Kuota ahli majlis PBT sebagai ghanimah parti politik
Untung menjadi ahli parti pemerintah, terutamanya jika di peringkat kerajaan negeri.
Jika betul cara dan aliran politik, dapat diangkat ke posisi yang banyak punca kuasa serta duit rakyat tanpa perlu melalui apa-apa pilihan raya.
Inilah yang berlaku apabila ahli-ahli parti politik dilantik menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan-kawasan tertentu.
Tidak lupa juga, parti-parti politik ini mempuyai kuota masing-masing untuk melantik ahli majlis. Inilah pembahagian hasil peperangan (ghanimah) yang terhasil apabila parti politik menang dalam pilihan raya.
Di Selangor contohnya, PH menjadi parti terkuat dalam pemerintahan, justeru ahli-ahli majlis PBT terdiri daripada wakil PKR, DAP dan Amanah.
Di Johor, situasinya tidak banyak berbeza apabila BN memerintah, justeru ahli-ahli majlis terdiri daripada wakil Umno, MIC dan MCA.
Jawatan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) ataupun lebih dikenali sebagai ketua kampung juga disusun mengikut kuota parti.
Tidak kira parti mana yang memerintah, mereka akan mengisi jawatan ahli majlis dan ketua kampung mengikut kuota dan hierarki parti.
Baru-baru ini, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengumumkan kuota jawatan 24 ahli majlis dibahagikan antara parti-parti PH iaitu 11 dari PKR, tujuh Amanah dan enam DAP.
Mendaki tangga politik
Semuanya lantikan politik tanpa pilihan raya yang. Tidak mustahil juga jika perkara yang sama berlaku di Kedah, Terengganu, Kelantan ataupun mana mana negeri.
Inilah tradisi yang diamalkan oleh semua parti politik yang pernah atau sedang memerintah di Malaysia.
Sebagai rakyat Malaysia yang membayar cukai dan seterusnya membayar gaji mereka ini, ada dua persoalan yang perlu dilontarkan.
Pertama, kenapa perkara ini berlaku sehinggakan ia menjadi tradisi, dan kedua, apa yang sepatutnya berlaku?
Ada parti politik yang menggunakan sistem lantikan ahli majlis ini sebagai talent pipeline untuk ahli-ahli mereka. Jika kita lihat dalam konteks DAP, mereka menggunakannya untuk menyediakan pemimpin mereka dalam aspek berkhidmat untuk rakyat dan pentadbiran.
Rata-rata ahli parlimen ataupun Adun yang mewakili DAP pernah berkhidmat sebagai ahli majlis, terutamanya yang dianggap sebagai generasi baru.
Ada yang menyokong sistem ini kerana ia dianggap sebagai satu proses untuk mendaki tangga politik. Justifikasi yang selalu diberikan ialah untuk memberi pendedahan dalam proses pentadbiran, membuat kerja-kerja komuniti dan mengemudi sistem birokrasi kerajaan.
Tidak boleh nafikan, bukan semua ahli parti politik boleh menang dalam pilihan raya sama ada di kerusi parlimen ataupun DUN.
Justeru bagaimana pemimpin parti politik ingin menjaga hak dan membalas pengorbanan ahli-ahli mereka?
Proses lantikan ahli majlis inilah yang dijadikan platform mereka mengagihkan jawatan kepada ahli supaya tidak berlaku pergaduhan sesama ahli.
Sebagai contoh, seorang Adun parti A boleh lantik ahli majlis dalam kalangan penyokongnya untuk memastikan semua berpuas hati selepas mereka berkorban masa, tenaga dan wang ringgit ketika berkempen.
Tidak boleh digadaikan
Contoh yang lain, satu bahagian dalam parti politik boleh mencadangkan ahli jawatankuasa cawangan untuk diangkat sebagai ahli majlis kerana ingin “pegang” ahli tersebut.
Kiranya, melantik ahli majlis melalui kuota parti politik ini sebenarnya satu strategi politik untuk menguatkan pengaruh dan kekal berkuasa dalam sesebuah parti.
Sebab itu, kita dapat lihat ada parti politik yang bergaduh dan bertengkar apabila kuota ini dibincangkan.
Pada 2024, Umno Selangor bergaduh dengan PH Selangor kerana tidak berpuas hati dengan kuota ahli majlis yang diberikan. Ada yang kata ia hanyalah wayang dan drama politik, tetapi wayang dan drama tersebut tidak sepatutnya berlaku langsung kerana kuasa lantikan ahli majlis itu sepatutnya menjadi hak rakyat.
Justeru apa yang perlu dilakukan?
Kita tidak nafikan ada ahli majlis yang bagus dan rajin bekerja untuk menyelesaikan masalah setempat. Ada juga yang menggunakan platform lantikan ini sebagai tempat untuk menimba ilmu dalam aspek pentadbiran dan kerja-kerja membantu komuniti.
Tetapi, prinsip yang perlu diketengahkan sama sahaja. Prinsip ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang tidak boleh digadaikan demi kepentingan kestabilan politik.
Alasan real politik merupakan satu alasan yang lapuk dan tidak mencerminkan kehendak rakyat.
Jika ada yang kata “rakyat tidak kisah pun” atau “ada rakyat yang sokong”, mereka hanya duduk dalam gelembung penyokong tanpa mengambil tahu tentang kehendak dan kemahuan rakyat.
Apa yang rakyat boleh buat sekiranya mereka tak setuju dengan cara lantikan ahli majlis yang mengikut kuota parti politik?
Kita perlu mendesak agar semua parti membuang cara berpolitik yang lama dan ketinggalan zaman. Kita perlu menolak budaya yang mementingkan dan menjaga anak-anak buah lebih daripada prinsip akauntabiliti serta dan semak imbang.
Kita perlu mendesak kerajaan untuk mengembalikan kuasa mengundi ahli majlis kepada rakyat menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
ADAM AZRAI MAZLI ialah pegawai khas Pemangku Presiden Muda merangkap Adun Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.