https://critoxium.com/shop/

Terkini

Siapa yang merosakkan Umno?


Oleh Fathi Aris  Omar 
 
Keruntuhan Umno bermula sejak 1980-an lagi tetapi masing-masing ego dan syok sendiri, sebab masih di puncak kuasa, mereka tidak sedar benih keruntuhan Umno itu bertunas sejak itu. Perlahan-lahan akar berbisa itu merayap di dalam parti dan kerajaan.
 
Dengan politik wang yang membarah sejak awal, skandal BMF pada awal 1980-an bergerak menjadi skandal 1MDB mulai 2010. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak cukup stamina untuk melawan arus kerosakan sepanjang 1981-2003 lalu menyerah kalah.
 
Jadi sesiapa sahaja yang bergelumang dengan Umno waktu itu, seperti juga pemimpin Umno sejak 1980-an, mereka berada dalam sindrom sangkalan (denial syndrome). Mereka melihat Umno dalam tempoh 10 atau 15 tahun terakhir.
 
Sebab lebih mudah menyerang Umno daripada memikul tanggungjawab bersama. Semua salah orang, bukan aku! Masing-masing bawa perangai pengarang A Doctor in the House.
 
 Dihadap dengan 1,001 tuduhan, Dr Mahathir tidak menjawab dengan rasa insaf, jujur dan tanggungjawab.
 
Khairy Jamaluddin yang baru enam bulan terpelanting daripada Umno bercakap seolah-olah dia tidak sedar apa berlaku dalam parti itu.
 
 Dia bercakap seolah-olah dirinya Tun Abdullah 2.0 yang lemah longlai, seolah-olah seorang pemerhati luar, yang boleh lepas tangan! 
 
Tragis betul Umno dan Melayu, semua orang yang pernah bersama parti itu tidak sedar dan tidak boleh menjangka benih kemusnahannya disemai sejak 1980-an. 
 
Bukan sekali, bukan dua. Ia mencipta sistem berpolitik dan bernegara yang berisiko menjahanamkan semua kita, bukan sekadar Umno.
 
Apabila hilang kerusi dan tewas memalukan pada 2018 atau 2022, maka dikatakan Umno itu sudah tidak berguna. Padahal, tiada siapa bertanya, kenapa boleh jadi begitu? Sejak bila jadi begitu? Apa penyebabnya? Siapa yang merosakkan Umno?
 
Mereka lupa ramai sekali orang Melayu meninggalkan Umno pada PRU 1999, sekali gus menguatkan PAS (dan sedikit Keadilan). Sejak itu juga, dengan bantuan Internet dan rasa tidak puas hati yang makin merebak, sokongan Melayu terhakis. 
 
Yang menyelamatkan Umno pada 1999 itu hanyalah bukan Melayu tetapi kerajaan mencipta kawasan campuran. 
 
Dengan harapan pengaruh PAS akan lemah. Apabila bukan Melayu rasa tidak selamat bawah BN-Umno, berbondong-bondong mereka meninggalkan kerajaan pada 2008. 
 
Kita tidak bertanya apa sebab Melayu lari daripada Umno, apa sebab bukan Melayu meninggalkan BN? Sejak bila gejala ini berkembang? 
 
Sudah pastilah bukan zaman Tun Abdullah. Malah, beliau terlalu kerdil/lemah untuk membalikkan arus kerosakan parti itu.
 
Memang betullah kata Dr Mahathir, "Melayu mudah lupa"! Dr Mahathir selalu lupa sebab beliau juga sebahagian Melayu tersebut.
 
Satu lagi contoh, kerajaan Pakatan Harapan. Orang ramai nampak ia runtuh pada Februari 2020. Padahal, benih keruntuhan ditanam sejak Deklarasi Rakyat, rundingan calon perdana menteri dan agihan kerusi kabinet di Hotel Sheraton (Mei 2018) lagi.
 
Tetapi tiada sesiapa mahu pergi ke wilayah ini — wilayah meludah ke langit dan menepuk air di dulang!
 

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.