Perlu pilih presiden komponen terajui PN, kata Muhyiddin
Oleh Elill Easwaran
KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) perlu dipilih daripada kalangan presiden parti komponen, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Beliau yang melepaskan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu berkata, pendirian itu ialah keputusan Bersatu dan hanya terdapat empat presiden parti dalam gabungan berkenaan.
Selain Muhyiddin, presiden lain Hadi Awang dari PAS, Dominic Lau dari Gerakan dan P Punithan dari Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Bekas perdana menteri itu berkata, Hadi menolak untuk mengambil alih kepimpinan PN atas faktor kesihatan dan beliau mengakui timbul dilema daripada pendirian Bersatu.
“Jika saya sudah letak jawatan, salah seorang daripada tiga yang lain perlu menjadi pengerusi PN. Tetapi, jika tiga yang lain tidak boleh menjadi pengerusi, bolehkah anda beri saya satu penyelesaian?
“Jadi, kita telah sampai ke tahap ini sekarang. Kita perlu melihat keseluruhan keadaan akhirnya. PN perlu menjadi lebih mampan pada masa depan,” katanya dalam wawancara bersama beberapa wakil media malam tadi.
Muhyiddin berkata, beliau akan mencadangkan pindaan terhadap perlembagaan PN bagi memperbaiki pentadbiran gabungan itu, tertakluk kepada persetujuan Majlis Tertinggi PN.
Jelasnya, pindaan itu bakal membawa beberapa perubahan jawatan dalam gabungan itu, tetapi akan memastikan kelangsungan PN.
Walaupun Muhyiddin bertegas pengerusi baharu PN perlu daripada kalangan presiden komponen, tetapi beberapa pemimpin PN lain, termasuk dari Bersatu sendiri berpendapat jawatan itu tidak semestinya dipegang presiden parti.
Meskipun Hadi dilaporkan menolak untuk mengambil alih jawatan itu atas faktor kesihatan, tetapi beliau pernah berkata PAS akan menerajui PN.
Antara nama dari PAS yang disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin termasuk Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tiba masa PN pilih ‘poster boy’, usah tersinggung pilihan Bersatu
Dengan PRU16 semakin hampir, Muhyiddin berkata, PN perlu memilih “poster boynya”.
Walaupun Bersatu menamakannya calon perdana menteri untuk PRU16, tegasnya, itu hanya cadangan partinya dan komponen lain dalam PN tidak patut tersinggung.
“Jika semua empat (komponen) mahu menjadi calon perdana menteri, tidak mengapa. Akhirnya, kita boleh bincang sebelum membuat keputusan muktamad untuk PN.
“Kita tidak akan bergaduh. Tetapi, bagi saya, mungkin tiba masanya kita membuat keputusan siapa calon perdana menteri PN seterusnya kerana rakyat mula memikirkan PRU16.”
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyentuh hubungannya dengan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dengan berkata “ia boleh jadi lebih baik”.
Kedua-duanya dilaporkan terbabit pergelutan kuasa dalam Bersatu, dengan ketegangan dalaman membawa kepada pemecatan dua Ahli Parlimen, Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang dikatakan berpihak kepada Hamzah.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.