https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mesej terakhir sebelum dibom Israel


PENGEBOMAN tanpa henti Israel ke atas Genting Gaza lebih tiga minggu lalu telah meratakan seluruh kawasan kejiranan dan menyebabkan wilayah Palestin yang terkepung itu bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.

Angka kematian akibat kegilaan rejim Zionis juga telah melepasi 11,000 orang termasuk lebih 4,500 kanak-kanak kerana tempat selamat seperti masjid, gereja, pusat media, hospital dan pasar raya kebanyakannya telah dibom.

Akibat diserang dari segenap penjuru dan ketiadaan gencatan senjata, maka tidak hairanlah ramai penduduk Gaza yang tidak berdaya menjadikan platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter) dan Instagram sebagai tempat menyuarakan rintihan mereka.

Bagaimanapun, hanya teks, suara atau video mereka sahaja yang 'hidup' kerana orang yang menyiarkannya telah terbunuh dalam serangan udara. Malah, ramai yang memuat naik gambar atau cerita ringkas di X dan Instagram dengan nota bahawa ia mungkin mesej terakhir mereka. Haytham Harara, seorang wartawan di pejabat media kerajaan Gaza telah dibunuh pada 3 November lalu dan salah satu mesej terakhirnya dimuat naik di X pada 13 Oktober.

Antara mesej Haytham Harara yang dimuatnaik di X sebelum dia terbunuh ketika membuat liputan di luar pekarangan Hospital Al-Shifa pada 3 November lalu.

Antara mesej Haytham Harara yang dimuatnaik di X sebelum dia terbunuh ketika membuat liputan di luar pekarangan Hospital Al-Shifa pada 3 November lalu. Ia berbunyi: "Kami tidak akan pergi, kami tidak akan diasingkan dan kamu tidak akan melihat apa-apa daripada kami selain keteguhan, kepastian dan ketabahan. Jika kami berhijrah, maka ia adalah penghijrahan untuk bertemu Allah, Tuhan sekalian alam."

Haytham disahkan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Al-Shifa, salah satu kemudahan kesihatan terbesar di utara Gaza di mana terdapat beribu-ribu penduduk mendapatkan rawatan dan berlindung daripada pengeboman Israel yang berterusan.

DUNIA HANYA MEMERHATI

Seorang lagi penduduk Gaza, Dr Asmaa al-Ashqar yang bertugas di Hospital Al-Quds merekodkan mesej hanya 24 jam sebelum dia terbunuh dalam serangan udara Israel.

Dalam rakaman suara yang penuh emosi, dia mengatakan bahawa Gaza sedang dihapuskan dan dunia hanya memerhatikan tanpa mengambil sebarang tindakan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.