan berunsur kebencian yang dikeluarkan oleh ahli politik, kata perdana menteri.
Bercakap pada sesi dialog bersama sekumpulan pelajar universiti di Bangi, Selagor petang tadi, Anwar Ibrahim berkata pelajar tidak seharusnya terpengaruh dengan sentimen kebencian sebaliknya menggunakan kebijaksanaan mereka dengan membuat penilaian sendiri.
“Dalam tiap program ke negeri-negeri, saya beri tumpuan untuk menemui anak muda kerana mereka berhak tahu keadaan sebenarnya (di dalam negara).
“Dan saya anjurkan - tak apalah kalau tak setuju dengan saya, atau kata tak cukup, buat penilaian, baca, banding.
“Itu yang saya sebut pemikiran kritis. Selain daripada kreatif, (perlu juga) kritis, kena fikir,” katanya di program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Sebagai tindak balas terhadap kritikan daripada seterunya, presiden PKR itu berkata memang ada beberapa ahli politik menggunakan retorik perkauman dan agama untuk menyerang kerajaan.
Antara dakwaan mereka, menurut Anwar, ialah kononnya dia membenarkan negara ini diambil alih oleh kaum Cina dan DAP.
Menurut perdana menteri, kerajaan sebenarnya terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan segala perkara yang terkandung di dalamnya termasuk kedudukan bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, Islam sebagai agama persekutuan, status Raja-Raja Melayu.
Tegasnya kerajaan melaksanakan perkara itu dan pada masa sama tetap menjaga kebajikan semua rakyat di negara ini.
“Tapi anak-anak Cina, India, Dayak, Kadazan itu anak-anak kita, keluarga besar negara kita. Kita jagalah semua. Kita tak pinggirkan sesiapa.
“Jadi oleh kerana saya jawab macam ni, dia (pembangkang) kata: tengok Anwar, samakan Melayu dengan Cina,” katanya lagi.
Susah nak lawan perasuah
Menurut ahli parlimen Tambun itu lagi, negara akan rosak jika rakyatnya gagal berfikir secara kritis dan memilih untuk menerima apa saja yang dikatakan oleh ahli politik kepada mereka.
“…belajar sampai lulus universiti, kadang-kadang ada PhD, tapi bila orang kata: ‘Ohh, orang Melayu akan ditekan... habis kita. Ini Anwar suruh Cina control (kawan negara), DAP yang jaga...’
"Lepas tu (yang mendengar) kata ya.
“Jadi, itu yang saya minta (berfikiran kritis), kerana kita nak selamatkan masa depan kita,” katanya.
Dalam program tersebut, Anwar turut menjawab soalan daripada hadirin mengenai defisit kepercayaan dalam kalangan belia terhadap kerajaan dan ahli politik.
Mengulas mengenai perkara itu, dia mengakui keadaan politik negara mungkin menyebabkan golongan belia hilang kepercayaan terhadap pemimpin negara.Katanya, golongan muda kecewa kerana melihat ramai pemimpin politik hanya menabur janji kosong, mengeluarkan 'fatwa' pada bila-bila masa dan mengikut selera politik mereka, selain memfitnah sesama sendiri.
Tambah Anwar, politik yang melampau, menyebabkan golongan muda keliru dan merasakan kepentingan mereka tidak diutamakan.
Bagaimanapun, perdana menteri memberitahu golongan pelajar tidak seharusnya hilang keyakinan terhadap kerajaan sedia ada kerana ia bekerja keras untuk melaksanakan refomasi negara, termasuk menentang sebagai amalan rasuah yang telah parah.
“Anak-anak (hadirin) harus bantu bawa balik keyakinan, kembalikan (kepercayaan).
“Kita berusaha sedaya upaya. Tak mudah.... ingat senang nak lawan perasuah besar? Dia dah kumpul berbilion ringgit.
“Tapi kita lawan kerana iltizam,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.