https://critoxium.com/shop/

Terkini

Negara kehilangan seorang pemimpin jujur, tenang, berwibawa


 SAYA amat sedih dengan pemergian buat selama-lamanya sahabat karib saya Saudara Salahuddin Ayub. Tiada siapa menyangka Allahyarham akan pergi dengan mengejut terlebih dahulu dalam usianya yang masih muda.

Dengan rasa rendah hati, saya merakamkan ucapan takziah kepada Datin Seri Fatimah Taha serta seluruh keluarga Allahyarham. Semoga mereka cekal dan tabah menghadapi hakikat ini. Semoga dipermudahkan segala urusan.

Negara telah kehilangan seorang pemimpin yang jujur, tenang dan berwibawa. Namun, bagi saya sebagai seorang sahabat, masih tersemat di hati saya tentang apa yang telah kami bincang dan rancang untuk Pulai, untuk Johor, dan untuk Malaysia. Namun, takdir telah menentukan segala-galanya.

Saya mula mengenali Arwah secara peribadi apabila beliau menjadi ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, sewaktu penggal pertama saya sebagai ahli Parlimen Bukit Bendera pada tahun 2008.  
Kemudian kami berdua bertandang ke Johor untuk bertanding pada pilihan raya umum 2013.

Kami berkongsi impian untuk mengubah landskap politik Johor, khususnya dengan keyakinan bahawa jika Johor mampu berubah, Malaysia juga akan turut berubah. Saya diberi mandat untuk bertanding di Parlimen Kluang dan menang, manakala Allahyarham ke Parlimen Pulai tetapi percubaannya telah gagal.

Tetapi ia tidak melunturkan semangatnya, malah terus membara, terutama apabila menyedari rakyat sendiri mahukan perubahan pada PRU 2018. Kami kekal di Johor. Kali ini Allahyarham berjaya dalam percubaan kali kedua di kawasan yang sama tetapi saya pula gagal untuk merebut Parlimen Ayer Hitam. Walau apapun, kami mencatat sejarah kerana Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14 itu dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Sejak itu, kami semakin rapat dalam usaha untuk membina Johor sebagai kubu Pakatan Harapan. Pada pilihan raya negeri Johor Mac 2022, keakraban kami semakin rapat apabila saya bertanding kerusi DUN Perling yang terletak dalam kawasan Parlimen Pulai. Malah, di dalam Dewan Negeri, kami duduk bersebelahan.

Di Pulai/Perling, kami kerap melawat kawasan bersama serta turut sama-sama berkempen sepanjang PRU ke-15 pada November 2022 di mana saya bertanding di Parlimen Iskandar Puteri yang menjadi jiran kepada Parlimen Pulai yang berjaya Allahyarham pertahankan dengan penuh bergaya. Di bawah kepimpinannya selaku Pengerusi Pakatan Harapan Johor, kami telah memenangi 15 daripada 26 kerusi Parlimen.

Saya sangat gembira apabila Allahyarham dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Anwar Ibrahim. Inovasi Menu Rahmah yang dicetuskan oleh Arwah mendapat dukungan Perdana Menteri dan menjadi tajuk utama di mana-mana sahaja pada bulan-bulan awal Kerajaan Perpaduan.

Namun, beliau terpaksa menghadapi ranjau di sepanjang jalan kehidupannya. Dalam liku-liku politik yang lama sebagai pembangkang, ditekan dan dimangsakan oleh rejim pemerintah ketika itu, Allahyarham tidak pernah menyerah kalah. Malah cita-citanya untuk membina Malaysia yang lebih baik sentiasa menjadi pegangannya.

Allahyarham merupakan seorang insan yang tegas, namun baik budi pekertinya serta seorang pemimpin yang dihormati ramai. Malah sifat kepimpinannya yang prihatin mendengar pandangan turut diamalkan dalam pertemuannya dengan orang ramai.

Walaupun kerjaya politiknya bermula dengan PAS, jiwa dan amalannya sentiasa menghormati kepelbagaian kaum. Arwah merupakan sang pendamai dalam apa jua keadaan.

Tiada kata yang dapat menggambarkan kepiluan hati saya. Sepanjang 15 tahun perjuangan kami bersama, Allahyarham bukan sahaja sahabat politik tetapi juga seorang abang buat saya, terutamanya di Johor sepanjang dekad yang lalu. Hanya doa dan air mata mampu mengiringi pemergiannya.

Semoga Tuhan mencucuri rahmat buat Allahyarham.

 

* Liew Chin Tong Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.