Polis agak berlebihan bertindak ?
Oleh Fathi Aris Omar
Polis agak berlebihan bertindak apabila menahan bekas wartawan semata-mata kerana soalan yang agak dangkal kepada George Galloway.
Malah, sebenarnya, soal siasat juga tidak perlu! Tidak kisah ada aduan atau tidak, polis tidak perlu ambil keterangan pun! Kenapa perlu layan aduan remeh daripada mereka yang remeh?
Sejak dahulu saya tidak bersetuju polis layan semua aduan tanpa melihat merit atau beban keseriusan sesuatu aduan. Khasnya dalam isu seremeh pendapat wartawan ini.
Saya pernah dipanggil ke balai kerana menjadi pembicara di satu forum, lama dahulu, di dewan Cina di Kampung Attap, Kuala Lumpur pada 2004.
Isunya seorang pembicara menyebut Madinah zaman dahulu tidaklah sekompleks zaman kini. Kota itu ibaratnya sebesar Bukit Beruntung! Timbul kontroversi kecil tapi tiada aduan polis.
Lebih sepuluh tahun kemudian, apabila kem politik berpecah, ucapan yang sedikit kontroversi itu diadukan kepada polis Petaling Jaya. Maka beberapa orang dipanggil untuk beri keterangan.
Waktu itu saya sudah pindah kerja di Malay Mail, sudah meninggalkan mStar Online dan Malaysiakini Tiba-tiba dapat panggilan, diminta beri keterangan.
Saya sendiri sudah ingat lupa suasana forum tersebut walau macam ingat isu "D.O. Bukit Beruntung." Jadi saya tidak hadir. Saya beritahu, perkara itu sudah terlalu lama untuk dikenang!
Saya sebenarnya cukup biasa berurusan dengan pegawai penyiasat khasnya ketika di Malaysiakini. Malah sejak berdiri portal ini pada hujung 1999, saya (dan beberapa editor) ada hubungan positif dengan Bukit Aman dan juga IPD Brickfields.
Tetapi saya tidak pernah bersetuju polis layan semua aduan yang remeh. Sebab ia merugikan kerja asasi polis! Walau mungkin sudah jadi SOP agar semua aduan mesti ada keterangan.
Jadi, soalan wartawan dalam isu Gaza itu terlalu remeh untuk dilayan. Galloway sendiri menjawab dengan penuh bijaksana, cerdas dan diplomasi. Cukup, sepatutnya sudah berakhir di situ.
Sepatutnya ia tidak perlu diangkat menjadi isu atau dipolitikkan. Isunya hanya satu: wartawan perlu lebih arif persoalan, banyak baca dan berbincang. Itu sahaja persoalan pokok. Kerana memang ada gejala kelemahan dunia kewartawanan.
Tetapi isu ini bukan isu politik pun! Jauh sekali isu jenayah yang wajar disiasat bawah Akta Hasutan. Soalan itu dangkal, ya, kita boleh bahas. Beliau nampak tidak begitu faham isu, ya.
Tetapi bukan sejenis hasutan. Soalan ini macam sesi latihan atau mengajar. Misalnya kita tanya: Mana kau tahu Tuhan wujud? Macam mana kau pasti Muhammad menerima wahyu?
Contoh soalan saya ini sekadar retorika untuk belajar dan faham. Bukannya tanda meragui agama. Atau tanda seseorang yang murtad.
Begitu jugalah soalan wartawan tersebut yang datang daripada tanggapannya. Tanggapan itu hasil rumusan satu buku yang dibacanya. Tetapi dunia ini jauh lebih kompleks daripada buku itu.
Persoalan di Timur Tengah dan tindakan affirmative di Malaysia jauh sangat berbeza! Malah dasar penyerapan identiti paksa (forced assimilation) di Thailand dan Indonesia sudah berbeza dengan Malaysia. Negara kita jauh lebih longgar.
Saya sebenarnya malas layan isu ini. Saya anggap soalan itu sekadar satu lagi contoh kelemahan wartawan dan kekurangan dunia kewartawanan.
Saya sudah muak berbicara soal ini. Bertahun-tahun saya membebel soal ini, dari bilik berita ke dalam tulisan ke atas pentas forum. Bukan isu baharu.
Saya anggap semua ini "tragedi" bangsa sahaja. Wartawan yang dangkal, malas mengkaji dan sukar berbincang topik-topik yang cerdas.
Tetapi bukan media dan wartawan sahaja. Ia sudah jadi penyakit umum masyarakat kita. Kedangkalan seumpama ini ada di mana-mana sahaja.
Kejahilan asasi muncul di mana-mana. Ada mahasiswa tidak tahu berapa tahun DS Najib Razak dihukum penjara, misalnya. Ada akhbar harian popular tidak masukkan berita kematian Pramoedya Ananta Toer sebab editor tidak rasa tokoh sasterawan serantau itu berita penting!
Penceramah agama, guru, penjawat awam, lulusan universiti, golongan profesional, sasterawan, budayawan, aktivis dan orang politik. Semua mereka jahil banyak perkara dan berhujah dangkal.
Sejak 1970-an pemikir kita Syed Hussein Alatas membicara soal ini dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun. Kita juga biasa dengar ungkapan "profesor kangkung" dilabel untuk pensyarah dan "insulting our intelligence" untuk mengecam pemimpin politik.
Pengguna media sosial, apatah lagi. Kita sebut "palatao" sahaja atau "terpaling" dalam semua isu. Tengok coretan Minda Presiden, kau ingat semua kata-kata itu ada isi yang boleh dipakai? š
Ringkasnya, walau ia buruk dan memalukan, kedangkalan bukan sejenis jenayah. Tidak perlu disiasat. Malah tidak perlu dijadikan isu politik. Ia perlukan huraian dan perbahasan yang cerdas. Itu sahaja yang kita perlukan.
NOTA: Isu kebebasan bersuara seumpama ini masuk dalam ruang debat yang kabur, kelabu dan keliru. Jadi tidak sesuai dibaca atau dibahas oleh mereka yang tidak canggih cara berfikirnya.
Jika kita paksa juga, cara berhujah kita itu nampak mentah, dangkal dan keliru seperti wartawan tadi. Yang itulah maksud saya di atas: "... bukan media dan wartawan sahaja. Ia sudah jadi penyakit umum masyarakat kita. Kedangkalan seumpama ini ada di mana-mana sahaja."





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.