https://critoxium.com/shop/

Terkini

Selangor sedia lebih 10 inisiatif demi kesihatan penduduk


Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Selangor percaya negeri maju memerlukan penduduk sihat yang dapat menbangunkan bakat dengan produktif. Untuk itu Kerajaan Negeri menyediakan lebih 10 inisiatif kesihatan bawah pakej kebajikan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Dikenali meluas dengan program saringan awam ketika Covid-19, setiap tahun Selangor membelanjakan puluhan juta ringgit untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menerima rawatan dan pemeriksaan.

Belanjawan 2021 hingga 2023 memperuntuk sebanyak RM56.5 juta hingga RM65.5 juta untuk 10 program utama kesihatan, tidak termasuk Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) untuk perlindungan lebih 6.5 juta penduduk.

Insurans am ini memberi perlindungan hingga RM10,000 seorang penduduk yang berusia 30 hari hingga 80 tahun mulai Oktober 2022. Mendapat sambutan hangat, setakat 17 November lalu, 3,563,844 orang memohon untuk menerima manfaat ini.

ISP mempunyai enam kumpulan program kebajikan seperti Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor (IKS) dan Iltizam Keusahawanan Selangor. Sebelas program IKS itu termasuklah Iltizam Selangor Sihat (ISS), Bantuan Sihat Selangor, Selangor Saring (SS), Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Saringan Selangor Kanser (Selcan).

ISS yang memberi manfaat 79,084 orang pada 2022 ditambah baik daripada program Skim Insuran Peduli Sihat agar lebih ramai golongan B40 dapat dibantu. Ia memberi rawatan asas dan vaksinasi kepada 100,000 pemegang polisi utama dan 150,000 ahli keluarga berdaftar.

Fasa pertama SS, antara Mei hingga September 2022, mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila 26,541 orang menerima manfaat itu dengan peruntukan RM1.5 juta. Fasa kedua yang sedang berlangsung bermula Februari tahun ini.

Saringan barah

Program ini dibuat sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, saringan fizikal, ujian darah, ujian air kencing dan mata.

Ujian Selcan merekodkan 6,864 penerima manfaat. Dana sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk saringan beberapa jenis barah seperti pangkal rahim, prostat, kolorektal dan payudara.

Seramai 10,009 orang terlibat dengan program Pemeriksaan Kesihatan Mata seperti rabun, glaukoma dan retina dengan dana RM200,000 pada tahun lalu. Program ini bersama Selangor Saring dan Selcan adalah program julung kali diperkenalkan pada 2022.

Bantuan Sihat Selangor pula diteruskan bagi menampung kos rawatan buah pinggang, ubat-ubatan, pembedahan kecil dan peralatan perubatan pesakit berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Petugas kesihatan membuat pemeriksaan mata ketika Program Selangor Saring dan Derma Darah DUN Bandar Baru Klang di Klang Parade, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berikut reaksi positif daripada penerima manfaat program kesihatan seperti disampaikan kepada wartawan Selangorkini antara 2020 sehingga bulan lepas:

“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik, terutama untuk keluarga B40 yang tak mampu untuk membuat pemeriksaan kesihatan tahunan.”

Muhammad Taufik Masrupi, 33,
penyelia tapak

“Saya tidak nafikan penggunaan gajet punca anak saya memakai kaca mata. Kalau boleh mahu elakkan tetapi tiada pilihan dan terpaksa pakai supaya penglihatan jelas.”

Dr Norazlina Mohd Kiram, 47,
pensyarah

“Ada ahli keluarga saya menghidap barah, jadi dengan adanya program ini ia sangat membantu. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati maka saya gunakannya untuk mendapatkan status kesihatan bagi mengelak penyakit berisiko.”

Megat Syaiful Izzuddin, 38,
penjawat awam

“Saya dan isteri ambil suntikan vaksin ini untuk ketahanan badan lagi pun saya menghidap kencing manis. Pengambilan vaksin ini memang elok untuk golongan seperti kami.”

Yusoff Din, 70,
pesara tentera

“Program ini sangat bagus. Kalau mahu buat di klinik, mungkin saya perlu bayar. Ia sangat membantu penduduk kurang berkemampuan.”

Tan Ah Nooi, 77,
warga emas


Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.