https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hong Kong larang beberapa makanan laut Jepun mulai 24 Ogos


HONG KONG: Pemimpin Hong Kong menentang keras pelepasan air radioaktif terawat daripada loji nuklear Fukushima yang lumpuh ke dalam laut oleh Jepun dan akan segera mengaktifkan kawalan import ke atas makanan laut negara berkenaan.

Ini berikutan Jepun mengumumkan akan melepaskan lebih daripada satu juta tan air dari loji di utara Tokyo yang ditegaskan selamat untuk berbuat demikian.

Loji berkenaan musnah akibat pada tsunami 2011 dan kebanyakan air itu digunakan untuk menyejukkan reaktor yang rosak.

Susulan itu, hab kewangan Asia itu berkata, larangan terbabit akan berkuat kuasa mulai 24 Ogos, bersamaan dengan hari Jepun mula melepaskan air terawat.

Walaupun diluluskan oleh badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rancangan untuk membuang air itu berdepan tentangan di dalam dan luar negara, termasuk China, kerana kebimbangan mengenai keselamatan makanan.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berkata pelepasan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan menimbulkan risiko kepada keselamatan makanan, pencemaran dan kemusnahan alam laut yang tidak boleh diperbaiki.

Lee berkata, beliau meminta Setiausaha Alam Sekitar, Tse Chin-wan dan jabatan berkaitan supaya segera mengaktifkan kawalan import bagi melindungi keselamatan makanan dan kesihatan awam.

"Tiada jadual waktu pada ketika ini mengenai berapa lama larangan yang meliputi produk akuatik hidup, beku, sejuk beku, kering, garam laut dan rumpai laut yang diimport dari wilayah Jepun itu akan berlarutan.

"Larangan itu membabitkan import dari wilayah Tokyo, Fukushima, Chiba, Tochigi, Ibaraki, Gunma, Miyagi, Niigata, Nagano dan Saitama.

"Bagaimanapun, eksport dari 13 wilayah lain masih dibenarkan," katanya sambil menambah bahawa keputusan akan bergantung kepada data dan maklumat daripada Jepun selepas pelepasan itu.

Hong Kong ialah pasaran kedua terbesar Jepun, selepas tanah besar China untuk eksport pertanian dan perikanan.

Banyak restoran bergelut dengan larangan yang semakin meningkat dan merancang untuk menambah lebih banyak daging ke dalam menu kerana menjangkakan kerugian sehingga 40 peratus.

Macau juga akan melaksanakan larangan mulai Khamis ini, meliputi barangan dari 10 wilayah Jepun yang sama. - REUTERS

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.