https://critoxium.com/shop/

Terkini

Andai tiba-tiba media sosial hilang


Oleh Ronasina

Bayangkan bila suatu pagi kita bangun dari tidur dan buka internet – semua media sosial hilang! Instagram tak boleh buka. TikTok tak jumpa. Threads, X, Facebook dan semuanya ghaib. Mula-mula kita ingat talian terputus, tapi bila WiFi elok, barulah kita tersentak. Panik! Memang panik! Kita tak dapat tengok apa-apa lagi tentang semuanya termasuklah cerita tentang diri kita. Dan kita juga tak dapat dilihat lagi oleh orang lain.

Apa akan jadi dengan hidup kita nanti? Tanpa media sosial, ramai antara kita akan rasa hidup ini kehilangan maksud. Sebab selama ini, makna hidup itu datangnya daripada perhatian dan pandangan orang. Dan, selama ini pandangan dan perhatian itu berpusat di medsos. Kalau tak ada siapa nampak kita lagi, apakah kita masih wujud? Kita pun menggelabah. Tak dapatlah kita utarakan pandangan kita yang bernas itu. Tak bolehlah lagi kita lihat komen ‘followers’ kita.

Kita mula sedar betapa selama ini banyak perkara yang kita buat bukan kerana kita nak buat tapi kerana mahu dilihat hendak berbuat. Aduh! Pening nak faham tapi itulah sebenarnya. Bila semuanya runtuh baharulah kita mula cuba nak faham kembali situasi sebenar dan siapa diri kita sendiri. Selama ini kita pamerkan perkara yang ‘best-best’ supaya nampak kita ‘best’ dan kita kongsi kenakalan kita supaya kita dilihat ‘cool’. Kita kongsi ‘post’ kemarahan kita terhadap sesuatu yang kita tak puas hati supaya nampak kita ‘rebel’ dan berani berjuang. Kita kongsi derita dan kesedihan kita juga supaya orang simpati dan beri komen. Tapi kini medsos dah hilang! Apa lagi yang tinggal?

Kita tak boleh buat lagi post mengecam kaum lelaki zaman ini yang kita rasa teruk dan tak layak dijadikan suami atau status kita menghentam perempuan muda menyondol laki orang. Siapa lagi yang dapat tonton video kita membantai musuh politik kita? Siapa lagi yang nak sokong ceramah agama kita yang gigih melabelkan aliran lain sesat? Tiada makna lagi hashtag dan filter. Yang tinggal hanyalah diri kita yang paling sebenar, yang dah lama kita abaikan. Diri yang dulu makan dan minum tanpa perlu merakam foto dan video. Yang dulu duduk bergelak ketawa bersama kawan-kawan rapat tanpa perlu lagi tag mereka sesudah menaikkan foto di Instagram. Diri kita yang dulu melayan sedih dengan lagu dan mengaji al-Quran tanpa perlu menulis di facebook. Kita tak dapat lagi menunjuk gambar kita bersembahyang dan menderma. Kita tak dapat lagi pujian menyatakan kita lawa dan kacak. Kita hilang gelaran ‘influencer’ yang selama ini handal memberi nasihat dan panduan hidup.

Kini dunia kita yang selama ini kita ‘jual’ di medsos sudah kiamat. Kita berdepan kembali dengan dunia sebenar. Kita mula mendengar kembali bunyi air menitis, desir angin yang bergeser dengan daun-daun di pohon. Kita dapat dengar kembali bunyi detik jam selari dengan detak jantung – sesuatu yang kita abaikan sekian lama sebab ralit ‘scroll’. ‘Sound effect’ ketawa dan muzik lucu di TikTok sudah tak ada. Malam hari kita kembali dengar bunyi cengkerik dan burung tukang. Kepala kita yang asyik menunduk menghadap skrin kembali tegak dan sesekali mendongak melihat cantiknya bulan.

Agaknya, bila medsos hilang, barulah kita dapat insafi hidup yang betul-betul hidup. Kita mula duduk bersama manusia lain dan bercakap memandang muka depan-depan. Ini tidak! Selalunya kita duduk ramai-ramai tapi semuanya memandang telefon dan masing-masing main ‘games’ atau buat ‘video call’ dengan orang jauh. Kita cerita masalah kita dengan kawan tetapi dia sibuk menatap telefon dan jawab acuh-tak acuh kerana sibuk menenangkan ‘friend’ alam maya yang menulis – baru saja dibuang kerja. Padahal ‘friend’ tersebut tak pernah langsung berjumpa.

“Apa kau cakap tadi?” tanya dia minta kau ulang semula selepas bersungguh kau luahkan perasaan. Tak kecewa kita?

Bila medsos terpadam barulah kita dapat teman depan mata yang benar-benar bersimpati dan prihatin; bukan hanya letak kata-kata di ruangan komen, ‘semoga dipermudahkan’. Kita pun berazam menjadi teman yang berempati, bukan apabila melihat kawan menulis tentang masalah – kita komen ‘tabahlah’ tetapi di belakangnya kita jadikan dia modal kejian. Walaupun di dunia nyata tetap ada tapi kita boleh nampak jelas, boleh pilih untuk hindar. Yang pasti, kita lebih kenal orang depan mata berbanding yang di alam maya itu.

Apa yang saya tulis ini hanyalah ‘kalau’. Tetapi saya rasa jika (jika pun sama erti dengan kalau, kan?) ia betul-betul berlaku, orang yang selama ini tidak aktif bermedia sosial itulah yang paling kurang terkesan agaknya. Ini kerana mereka sudah terbiasa hidup dalam dunia sebenar yang tidak memerlukan sorakan maya. Mungkin juga ada pihak yang selama ini berasa terabai akan mula puas hati, kerana semua orang akan kembali mengenal orang yang paling hampir di sekelilingnya.

Andai media sosial benar-benar hilang, ramai antara kita akan kehilangan ‘follower’ tapi percayalah, lambat-laun pasti kita akan mendapat semula diri kita sendiri. Setelah dapat sesuaikan diri, pasti kita akan kembali menikmati tidur yang tenang. Menggelabah adalah sementara sebab sifat manusia kemudiannya akan cuba berubah menyesuaikan diri dengan sekeliling. Tapi sifat seseorang manusia itu tak sama, kan? Ini hanya mengikut apa yang saya fikirkan. Entah bagaimanalah pula dengan manusia yang sifatnya lain daripada apa yang saya gambarkan di sini? Lebih baik atau lebih kalut?

Sebenarnya dunia maya itu bagi saya, adalah cerminan realiti hidup kita di dunia nyata. Ia sama saja. Seperti di dunia sebenar, kita juga terlalu sibuk dan leka bekerja mengejar cita-cita dan kehendak. Bayangkan dalam sibuk tak sempat meluangkan banyak masa dengan keluarga, tiba-tiba kita jatuh terjelepuk lalu hilang upaya. Akibatnya, semua pencarian kita terhenti. Automatik apa yang kita nak capai itu hilang tarikannya. Jika kita tak bersedia, kita akan tenggelam punca dan putus asa untuk hidup. Nikmat bila-bila masa sahaja boleh hilang seperti ghaibnya medsos serta-merta yang saya gambarkan tadi. Kita patut sedar kembali yang ‘tanpa apa-apa sokongan’, kita ini tak ada apa-apa dan bukan siapa-siapa. Sebab akhirnya bila kita sudah tiada dalam dunia ini, tiada siapa peduli lagi seperti hilangnya medsos yang selama ini kita mendapat komen dan ‘likes’ yang banyak- hakikatnya tak ada siapa peduli pun! Akhirnya kita kena hadap apa pun sendiri-sendiri. Nafsi-nafsi. Dengan penghayatan jiwa dan fikiran tentang apa yang kita imani selama hayat ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.