https://critoxium.com/shop/

Terkini

Guna kes Zahid keluar kerajaan muslihat Syed Saddiq, kata pemimpin Umno


PETALING JAYA: Muda sudah tidak relevan sejak semua calonnya hilang deposit pada PRN enam negeri bulan lalu, kata seorang pemimpin Umno, sambil menyifatkan alasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan kerajaan kerana kes mahkamah Zahid Hamidi sebagai muslihat.

“Dari awal semasa PRN tempoh hari Muda bergerak sendiri, jadi apa yang dia kata nak keluar hari ini (semalam) beralasankan kes Zahid, ini semua alasan direka Muda,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Razlan Rafii kepada FMT.

“Dia sudah membuat keputusan keluar kerajaan perpaduan apabila bertembung dengan parti kerajaan perpaduan di enam PRN. Beliau (Muda) kalah semua dan hilang deposit,” kata setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri itu.

Razlan berkata, Muda sudah hilang arah tuju selepas kalah teruk pada PRN lalu, dan sengaja menggunakan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) presiden Umno daripada 47 tuduhan kes Yayasan Akalbudi untuk mengaburi mata ahli dan penyokongnya.

“Dia kena faham, keputusan mahkamah (kes Zahid) dibuat peguam negara sebelum ini (Idrus Harun) jadi saya rasa dia tak ada modal lain,” kata Razlan yang meminta Syed Saddiq tidak lupa kes mahkamah dihadapinya, melibatkan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram ketika mengetuai Pemuda Bersatu.

Selepas berteka-teki statusnya dalam kerajaan, Ahli Parlimen Muar itu semalam secara rasmi mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Presiden Muda berkata, ia sebagai protes keputusan DNAA Zahid terhadap 47 tuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi.

Dakwa Syed Saddiq, tindakan kerajaan dilihat permulaan menormalisasikan rasuah dan beliau enggan bertolak ansur dengan perbuatan tidak berprinsip seumpama itu.

Namun, katanya Muda akan menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi dua pertiga dewan walaupun berada di blok pembangkang. Sementara itu, Razlan berkata pendirian Syed Saddiq menunjukkan parti pimpinannya tidak mempunyai prinsip dan hala tuju jelas. “Kalau dia tahu sudut politik, dia perlu jadi matang untuk melihat kepada perlembagaan parti dan hala tuju sebenar partinya. “Kejap sokong, kejap tak sokong, kejap bantah kejap tak bantah. Jadi saya rasa Muda sebuah parti tidak ada prinsip apabila berparti.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.