https://critoxium.com/shop/

Terkini

Salahuddin gigih, usaha keras pastikan harga barang tak naik - Amanah


 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai seorang menteri yang aktif serta berusaha keras dalam memastikan tiada kenaikan harga berlaku di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Allahyarham juga merupakan individu yang cukup sinonim dengan konsep Rahmah yang memberi faedah kepada rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup.

"Allahyarham memang seorang yang gigih dan semasa menjadi Menteri yang menjaga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ini, Arwah amat aktif terutama sekali supaya harga barang tidak naik dan begitu keras berusaha termasuk bertemu dengan pihak syarikat dan majikan.

"Semua orang mengakuinya termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa Allahyarham antara menteri yang yang gigih dalam menjalankan tugas," katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar malam ini.

Mohamad, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), berkata persahabatan beliau dengan Salahuddin bermula dalam Pemuda PAS ketika berusia lingkungan 20-an hingga sekarang dan pemergian Arwah secara mengejut itu sudah pasti meninggalkan kesan terhadap dirinya.

"Allahyarham pergi ketika menjalankan tugas… ahli keluarga Arwah juga berada di sini dan saya sempat meminta anak-anaknya untuk pergi berbisik di telinga Arwah serta memohon maaf sekiranya ada salah dan silap.

"Selepas ini, jenazah Arwah akan diterbangkan terus ke rumah ibunya di Tanjung Piai, Pontian, Johor dengan pesawat khas yang dijangka bertolak pada 1 pagi nanti," katanya.

Sanusi hargai kerja keras Salahuddin

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Salahuddin serta seluruh ahli Amanah dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang budiman.

Muhammad Sanusi berkata beliau turut merasai kehilangan Salahuddin yang dikenali sejak 1997 malah Timbalan Presiden Amanah itu pernah beberapa kali menginap di rumahnya.

"Di pihak Kerajaan Negeri (Kedah) sendiri turut bersimpati pada keluarga (Allahyarham), kebetulan beliau sakit di Kedah...

"Saya ucap terima kasih kepada usaha beliau untuk menangani isu-isu kenaikan harga barang di bawah kementerian beliau serta apa-apa yang beliau bekerja keras... untuk itu, kita hargailah semua," katanya.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar pula berkata Allahyarham telah berjaya mengangkat agenda Rahmah di bawah kementeriannya sebagai enjin baharu yang memberi manfaat kepada semua pihak dan sektor ekonomi di dalam negara ini.

"Saya sangat rapat dengan Allahyarham daripada parti lama sampailah hari ini. Ini kehilangan besar, rakyat juga merasai kehilangan beliau.

“ Saya nak sebut : Din, rakyat Malaysia merindui kamu, terima kasih Din atas agenda Rahmah yang telah memberi keringanan ke atas beban hidup rakyat, terima kasih Din," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.