https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tawar harga mampu milik, Selangor tunai impian rakyat miliki rumah


OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK, NORRASYIDAH ARSHAD & SOFIA NASIR

Foto FIKRI YUSOF & REMY ARIFIN

SHAH ALAM,: Membina perumahan mampu milik antara ikhtiar utama Kerajaan Selangor untuk menyediakan kehidupan lebih baik yang diterjemah dengan pelaksanaan program Rumah Selangorku sejak sembilan tahun lalu.

Program itu antara inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP), dinikmati segenap lapisan masyarakat selaras agenda menjaga kebajikan rakyat membabitkan perbelanjaan lebih RM600 juta setahun.

Bermula dengan projek perintis di Rumah Selangorku Ukay Indah, Hulu Kelang, Kerajaan Negeri giat membina kediaman dengan kerjasama pemaju di pelbagai lokasi bagi memastikan warga Selangor layak, dapat memiliki rumah untuk berteduh daripada panas dan hujan.

Mengikut data Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), setakat 30 April lalu, sebanyak 33,920 unit kediaman pelbagai kategori berjaya disiapkan yang kini selesa diduduki pembeli.

Sebanyak 18,291 unit lagi dalam proses pembinaan manakala 175,486 pula pada peringkat perancangan termasuk menunggu kelulusan pihak berkuasa.

Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang. Foto ARKIB SELANGORKINI

Dibina di lokasi strategik berdekatan pelbagai kemudahan menjadi tarikan utama buat pembeli. Sekolah, hospital serta akses jalan mudah untuk dicapai, memudahkan pembeli tanpa perlu berjalan jauh.

Mampu milik

Menariknya, penawaran kediaman di kawasan tumpuan dengan keluasan minimum di antara 700 hingga 1,000 kaki persegi itu dijual pada harga antara RM42,000 hingga RM250,000, disifatkan sebagai harga mampu milik untuk kediaman di Lembah Klang.

Seiring peredaran masa dan menyedari keperluan, program itu diperkemaskan. Projek Rumah Idaman dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi nilai tambah yang berbaloi kepada pembeli.

Mengekalkan ciri utama iaitu pembinaannya harus di lokasi strategik dan harga berpatutan, Kerajaan Negeri memudahkan pula pembeli dengan melengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan mereka.

Setiap unit mempunyai dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Ada juga pemaju menyediakan kemudahan tambahan lain seperti gimnasium, kolam renang, taman permainan, dewan serbaguna dan surau.

Menerusi kluster Iltizam Perumahan Selangor di bawah ISP, Kerajaan Selangor tidak melupakan golongan yang hanya mampu menyewa pada masa kini dengan menyediakan mereka ke arah pemilikan rumah sendiri.

Tawaran sewa

Rumah diperoleh Kerajaan Negeri secara percuma atau kontra di bawah projek Rumah Selangor dimanfaatkan untuk melaksanakan iaitu Skim Smart Sewa dan Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY), diperkenal untuk memberi peluang kepada golongan gagal mendapat pembiayaan bank.

Menerusi Skim Smart Sewa, penyewa akan menikmati pemulangan sewaan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih minimum dua tahun atau maksimum lima tahun yang boleh digunakan sebagai wang pendahuluan membeli rumah.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail bergambar bersama penerima kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program 2Stay pula ditawarkan kepada mereka yang layak untuk sewaan sehingga lima tahun di bawah skim Smart Sewa. Mereka diberi pilihan sama ada ingin membelinya atau berpindah dan mendapat semula 30 peratus bayaran sewa.

Selangor turut memperkenalkan inisiatif deposit membeli rumah bagi membantu lebih ramai rakyat negeri ini memiliki kediaman. Diluluskan menerusi Belanjawan 2023, sejumlah RM100 juta diperuntuk untuk menjayakan Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor.

Dianggarkan 4,000 pemohon bakal mendapat manfaat menerusi skim patuh syariah itu. Wang pendahuluan antara 10 hingga 15 peratus disediakan selain bayaran bulanan tidak membebankan untuk tempoh lima hingga 10 tahun.

Berikut maklum balas pembeli rumah mampu di bawah program Rumah Selangorku yang ditemui Selangorkini di antara Ogos 2022 hingga Februari lalu:

“Saya tidak menyangka dapat memiliki rumah tiga bilik pada harga lebih rendah daripada pasaran.

“Sebelum ini kami terpaksa menyewa kerana harga rumah yang mahal. Tetapi sekarang rumah ini akan menjadi syurga baharu untuk kami sekeluarga.”

Noor Atikah Azlan, 31, pembeli Rumah Selangorku Seri Kenari, Kuala Selangor

“Saya tak putus asa. Saya isi lagi beberapa kali dan Alhamdulillah tahun lepas permohonan diterima. Harga ditawar murah berbanding pemaju lain malah lokasi juga di kawasan bandar.

“Ketika tengok rumah contoh, saya sangat tertarik. Kawasan kediaman lengkap dengan kemudahan. InsyaAllah dua tahun lagi saya dapat miliki rumah bandar di Bukit Raja.”

Norazura Ahmad, 30, pembeli Rumah Selangorku Gamelang, Klang

“Saya memohon pada Ogos tahun lalu apabila ternampak iklan projek perumahan ini dan berharap permohonan diluluskan kerana mahu ada rumah sendiri.

“Alhamdulillah permohonan amat mudah dan tidak perlu menunggu lama. Mungkin ini adalah hadiah perkahwinan kerana saya bakal mendirikan rumah tangga pada Jun tahun depan.”

Muhammad Altamis Bazil Mazlan, 26, pembeli Rumah Selangorku Bandar Serenia, Sepang

“Saya rasa harga rumah ini sangat berbaloi. Pada harga RM220,000 dapat memiliki rumah dilengkapi kipas, air panas, penghawa dingin, kabinet dapur serta dua lot parkir kereta.

“Lokasinya juga strategik dan menarik iaitu di Selayang dan berhampiran dengan banyak kemudahan.”

Lim Shaik Hoon, 34, pembeli Rumah Selangorku Pangsapuri Aman Siara, Gombak

“Ibu nasihatkan jangan buat pinjaman untuk beli kereta dahulu. Jadi saya turuti kerana ada kebenarannya kata-kata itu.

“Kebetulan rumah dimiliki ini hanya lima minit perjalanan dari rumah ibu. Saya gembira tidak jauh daripada beliau.”

Tanaseelan Naidu Tanabar Naidu, 29, pembeli Rumah Selangorku Pangsapuri Aman Siara, Gombak

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.