Semangat Persekutuan dipelihara di sebalik rayuan kes hasil Sabah
Oleh Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz -
Hubungan antara Persekutuan dan negeri, termasuk Sabah mempunyai sejarah rundingan panjang. Dalam konteks hubungan Persekutuan dan Sabah, bermula dengan Laporan Suruhanjaya Cobbold, hasil rundingan Inter-Governmental Committee (IGC) dan seterusnya kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Akta Malaysia, terdapat peruntukan jelas dalam Perlembagaan mengenai hak diperuntukkan bagi negeri itu.
Selain daripada Pemberian Ikut Kepala (Capitation Grant), Pemberian Jalan Negeri (Road Grant) dan Sumber Hasil yang diserahkan kepada negeri, Sabah mempunyai hak Pemberian Khas kepada negeri sebagaimana terkandung dalam Jadual Ke-10 Perlembagaan. Jadual Ke-10, Bahagian IV, Butiran 2 (1) menyatakan hak Sabah mendapat 'Pemberian Khas' yang jumlahnya sama banyak dalam setiap tahun dengan dua perlima daripada jumlah hasil bersih didapati Persekutuan dari Sabah…".
Geran Khas ini disahkan Mahkamah Tinggi Sabah ketika memutuskan kes difailkan Sabah Law Committee (SLC) terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.
Berkaitan kes ini, Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk tidak merayu atas isu substantif keputusan Mahkamah Tinggi itu, tetapi kerajaan berhasrat memadam atau menghapuskan kenyataan Mahkamah Tinggi dalam keputusannya. Lalu, tindakan kerajaan ini menimbulkan beberapa persoalan.
Adakah keputusan tidak merayu ke atas hal 40 peratus ini menjadikan keputusan mahkamah kekal? Ya. Kesediaan kerajaan tidak merayu ke atas perkara substantif kes itu menjadikan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai satu keputusan diterima dan menjadi kekal. Secara jelasnya tindakan kerajaan ini boleh dianggap sebagai ketulusan menerima peruntukan Perlembagaan.
Bolehkah persoalan dibangkitkan dalam rayuan nanti hanya membabitkan kenyataan dalam alasan penghakiman, bukan perkara substantif dan adakah perkara ini lazim berlaku?
Keputusan substantif
Hasrat kerajaan menghapuskan atau memadamkan kenyataan mahkamah dan mempersoalkan alasan kepada keputusan substantif kes ini menimbulkan persoalan sama ada perkara ini lazim dilakukan atau tidak. Lazimnya rayuan pihak ke atas keputusan mahkamah ialah atas keputusan substantif mahkamah.
Keputusan substantif dalam kes ini ialah Sabah berhak mendapat 40 peratus Pemberian Khas seperti dalam IGC atau dua perlima sebagaimana disebut dalam Butiran 2, Bahagian Keempat, Jadual Sepuluh Perlembagaan.
Mempersoalkan alasan kepada keputusan substantif itu menjadi suatu bukan kelaziman. Namun, sekiranya ia dibenarkan undang-undang, maka walaupun bukan lazim, tetapi ia boleh dilakukan.
Petikan daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang menjadi persoalan adalah seperti berikut: "203. Here, the two governments, in breach of their constitutional duties imposed upon and powers vested in them under the FC at Article 112C read with subsection (1) of section 2 of Part IV of the Tenth Schedule and Clauses (1), (3) and (4) of Article 112D, did not consider the 40 percent entitlement in respect of the lost years".
Adalah perlu juga diberikan perhatian antara remedi dimohon SLC pada perenggan 18(2)(a) penghakiman kes ini ialah untuk mendapatkan suatu deklarasi: "The failure of the first respondent to hold the second review in the year 1974 with the second respondent is a breach and contravention of its constitutional duty stipulated under Article 112D, Clauses (1), (3) and (4) of the Federal Constitution."
Perlu ditegaskan apa juga tindakan diambil kerajaan dalam membuat rayuan atau tidak bersetuju dengan kenyataan hakim dalam keputusan mahkamah ini bukan satu perbuatan menghina mahkamah, ia adalah tindakan berasas kepada lunas undang-undang.
Adakah keputusan Mahkamah Tinggi dan tindakan Kerajaan Persekutuan menunjukkan ketinggian MA63, Akta Malaysia atau Laporan IGC? Apabila bercakap ketinggian dokumen ini, perlu ditegaskan penubuhan Persekutuan Malaysia atas dasar sejarah dan perjanjian dimaktubkan dalam dokumen sejarah.
Pendekatan mahkamah sebelum ini menegaskan kepentingan dokumen atau instrumen berkaitan. Justeru, mahkamah berhak merujuk kepada dokumen atau instrumen di luar Perlembagaan bagi membaca peruntukan Perlembagaan dan menentukan suatu perkara berkaitannya.
Kaedah melihat kepada sejarah (historical approach) adalah salah satu cara atau satu kaedah diterima pakai dalam mentafsir undang-undang.
Maka tidak menjadi kesalahan bagi mahkamah merujuk kepada dokumen berkaitan penubuhan Malaysia dan ini bukan menjadikan dokumen itu lebih tinggi daripada Perlembagaan. Dengan kata lain, Perlembagaan kekal sebagai undang-undang tertinggi bagi Persekutuan.
Persoalan seterusnya ialah adakah keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ini membuka peluang kepada negeri lain untuk menuntut kuasa autonomi lebih luas?
Soal tuntutan autonomi, malah apa juga tuntutan, sama ada tuntutan fiskal atau lainnya, hendak berasaskan kepada undang-undang, terutama Perlembagaan. Sekiranya hak negeri dinyatakan dalam Perlembagaan, maka negeri berhak menuntutnya. Walaupun begitu, bagi mengelakkan ketegangan dalam hubungan antara Persekutuan dan negeri, dasar rundingan juga menjadi mekanisme utama.
Sejarah kita membentuk Persekutuan, sama ada pada 1957 atau 1963, semuanya adalah atas dasar rundingan. Pendekatan perundangan, walaupun dibenarkan dan diiktiraf, hendaklah menjadi pilihan terakhir. Walaupun masa berlalu dan perubahan politik serta kepemimpinan, semangat asal penubuhan Persekutuan perlu ditegaskan dan ditegakkan supaya hubungan Persekutuan dan negeri terus erat dan berkekalan serta membawa kebaikan kepada negara dan seluruh rakyat.
Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA)





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.