https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ke mana hala tuju parti Semenanjung?


Perubahan paling mendadak kepada parti-parti politik Semenanjung Malaysia selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ialah apabila DAP yang kehilangan semua kerusi yang mereka tandingi.

Tetapi banyak pemerhati politik mengandaikan bahawa tamparan terhebat dihadapi oleh DAP itu juga sebenarnya merupakan pukulan kepada PH dan kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hal itu kerana dengan 40 kerusi parlimen, DAP merupakan tonggak kerajaan Madani. Tanpa DAP, kedudukan PH akan mengecil dan kerajaan Madani pasti tumbang.

Katakanlah dalam PRU akan datang PH bekerjasama dengan BN secara pakatan longgar. Masing-masing akan bertanding dengan menggunakan lambang sendiri. Kerjasama hanya berbentuk tidak bertembung sesama sendiri.

Pada masa sama aktivis kedua-dua pihak digalakkan membantu antara satu sama lain. Begitu juga penyokong kedua-dua pihak wajar mengundi calon sama ada PH atau BN.

Dalam PRU akan datang, Anwar dan penyokong-penyokongnya berharap dia dapat menjadi perdana menteri untuk penggal kedua, sekali gus meneruskan kesinambungan kerajaan Madani atas kerjasama PH dan BN.

Tetapi keadaan itu akan hanya boleh berlaku jika PH dan BN dapat mempertahankan kedudukan kerusi mereka atau - yang lebih baik - dapat menambah jumlahnya lebih banyak lagi.

Juga yang penting ialah jika PH tetap memperoleh kerusi lebih banyak. Kalau BN memperoleh kerusi lebih daripada PH, maka Anwar tidak boleh menjadi perdana menteri, sebaliknya Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, lebih layak.

Sabah tak sama dengan ‘Malaya’

Namun jika melihat keputusan PRN Sabah, BN dan PH tiada harapan. BN hanya memenangi enam kerusi, manakala PH menang satu saja iaitu PKR. Dalam kekalahan itu, BN mendahului PH.

Jika apa yang dialami oleh DAP itu melarat ke Semenanjung Malaysia, PH pasti kembali menjadi pembangkang. Apabila DAP tumbang, Amanah pasti kecundang.

Tanpa undi Cina, PKR juga akan gagal. Anwar pasti tidak akan menjadi perdana menteri semula.

Kerajaan Madani akan tinggal sejarah.

Tetapi tanpa PH, BN juga tidak akan menjadi kerajaan jika ia hanya mampu mempertahankan kerusi sedia ada. BN perlu bekerjasama dengan PN terutamanya PAS jika mahu berada dalam kerajaan.

Namun begitu, senario di atas adalah simplistik atau terlalu dipermudahkan.

Walaupun DAP kelihatan 'panik' dan dengan segera mengadakan mesyuarat pimpinannya, mereka sebaliknya lebih faham tentang keadaan politik di Sabah dan Semenanjung.

Walaupun DAP membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan e-Invois, banyak lagi isu yang akan mereka ketengahkan untuk menarik sokongan orang Cina khususnya pengundi muda.

Saya ada berbincang dengan seseorang yang rapat dengan ahli politik DAP. Menurutnya, landskap politik Sabah tidak boleh mencerminkan apa yang akan berlaku di Semenanjung.

Pengundi muda Sabah beralih dari DAP ke Warisan dengan kepercayaan bahawa parti itu boleh membentuk kerajaan negeri. Warisan menjadi popular kerana ia bukan “parti Malaya”.

Bukan kerajaan minoriti

PRN Sabah itu adalah soal negeri. Justeru wajarlah pengundi Sabah memilih “parti Sabah" lebih-lebih lagi dalam suasana gelombang Sabah First (Utamakan Sabah).

Tetapi apabila melibatkan soal persekutuan, suasana politik adalah Berbeza. Dalam hal itu, suara Cina wajar bersatu dalam DAP kerana parti itu perlu ada dalam kerajaan.

Walaupun DAP tidak akan dapat menunaikan semua janjinya, keberadaan parti tersebut dalam kerajaan akan membolehkan ia memberi sumbangan kepada negara menurut fahaman politik mereka.

Ada banyak orang menyebut betapa ada pengundi menolak calon DAP dan PKR kerana mereka tidak menepati janji kempen, melaksanakan manifesto PRU dan melaksanakan reformasi.

Namun ramai orang lupa bahawa dalam PRU dahulu, PH tidak menang dalam erti kata ia memperoleh majoriti. Ini bermakna dalam PRU lalu pengundi secara keseluruhannya menolak janji kempen PH, manifesto dan reformasi yang diperjuangkan oleh PH.

Sebab itu PH tidak berjaya meraih kemenangan akibat penolakan tersebut, justeru PH tidak berkewajiban melaksanakan janji kempen, manifesto dan reformasi.

Adalah tidak wajar bagi rakyat menuntut manifesto sedangkan mereka telah menolaknya dalam PRU.

Sungguhpun begitu, PH memperoleh kerusi terbanyak (82) berbanding lawannya, PN (74) dan BN (30). Untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, PH perlu mengajak parti lain bagi membentuk majoriti. Kesediaan BN dan parti-parti Sarawak dan Sabah menguatkan usaha PH menubuhkan kerajaan.

Walaupun ia bukan kerajaan perpaduan dalam erti kata sebenar - kerana PN enggan menyertainya - tetapi dengan sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Ada orang menyatakan bahawa kerajaan Madani ini adalah kerajaan minoriti. Itu juga tidak tepat. Hal tersebut kerana kerajaan pimpinan Anwar sudah mendapat majoriti.

Andai kata BN, GRS dan GPS enggan menyokong PH dan PH terus menjadi kerajaan, maka pada ketika itu barulah boleh disebut kerajaan minoriti.

Pun begitu, sebagai kerajaan minoriti ia tetap boleh memerintah negara sehingga habis penggal.

Semua parti boleh hilang kerusi

Justeru sebagai kerajaan Madani ia tentunya tidak boleh melaksanakan semua janji kempen, manifesto dan reformasi. BN, GPS dan GRS tidak mendukung reformasi tajaan PH. Begitu juga dengan janji dan manifesto.

Sebarang dasar dan inisiatif yang hendak dilakukan oleh perdana menteri dan PH hendaklah dipersetujui oleh BN, GPS dan GRS yang hanya boleh dicapai melalui mesyuarat kabinet.

Untuk menyatakan bahawa DAP menguasai kerajaan Madani adalah pasti tidak betul. Pertama, kerana DAP kena menghadapi PKR dan Amanah dalam Majlis Presiden PH. Kemudian PH pula perlu berdepan dengan BN, GPS dan GRS.

Ada pengundi Cina dan India yang kecewa pada DAP. Kumpulan itu mahu DAP menjadi pembangkang semula supaya bebas menyuarakan kepentingan mereka.

Andai kata DAP meninggalkan PH, maka hayat kerajaan Madani akan berakhir. Anwar terpaksa membubarkan parlimen dan mengadakan PRU baru.

Atau jika DAP keluar dari PH tetapi masih tetap menyokong kerajaan Madani, kerajaan tidak tumbang. Perbezaannya hanyalah tiada menteri DAP dalam kabinet.

Atau PH terus hidup dengan dianggotai oleh hanya PKR dan Amanah. Tanpa pengundi Cina dan India, PKR akan kalah di banyak kerusi, malah Anwar akan kalah di Tambun. Amanah pula akan kehilangan semua kerusinya. Sebaliknya tanpa undi Melayu, DAP juga akan kehilangan banyak kerusi.

Jika PKR, Amanah dan DAP kembali menjadi pembangkang, apa yang untungnya bagi pengundi Cina? Pihak yang boleh menggantikan kerajaan Madani adalah sama ada BN, PN atau kerjasama kedua-dua belah pihak. Itu terpulang kepada keputusan pilihan raya nanti.

Siapa PM pilihan Cina, India

Ramai penyokong BN - yang kini hanya tinggal Umno dan MCA - mengimpikan kembali berkuasa seperti zaman Najib Razak dahulu.

Tetapi Ahmad Zahid yang pernah menulis tesis mengenai politik pilihan raya tahu dan pernah berkata bahawa zaman BN menguasai negara seperti dahulu - sama ada melalui majoriti dua per tiga atau majoriti mudah - sudah berlalu.

Realitinya di Malaysia, selepas 2022, tidak akan ada lagi parti politik tunggal yang mampu meraih majoriti bersendirian seperti pada 2018 atau sebelumnya. Selepas tempoh itu, semua parti akan menjadi minoriti.

Untuk menubuhkan kerajaan, gabungan antara parti adalah perlu.

Maka jika DAP keluar dari PH, gabungan yang terbesar kelak ialah PN. Dalam PN pula, PAS merupakan parti terbesar. Malah PAS dijangka akan lebih besar jika berjaya merampas kerusi PKR dan Amanah yang lemah.

Siapakah akan menjadi perdana menteri? Bersatu telah menetapkan Muhyiddin Yassin walaupun parti itu sedang mengalami perpecahan. Andai kata PAS mahu tentukan jawatan itu, mungkin mereka memilih Hamzah Zainudin.

Namun jika diperhatikan bahawa PAS mempunyai kerusi terbanyak, maka Abdul Hadi Awang berhak menjadi perdana menteri.

Ataupun jika dia menolak jawatan itu, maka yang menjadi perdana menteri kelak ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Apabila pilihan telah dibuat, maka rakyat ikut sajalah.

Dalam kalangan pengundi Cina dan India, siapa yang mereka mahu menjadi perdana menteri? Adakah Muhyiddin, Hamzah, Abdul Hadi atau Samsuri?

Maka terpulang pada rakyat yang menentukannya.

ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.