Perbuatan manusia jejas populasi penyu
Oleh Prof Madya Dr Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah -
POPULASI penyu yang suatu ketika dahulu menjadi lambang kekayaan biodiversiti laut kini semakin tenat. Hari ini, ancaman terhadap kelangsungan hidupnya semakin meruncing, semuanya berpunca daripada perbuatan manusia.
Antaranya termasuk plastik yang hanyut di lautan, menjadi antara ancaman besar kepada penyu, terutamanya Penyu Agar. Haiwan itu biasanya mudah terkeliru antara plastik dan obor-obor, iaitu makanan semula jadinya.
Justeru, plastik yang disangka santapan menjadi racun, perlahan-lahan membunuh. Ia menyumbat sistem pencernaan, menyebabkan kelaparan yang menyakitkan dan akhirnya membawa kepada kematian.
Statistik membuktikan betapa seriusnya ancaman ini, dengan lebih separuh daripada populasi penyu dunia pernah memakan plastik secara tidak sengaja, dan satu daripada lima berisiko mati hanya selepas sekali menelannya. Di Terengganu sahaja, sebanyak 72 ekor penyu ditemukan mati sepanjang tahun 2022, dan hampir kesemuanya berpunca daripada plastik yang dimakan.
Namun, plastik bukan satu-satunya malapetaka yang meragut nyawa. Di dasar laut, alat
tangkapan ikan seperti pukat pari dan pukat tunda turut menjadi perangkap maut. Penyu yang terjerat tidak dapat naik ke permukaan untuk bernafas, dan akhirnya mati. Statistik tahun 2022 mencatatkan 45 peratus kematian penyu di Terengganu akibat pukat pari, manakala 38 peratus lagi berpunca daripada pukat tunda. Apa yang dianggap sebagai sumber rezeki bagi nelayan, menjadi tali pengikat nyawa bagi penyu.
Sementara itu, di daratan pula, pembangunan yang rakus meratah pantai turut menambah luka kepada ekosistem penyu. Pantai yang dahulunya menjadi lokasi penting untuk penyu bertelur, kini berubah menjadi pusat peranginan, hotel, dan tarikan pelancongan. Hakisan pantai semakin menjadi-jadi, pencemaran cahaya daripada lampu buatan mengganggu naluri semula jadi penyu yang hanya bertelur di tempat gelap dan sunyi.
Gangguan fizikal akibat kehadiran manusia dan binatang peliharaan menambahkan tekanan kepada proses pendaratan dan penetasan anak penyu. Anak penyu yang baru menetas sering kali terkeliru dengan cahaya lampu, menyangka ia adalah lautan, lalu bergerak menuju ke daratan dan mati sebelum sempat mengenal samudera.
Semua situasi ini memberi kesan besar kepada populasi penyu di Malaysia. Penyu Belimbing, misalnya, yang dahulunya menjadi kebanggaan Terengganu, kini hampir lenyap. Pantai Rantau Abang, yang pernah menjadi saksi kedatangan spesies ini, tidak lagi menerima kehadiran Penyu Belimbing sejak kali terakhir dikesan mendarat pada tahun 2017.
Namun, di sebalik kedukaan ini, masih ada usaha yang diperkasakan. Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat tidak duduk diam. Di Tanjung Gemok, Port Dickson, misalnya, sebuah pusat konservasi diwujudkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi melindungi penyu daripada ancaman manusia. Di sini, telur penyu yang dikesan berada dalam kawasan berisiko tinggi dipindahkan ke lokasi selamat untuk ditetaskan secara separa semula jadi. Pusat ini bukan sekadar tempat perlindungan, tetapi juga ruang pendidikan dan kesedaran, memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenal lebih dekat hidupan laut yang kini berada di ambang kepupusan.
Dalam dunia yang semakin moden dan berkembang, penyu menjadi peringatan mengenai harga yang dibayar apabila manusia terlalu leka. Justeru, jika tiada tindakan segera, satu demi satu spesies yang kita kenal hari ini mungkin hanya tinggal dalam buku sejarah dan gambar kenangan
Tanjung Gemok nadi konservasi penyu negara
Malaysia, sebuah negara tropika yang kaya dengan biodiversiti marin, menjadi antara lokasi penting bagi pendaratan penyu laut. Empat daripada tujuh spesies penyu dunia menjadikan perairan negara ini sebagai habitat dan lokasi bertelur; Penyu Agar, Penyu Lipas, Penyu Belimbing dan Penyu Karah.
Jika Rantau Abang di Terengganu sudah lama dikenali sebagai lokasi ikonik pendaratan penyu, Tanjung Gemok di Port Dickson pula menyimpan rahsia alam yang masih belum diterokai sepenuhnya. Di sinilah, hidupan laut purba ini kembali setiap tahun, dari bulan Mac hingga Oktober, untuk menyambung kitaran hidup yang sudah wujud lebih 100 juta tahun.
Kehadiran penyu di pantai barat Semenanjung Malaysia bukan hanya fenomena alam, tetapi bukti bahawa ekosistem laut dan pantainya masih memiliki daya hidup yang perlu dipertahankan. Di Tanjung Gemok, proses pendaratan dan penetasan telur penyu berlangsung dalam senyap, namun impaknya cukup besar. Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 2,600 telur penyu berjaya diselamatkan di sekitar pantai Port Dickson, termasuk di Tanjung Gemok, dengan 2,300 daripadanya berjaya ditetaskan dan dilepaskan semula ke laut.
Sehingga Mei 2025, lapan sarang baharu dikenal pasti di sepanjang pantai dari Lukut hingga ke Tanjung Tuan, memperkukuh lagi kedudukan kawasan itu sebagai salah satu titik penting konservasi penyu di Malaysia.
Penyu bukan sekadar reptilia laut yang unik bentuknya, tetapi juga memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem marin. Penyu Agar, sebagai contoh, membantu mengawal pertumbuhan rumpai laut dengan memakannya, lalu membolehkan lebih banyak cahaya matahari menembusi dasar laut untuk merangsang fotosintesis. Hasilnya, oksigen dilepaskan dan karbon dioksida diserap, memberi kesan langsung kepada kesihatan laut dan hidupan marin lain seperti ikan, ketam dan sotong.
Kawal populasi obor-obor
Penyu Belimbing pula membantu mengawal populasi obor-obor, yang jika tidak dikawal, boleh mengganggu rantaian makanan laut. Malah, sarang penyu yang ditinggalkan memberi nutrien kepada tumbuhan pantai, menyumbang kepada kestabilan kawasan pesisir.
Selain peranannya dalam ekosistem, penyu juga menjadi aset ekonomi melalui sektor pelancongan lestari. Aktiviti seperti pelepasan anak penyu dan lawatan ke pusat konservasi menarik minat pelancong dalam dan luar negara. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor pelancongan menyumbang RM275.8 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2023. Produk pelancongan berasaskan alam, termasuk konservasi penyu, memberi manfaat langsung kepada ekonomi setempat, dari segi penginapan, makanan, sehingga kepada jualan kraftangan.
Pemuliharaan penyu di Port Dickson masih belum digerakkan secara menyeluruh. Walaupun pemantauan sarang dijalankan secara sukarela oleh penduduk dan organisasi tempatan, dan NGO seperti Reef Check Malaysia serta ECOMY terbabit dalam penyelidikan dan pendidikan komuniti, semua usaha ini masih bergerak secara terpisah. Ketiadaan pelan pengurusan bersepadu yang membabitkan semua pihak berkepentingan secara sistematik menjadikan hal ini satu kelemahan utama dalam agenda pemuliharaan jangka panjang.
Bagi memastikan Tanjung Gemok kekal sebagai tapak penting bagi pendaratan penyu, langkah proaktif perlu segera dilaksanakan. Kerajaan negeri dan Persekutuan disaran untuk mewartakan kawasan ini sebagai Zon Perlindungan Penyu di bawah Akta Perikanan 1985, bagi mengawal sebarang bentuk pembangunan dan pencemaran. Satu pelan pengurusan pantai menyeluruh juga perlu digubal untuk memastikan pembangunan yang berlaku tidak mengorbankan biodiversiti.
Dalam masa sama, alat penyisih penyu (TED) wajar diwajibkan ke atas semua nelayan, dan latihan serta insentif harus diberikan kepada komuniti nelayan supaya mereka turut menjadi barisan hadapan dalam pemuliharaan marin. Penambahbaikan pusat konservasi sedia ada, khususnya dari segi infrastruktur dan dana operasi, turut perlu diberi perhatian supaya lebih banyak program pendidikan, pemantauan dan penyelidikan dapat dijalankan secara konsisten.
Tanjung Gemok bukan sekadar satu titik di peta, tetapi cerminan kepada perjuangan kita mempertahankan warisan alam yang semakin terancam. Jika langkah tidak diambil sekarang, kita bukan sahaja kehilangan habitat penyu, tetapi juga kehilangan peluang untuk membina masa depan yang lebih seimbang antara manusia dan alam.
Timbalan Pengarah (Pengurusan Risiko), Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UKM





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.