https://critoxium.com/shop/

Terkini

Palestin perlukan pembelaan konsisten warga dunia


Oleh Rusli Abdul Roni

Perang Palestin-Israel sejak sebulan lalu mendedahkan krisis di wilayah dijajah rejim Zionis menjadi perkara berakar di hati ramai manusia seluruh dunia, walaupun masih terdapat kelompok belum memahaminya realiti punca ia berlaku.

Konflik berlarutan di Palestin memberi kesan besar dan mendalam kepada warganya. Sebagai manusia, terutama Muslim, mereka ada tanggungjawab agama, moral dan kemanusiaan untuk memahami serta menyuarakan keprihatinan terhadap isu ini.

Justeru, merungkai isu dan konflik ini perlu memahami perkara utama iaitu memahami konflik Palestin bukan hanya masalah agama semata-mata. Ia isu merentasi sempadan agama, bangsa dan negara. Ia turut menyentuh elemen politik, sosial, ekonomi dan kawasan geografi rumit.

Ini bermakna sebagai individu atau masyarakat yang peduli dan prihatin, sejarah konflik di Palestin perlu difahami sepenuhnya. Ini adalah langkah pertama yang penting untuk memahami secara mendalam isu berkenaan. Apabila sudah memahami isu sebenar, baru penyelesaian tepat dan bersasar dapat dijelmakan.

Menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin tidak cukup hanya dengan kata-kata dan demonstrasi, tetapi boleh menyumbang dengan menyalurkan dana kemanusiaan melalui agensi kemanusiaan dipercayai, amanah dan aktif di Palestin.

Selain itu, setiap manusia, terutama Muslim mempunyai peranan penting untuk menyedarkan masyarakat dunia mengenai isu Palestin terutama melalui media sosial. Dalam era digitalisasi hari ini, suara individu memiliki impak besar dalam menentukan keputusan global.

Palestin ada hak hidup aman

Di sisi lain, melobi pihak berkuasa adalah tindakan penting. Pemimpin politik dan dunia mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan jitu bagi membawa kepada penyelesaian konflik di Palestin.

Sebagai warga dunia yang prihatin, perlu disedari konflik dan perang Palestin-Israel adalah isu hak asasi manusia. Rakyat Palestin seperti warganegara lain juga mempunyai hak asasi untuk hidup dalam aman, keselamatan terjamin, bermartabat dan mendapat keadilan.

Oleh itu, penekanan terhadap aspek hak yang adil untuk warga Palestin perlu diperjuangkan dan ini menuntut perlindungan dan penyelesaian berkekalan serta terus menerus untuk mereka.

Perlu dipastikan dalam usaha membantu mencari penyelesaian adil, warga dunia harus menolak segala bentuk keganasan dan penindasan.

Keganasan hanya menimbulkan lebih banyak penderitaan. Penolakan terhadap keganasan dan penghinaan adalah tindakan moral penting dalam mencapai perdamaian diidamkan semua pihak mahu menamatkan konflik di Palestin.

Sementara itu, orang Islam perlu terus berdoa untuk memastikan aspek keselamatan, keamanan dan keadilan bagi warga Palestin menjelma kembali serta memberikan mereka penyelesaian konflik lebih adil.

Ini adalah tugas moral dan spiritual seluruh dunia untuk mewujudkan kedamaian dan keamanan di wilayah bergolak itu sejak 1948.

Kesimpulannya, isu Palestin adalah isu kemanusiaan memerlukan tindakan konsisten dan jujur daripada semua individu seluruh dunia.

Berpandukan pengetahuan sejarah, pembangunan solidariti, kesedaran mendalam, lobi yang jitu, penolakan keganasan dan doa, kita semua boleh membantu membawa sinar cahaya penyelesaian adil di wilayah malang berkecamuk itu. Ia adalah tugas kita sebagai warga dunia yang prihatin.

Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Humaniti, Kolej Pengajian Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.