https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan sampai negara Islam dilihat lemah tangani isu Palestin


Oleh Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor

Konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu menyaksikan peningkatan jumlah korban dan individu yang cedera. Terkini, lebih 10,000 rakyat Palestin terkorban dan angka ini dijangka akan terus meningkat susulan serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Gesaan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan seolah-olah tidak diendahkan rejim Israel. Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan Israel tidak akan sesekali tunduk dengan gesaan untuk melakukan gencatan senjata, sebaliknya akan terus mempertingkatkan serangan atas alasan menghapuskan pejuang Hamas.

Apa yang menyedihkan beberapa negara sekutu Israel terus mendukung tindakan Israel menyasarkan orang awam dan kemudahan strategik termasuk hospital, sekolah dan masjid.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terus gagal mencapai keputusan berhubung perang Palestin-Israel ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Dunia Islam pula masih ternanti-nanti apakah tindakan segera dapat dibuat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). OIC terus dilihat tidak mampu memainkan peranan signifikan di tengah-tengah konflik tercetus.

Perang Palestin-Israel sudah berlarutan lebih sebulan dan angka korban juga terus meningkat, namun OIC masih belum mengambil langkah proaktif sebagai pembela perjuangan Palestin.

Pada Sidang Kemuncak Tergempar Jumaat lalu, OIC terus gagal menatijahkan sebarang bentuk tindakan tuntas dan tegas bagi menangani konflik di Gaza dan apa yang berlaku dianggap 'wayang' dan tidak serius mempertahankan kedaulatan Palestin sebagai negara sah serta melindungi orang awam daripada serangan Israel.

Malaysia menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC Ke-8 di Riyadh, Arab Saudi dan menyatakan pendirian tegas mengenai usaha segera perlu dilakukan jika mahu menamatkan tindakan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.

Tangani penderitaan rakyat Palestin

Ketika krisis kemanusiaan masih berlarutan, serta keperluan utama bagi negara anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin, tetapi tidak ada apa yang boleh dilakukan pertubuhan itu.

Melihatkan kepincangan OIC bagi menangani krisis yang berlaku, ucapan Anwar dilihat lebih berani menuntut OIC memainkan peranan penting bagi mengetuai proses rundingan dan kerjasama pelbagai pihak bagi menyelesaikan konflik tercetus.

Dalam hal ini, hubungan baik antara Malaysia dengan beberapa negara OIC sepatutnya dijadikan peluang untuk sama-sama menggerakkan kempen menangani konflik. Bagi negara Arab khususnya yang mempunyai hubungan normalisasi dengan Israel, negara terbabit sepatutnya bertindak tegas seperti memutuskan hubungan diplomatik dan memanggil kembali duta negara masing-masing.

Hubungan normalisasi Arab-Israel yang terjalin sebelum ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang kebaikan diperoleh rakyat Palestin, sebaliknya kekejaman Zionis pula semakin meningkat.

Mesir yang dahulunya menjadi peneraju utama gerakan konfrontasi Arab-Israel sejak 1948 perlu memainkan peranan sewajarnya dengan membuka kembali pintu sempadan bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada rakyat Gaza.

Negara Islam khususnya dalam kalangan Liga Arab perlu menyedari agenda sebenar di sebalik percaturan blok Barat ke atas Asia Barat. Mereka sepatutnya tidak menjadi lidah Yahudi dan mengikut telunjuk dan tekanan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Peluang untuk menyekat sebarang bentuk kontrak kepada syarikat Israel atau syarikat yang menyokong Israel perlu dilaksanakan segera bagi menghukum kekejaman ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Sebagai alternatif, negara OIC perlu mewujudkan perancangan khusus bagi mengukuhkan ekonomi sesama negara Islam sebagai persediaan tindakan balas negara Barat dari aspek ekonomi disebabkan pendirian tegas terhadap Israel.

Negara OIC yang juga pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Qatar dan lain-lain seharusnya didesak supaya menggunakan softpower mereka ada, iaitu berhenti menyalurkan minyak kepada negara haram Israel dan negara sekutu mereka sebagai tanda protes terhadap penganiayaan berterusan kepada warga Palestin.

Tidak cukup sekadar itu, negara OIC perlu bertindak menghalang sebarang penerbangan dilakukan syarikat penerbangan Israel ke negara mereka atau menggunakan ruang udara.

Ketetapan juga harus dibuat semua negara OIC untuk mengutuk Israel di Parlimen negara masing-masing sebagai langkah solidariti berterusan bersama Palestin. Langkah ini juga tanda sokongan berterusan kepada rakyat negara OIC supaya pemimpin negara Islam tidak dilihat lemah dan lesu dalam menanggapi isu kemanusiaan ini.

OIC perlu lebih proaktif dalam usaha menyeret Israel ke mahkamah keadilan antarabangsa untuk dijatuhkan hukuman atas tindakan 'genocide', pembunuhan orang awam dan pencabulan hak asasi manusia dilakukan mereka.

OIC tidak sepatutnya bertindak dengan cara 'tunggu dan lihat' atau 'sembang kosong' sehingga akhirnya dimomokkan mereka hanya mampu berkata 'Oh I see' sahaja tanpa tindakan secara tegas.

Lebih manis lagi jika Malaysia menggerakkan kempen menyelamatkan Gaza dan Palestin serta menjadi juara dalam agenda membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis Israel.

Penulis adalah Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.