Lagi ucapan takziah atas pemergian Salahuddin
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam tadi.
Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.
“Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.
“Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perjumpaan pada minggu lepas merupakan pertemuan terakhir beliau dengan Allahyarham bagi membincangkan beberapa perkara dan memuktamad tiga kerusi Amanah yang bertindih selain jadual kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Tiga hari lepas Salahuddin hubungi lagi. Kali ini tetiba bertanyakan khabar kesihatan saya dan ingatkan saya perlu berehat. Semalam, saya ziarah beliau di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setelah diberitahu keadaan beliau.
“Rupanya itu pertemuan terakhir dan Salahuddin pergi buat selamanya. Saya kehilangan sahabat sejati. Wataknya lemah lembut, tutur bicaranya tersusun, sangat memahami perit jerih rakyat bawahan,” katanya.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli turut mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga segala usaha, jasa dan bakti Allahyarham dibalas dengan ganjaran pahala yang besar,” katanya.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang merendah diri dan sentiasa mengambil berat hal kebajikan rakyat.
“Dari jauh saya mengutuskan ingatan dan salam takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Saya mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan keluarga Allahyarham diberi ketabahan dalam mendepani dugaan yang amat berat ini,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.