https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Tindakan 4 MP bukti kegagalan Muhyiddin sebagai pemimpin'


Sokongan beberapa pemimpin Bersatu terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membuktikan kegagalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin, kata Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Hazmi Hassan.

Katanya, keadaan itu juga jelas memperlihatkan gabungan parti pembangkang semakin kucar-kacir ketika mereka berulang kali mendakwa akan kembali menjadi kerajaan.

"Rakyat jelas melihat Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional telah gagal mengawal ahli parlimennya sendiri, malah hanya mengambil inisiatif untuk menghubungi mereka selepas keempat-empat ahli parlimen bertindak menyokong PMX.

"Rakyat akan sedar betapa Muhyuddin tidak memenuhi syarat untuk menjadi ketua pembangkang kerana kelemahan dan sentiasa gagal dalam memimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini empat ahli parlimen Bersatu mengiystiharkan sokongan terhadap pentadbiran perdana menteri, Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Kesemua mereka membuat keputusan itu dengan alasan demi kepentingan dan kebajikan pengundi di kawasan masing-masing. Sebagai timbal balik, mereka memperoleh peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM4 juta di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu Hazmi berkata Muhyiddin sebelum ini menunjukkan kegagalan sebagai perdana menteri ketika era pandemik Covid-19 apabila menjadikan darurat sebagai benteng untuk terus berkuasa.

Tambahnya, kerajaan pimpinan Muhyiddin juga terpaksa dibubar selepas hilang majoriti di parlimen, yang pertama kali berlaku dalam sejarah di Malaysia.

"Lebih memalukan pihak yang menarik diri adalah rakan komponennya sendiri, BN yang kemudian menjadi kerajaan selepas itu dan memberi ihsan padanya menjadi penasihat Ekonomi,” katanya.

Justeru Hazmi mencadangkan agar Muhyiddin bersara daripada politik demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Sesungguhnya itu adalah perkara yang terbaik untuk negara ketika ini.

“Jelas Muhyiddin ialah presiden yang gagal, gagal memimpin kerajaan sehingga terkenal dengan jolokan kerajaan gagal," ujarnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.