Kelangsungan Amanah menjelang PRU16
Dalam tempoh penggal ke-15 berbaki dua tahun lebih sahaja, beberapa parti berpengaruh mengalami krisis yang mengoyah kesepaduan masing-masing.
Ia bermula dengan kekalahan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli dalam pemilihan yang melebarkan pertembungan dalaman dan mencetuskan permusuhan. Dakwaan perseteruan antara kem presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainuddin, pertembungan dua pendekatan dalam PAS untuk memilih hala tuju serta paling menghangatkan apabila cadangan Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh supaya Umno meninggalkan Kerajaan Perpaduan ditolak.
DAP pula seakan-akan mencari kompas baru setelah tertampar dengan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah Disember tahun lalu.
Situasi-situasi tersebut memperlihatkan parti-parti yang sangat berpengaruh dalam episod politik Malaysia hari ini dalam dilema untuk menentukan haluan mereka bagi menghadapi PRU ke-16. Huru-hara yang timbul ini akibat daripada perhitungan antara mengekal status quo atau memilih jalan baru.
Namun Amanah sebagai sebuah parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan dilihat tidak mengalami krisis buat masa ini. Meskipun Amanah baru berusia 10 tahun, pemain-pemain politik yang sedang memimpin Amanah merupakan tokoh politik senior yang sangat berpengalaman dalam rencam politik. Amanah dilihat tersudut dalam perkelahian politik Malaysia. Amanah juga jarang menjadi tumpuan media dan awam terkait dengan isu-isu semasa.
Apakah maksud keadaan ini kepada Amanah? Adakah Amanah sememangnya tidak mempunyai krisis dalam parti ketika ini? Atau sebenarnya Amanah mempunyai masalahnya tersendiri namun tidak diendah atau dipedulikan oleh pihak media dan masyarakat atas kedudukannya yang kurang menonjol dalam politik?
Di lapangan semasa, Amanah dilihat ketinggalan dalam proses pengembangan ahli. Akar umbi Amanah seakan-akan membeku, malah ada yang sedang terkubur. Mengapa ini berlaku? Atas beberapa faktor, antaranya kurangnya proses pengembangan cawangan di seluruh negara. Kedua, setelah cawangan wujud, proses mengekalkan momentum ahli untuk berperanan dalam parti kurang diberi perhatian. Ahli sekadar mengisi borang, diraikan minggu pertama dan kedua kemudian senyap. Baik tiada aktiviti yang sesuai untuk diadakan ataupun kurang keupayaan memposisi ahli di tempat yang sesuai.
Kesannya, ahli Amanah yang menyertai parti mungkin bertambah, tetapi yang hidup, yang berperanan, yang rasa mereka adalah sebuah parti pemerintah merosot. Lama-kelamaan mereka ibarat kelompok non-partisan yang tidak mampu memberi limpahan baik buat parti Amanah.
Ketiga, asas yang paling dominan adalah kepimpinan yang berkesan. Mengulas isu ini amatlah sensitif, memandangkan ia boleh dibingkai sebagai usaha untuk menjatuhkan kepimpinan tertentu demi menaikkan pemimpin tertentu. Hakikatnya, isu kepimpinan parti tidak akan berbangkit jika kepimpinan sedia ada berjaya mengekalkan kekuatan dan kesepaduan ahli parti dari semasa ke semasa.
‘Kerusi hitam’ di Sabah
Apa yang berlaku hari ini, Amanah seakan-akan tidak mempunyai kekuatan yang didambakan sehingga mereka dilihat kurang penting dalam politik Malaysia. Buktinya Amanah diberikan “kerusi hitam” untuk ditandingi di PRN Sabah–kerusi bawah parlimen yang dikuasai oleh Shafie Apdal. Ahli Amanah yang tulus ikhlas berjuang habis-habisan di sana, meskipun di atas kertas, peluang mereka amat tipis.
Begitu juga dengan rombakan kabinet lepas, tiada pertambahan kerusi buat Amanah. Ia bukan isyarat ampuh bahawa Amanah lulus dengan kehadiran empat wakil mereka dalam kabinet. Sebaliknya Amanah gagal membuat tuntutan dalam proses rombakan kabinet sehingga terlepas sekurang-kurangnya posisi timbalan menteri hal ehwal agama islam. Bagi Amanah, kedudukan itu amat penting memandangkan Amanah membawa aspirasi Islam yang damai dan sejagat. Bukankah meletakkan Amanah di situ akan memperkukuhkan citra Islam yang sebenar di Malaysia selain memperkukuhkan imej Islam Pakatan Harapan (PH) di mata rakyat.
Semua ini boleh dikesampingkan jika Amanah bukanlah parti yang berpengaruh dan mempunyai akar umbi yang kuat. Sekarang ia berlaku dan itu menjadi petunjuk yang jelas akan kedudukan Amanah hari ini.
Memberi laluan kepada generasi baru memimpin Amanah bukan bererti pemimpin senior salah dan kalah. Jasa dan zaman kegemilangan mereka telah berlaku dan terus mekar dalam catatan sejarah politik Malaysia. Tiba masanya muka baru menerajui Amanah bagi meletakkan selling point yang segar buat politik Malaysia.
Amanah tidak boleh berlengah dan mengambil haluan yang salah, sebaliknya memanfaatkan krisis yang sedang berlaku pada kawan dan lawannya bagi membuktikan mereka mempunyai politik baru yang ingin dipersembahkan dan diperjuangkan buat rakyat. Dalam keadaan rakyat keliru dan muak kepada politik semasa, Amanah tampil menjadi penawar dan pilihan generasi muda yang dambakan politik matang, berteraskan manfaat untuk rakyat, serta menegakkan syariat Islam.
Amanah mesti bermula dengan kepimpinan yang baru. Ini memandangkan tokoh politik lama mempunyai imej yang terpalit dengan senario politik lama. Justeru mengangkat muka baru sebagai pemimpin Amanah akan membuka jalan yang lebih baik buat Amanah sekurang-kurangnya dilihat menonjol, berperanan dan mempunyai keupayaan mendampingi kewibawaan Anwar Ibrahim.
Jangan disangka Amanah tidak mempunyai krisis, tidak disebut dalam media bahawa Amanah selamat dan kuat. Hakikatnya Amanah sedang menguncup dan lemau akibat kurangnya agenda parti yang mampu mengangkat peranannya di mata masyarakat, agama dan negara.
ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.