https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Betulkan’ parti, bukan salahkan DAP, kata pemimpin Umno


PETALING JAYA: Dua pemimpin Umno berkata parti itu patut melakukan pembaharuan terlebih dahulu dan bukan menyalahkan DAP atas kekalahan teruk Umno dalam pilihan raya baru-baru ini.

Seorang pemimpin Pemuda Umno yang enggan dikenali berkata, sudah tiba masa parti itu “membetulkan isunya sendiri”.

“Pada pilihan raya umum (November tahun lalu), terbukti Umno ditolak orang Melayu sedangkan parti tidak bekerjasama dengan DAP ketika itu,” katanya kepada FMT.

Parti itu hanya menang 26 daripada 120 kerusi dipertanding di bawah Barisan Nasional dalam pilihan raya umum, malah melawan Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi DAP, PKR serta Amanah.

“Kita tidak boleh bercakap mengenai apa yang berlaku di luar parti, sedangkan kita ada isu dalaman yang perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau mengakui ada antara akar umbi, khususnya di luar bandar, yang tidak selesa dengan gandingan Umno-DAP seperti dilihat menerusi kekalahan Umno di kerusi luar bandar.

Bagaimanapun, sumber itu berkata Umno patut mendekati pengundi yang tidak berpuas hati ini dan menjelaskan kenapa perlunya berganding bahu bersama DAP, tanpa berselindung di sebalik alasan bahawa Yang di-Pertuan Agong mahukan kerajaan perpaduan.

“Kita boleh beritahu pengundi bahawa Umno akan menjadi semak dan imbangan terhadap agenda DAP,” katanya mengulas gesaan supaya parti itu mengasingkan diri daripada PH, khususnya DAP, dalam pilihan raya akan datang.

Cadangan itu dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil yang berkata parti itu patut bertanding sendiri dalam pilihan raya akan datang, dilihat dapat menarik balik penyokong yang menolak kerjasama Umno bersama DAP.

Seorang lagi pemimpin bahagian yang juga tidak mahu dinamakan berkata, walaupun gandingan dengan DAP menjadi faktor penyumbang, pengundi Melayu telah menolak parti itu sejak kejatuhan bekas presiden Najib Razak.

Katanya, kepimpinan Zahid Hamidi tidak membantu keadaan, tetapi beliau “bukan satu-satunya isu yang wujud”.

Katanya, banyak keputusan dibuat oleh kepimpinan tertinggi yang mengakibatkan pengundi lari.

“Jadi mari kita selesaikan masalah kita sebelum bercakap mengenai gandingan dengan DAP. Malah saya boleh katakan DAP telah banyak ‘memberi muka’ kepada kita.”

Sumber itu berkata, DAP tidak memegang banyak jawatan dalam jemaah menteri, walaupun menang 40 kerusi dalam pilihan raya umum lalu iaitu yang terbanyak dalam kerajaan perpaduan.

DAP hanya mempunyai empat menteri dalam jemaah menteri Anwar Ibrahim, yang merangkumi 28 menteri serta 27 timbalan menteri.

“Jadi tiada gunanya merungut mengenai kerjasama kita dengan DAP. Mari kita perbaharui parti kita dulu,” katanya.

Seorang pemimpin kanan DAP yang turut tidak mahu dikenali berkata, Isham sepatutnya berhenti menyalahkan parti itu atas kehilangan sokongan terhadap Umno.

Katanya, Umno dibentuk bagi melindungi orang Melayu, tetapi sejak beberapa tahun ini lebih memanfaatkan golongan elit dan “mengabaikan majoriti masyarakat itu”.

“Dan kini ia menghantui mereka,” katanya dengan melihat kepada prestasi buruk parti dalam pilihan raya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.