Sewaan Pulau Pinang telah lama terbatal
SHAH ALAM: Pakar sejarah, Profesor Datuk Ramlah Adam menjelaskan, isu sewaan Pulau Pinang telah terbatal sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948 ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan wakil British, Sir Edward Gent.
Menurutnya, berdasarkan sejarah dan surat perjanjian pada tahun 1786, Francis Light hanya menyewa kepada Kedah dan ia dibayar secara tahunan.
“Bagaimanapun, selepas Pulau Pinang dikuasai oleh British, ia sudah menjadi satu perkara yang sah dan sewaan diteruskan sehingga terbentuknya PPTM 1948.
“Menerusi perjanjian tersebut, Pulau Pinang telah dimasukkan ke dalam PPTM sebagai negeri bebas daripada jajahan takluk British.
Apabila kita merdeka, sekali lagi perjanjian di antara British dan Pulau Pinang dibuat menjadikan negeri itu berdaulat.
“Jadi sebaik sahaja negeri itu ada kedaulatan rasmi, secara tidak langsung isu sewaan di antara Pulau Pinang dan Kedah tidak lagi timbul dan terbatal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pada Isnin, media melaporkan, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.
Sultan Sallehuddin bertitah, bagaimanapun, perbincangan mengenai perkara ini haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, sudah menjadi lumrah apabila satu perjanjian baharu dibuat, maka persetujuan terdahulu itu secara automatik terbatal.
Tambah beliau, sewaktu membentuk Malaysia, Pulau Pinang dianggap sebagai salah satu negeri yang berdaulat walaupun tiada raja memerintah.
“Sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan, British melepaskan Pulau Pinang melalui surat penyerahan semula kepada orang tempatan (penduduk Pulau Pinang) dan menjadikan gabenor sebagai ketua mereka.
“Sejarah yang terjadi sebelum PPTM 1948, PPTM 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh berlaku semula dan akan kekal menjadi kisah lampau,” ujarnya. - Sinar Harian
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.