https://critoxium.com/shop/

Terkini

Manfaatkan APEC sebelum Gaza jadi padang jarak padang tekukur


Sehingga ke saat ini, bedilan Israel ke atas kemudahan di Semenanjung Gaza sudah membunuh 11,180 orang, kebanyakannya orang awam, memetik Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas.

Pada waktu tidak berbeza, jutawan hartanah di Amerika Syarikat (AS), Barry Sternlicht melancarkan kempen mengumpul sokongan untuk meningkatkan imej Israel serta memburukkan Hamas.

Kempen Facts for Peace dinaungi Josh Vlasto, iaitu ahli strategi komunikasi yang pernah bekerja dengan Senator AS, Chuck Schumer dan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo itu dilancarkan ketika bantahan solidariti pro-Palestin sedang hangat di seluruh dunia.

Turut mengecewakan, keputusan Canselor Jerman, Olaf Scholz menentang gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza biarpun terdapat gesaan global mendesak konflik Palestin-Israel dihentikan.

Bahkan, Olaf menyifatkan gesaan gencatan senjata segera atau penangguhan kemanusiaan bukan tindakan tepat dengan alasan langkah itu hanya memberi Hamas untuk pulih dan mendapatkan peluru berpandu baharu.

Dua laporan berita ini jelas menunjukkan wujud rancangan dan strategi terancang untuk menjadikan Gaza 'padang jarak, padang tekukur' serta 'menghalalkan' tindakan tentera rejim Zionis Israel menyerang penduduk awam di wilayah terkepung itu.

Atas faktor ini, masyarakat dunia terutama negara Islam tidak boleh berpeluk tubuh lagi melihat warga awam Gaza terus menjadi mangsa keganasan Israel kononnya memerangi tentera Hamas.

Melihat kepada perkembangan ini, sepatutnya tiada lagi alasan atau hujah untuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berlembut terhadap Israel serta negara sekutunya demi menyelamatkan saudara seagama di Gaza.

Lebih lama OIC bersikap 'tunggu dan lihat' atau sekadar mengkritik kekejaman Israel di Palestin pada forum dan persidangan antarabangsa, lebih banyak nyawa umat Islam di Gaza akan terkorban.

Soalnya sampai bila OIC sanggup membiarkan nasib orang awam di Gaza terus menjadi mangsa kekejaman Israel ketika tempat perlindungan seperti sekolah, masjid dan hospital dibom manakala bekalan elektrik dan air disekat.

Terkini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mahu menggunakan kesempatan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 bermula hari ini, untuk mengetengahkan situasi di Palestin, bagi tujuan meraih sokongan global.

Malaysia mahu membangkitkan isu ini dengan harapan akses kemanusiaan dan penyelesaian yang adil dapat dijelmakan di Palestin yang menjadi punca utama konfik di Asia Barat yang sudah berlarutan sejak 75 tahun itu.

Langkah dan inisiatif Malaysia ini mungkin dilihat 'kecil' namun jika tidak manfaatkan peluang terhidang ini, nasib rakyat Palestin akan terus tertindas tanpa pembelaan sewajarnya.

DR melihat komitmen Perdana Menteri ini menunjukkan Malaysia benar-benar mahu menyelesaikan segera konflik di Palestin. Namun tanpa bantuan serta sokongan negara Islam lain, usaha Malaysia ini dilihat sukar. Apa yang penting, ikhtiar Malaysia diharap dapat membuka jalan baharu untuk menamatkan episod genting di Palestin.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.