Pelukan Terakhir Bang Din
Oleh Faiz Fadzil
Tidak kusangka, pelukan Bgdin dalam pertemuan minggu lalu adalah pelukan terakhir. Aku sangat terasa kehilangan tokoh politik hebat ini.
Mengenali Bgdin dari remaja sebagai pengikut kuat dan anak murid politik almarhum Ustaz Fadzil Noor, 20 tahun selepas itu aku pula yang menjadi pengikut kuat dan anak murid politik Bgdin.
Tokoh yang banyak mengajar aku seni berpolitik, teknik berbicara di medium umum dan berdialog dengan rakan dan musuh serta tokoh yang membina karier politik aku dengan memberikan aku banyak peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai lapangan politik samada bertanding, jawatan politik dan mesyuarat penting mahupun persendirian.
Kini aku juga kehilangan seorang abang yang dia anggap aku macam adiknya (menurut seorang kenalan akrab bgdin). Bgdin lah tempat aku mengadu masalah dan bertukar pandangan halatuju politik parti.
Bgdin selalu bertanyakan pandangan aku walaupun aku masih mentah dalam politik dan pentadbiran.
Sikap lemah lembut dan rendah diri ini merapatkan hubungan kami; bgdin biasa bahasakan dirinya “hang aku”. Minum malam lepak santai pasti aku rindui selepas ini. Sentuhan dan kasih sayangnya masih aku terasa. Tunjuk ajarnya masih aku perlukan
. Kepimpinannya satu kehilangan besar buat parti dan negara. Bgdin, ikrar aku semalam, untuk teruskan perjuangan ‘rahmatan lil a’lamin’ yang telah Bgdin pacakkan dalam hidup ini.
Pertemuan terakhir kami minggu lalu banyak pengajaran yang aku masih ingat, pasti menjadi panduan politik aku. Kami juga berbicara tentang projek ikan rahmah, Bgdin bertanya kepada aku “awat hang tak guna nama ikan rahmah?” Aku menjawab “kami guna nama madani, biarlah rahmah itu menjadi legasi Bgdin”.
Itulah kasih sayang aku dan tanda hormat dan sokongan aku kepada pemimpin, guru dan abang yang dijulang sebagai “hero rahmah”.
Sesungguhnya, aku bersaksi bahawa produk payung rahmah; bakul rahmah atau menu rahmah adalah idea Bgdin ketika pertemuan persendirian kami seminggu beliau menerajui kementerian perdangan dalam negeri dan kos sara hidup.
Kesungguhan Bgdin mengangkat produk rahmah adalah jiwanya yang sentiasa menyantuni rakyat, memahami denyut nadi rakyat dan seorang menteri yang sangat rajin bekerja untuk selesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup dan harga barang. Semagat juangnya dan prinsip politiknya pasti menjadi bekalan sisa perjuangan politik aku. Fabrik keikhlasan Bgdin dalam perjuangan beliau ini adalah satu optik.
Semoga Allah merahmati Bgdin, melimpahkan kasih sayang buat rohnya dan ditempatkannya di syurga. Kehilangan Bgdin terasa di saat aku kehilangan ayahanda ku. 2 ikon hebatvdalam hidupku Al-Fatihah
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.