https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mimpi Di Bilik Merah ajak penonton hayati ruang


Sebuah pengalaman teater yang menolak batas konvensional dipersembahkan menerusi The Dream of the Red Chamber: Awakening, sebuah teater promenade (jelajah ruang) anjuran Muka Space yang berlangsung di Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang, Selangor dari 25 hingga 28 Disember lalu.

Dipentaskan sempena ulang tahun ke-310 kelahiran Cao Xueqin, pengarang agung Dinasti Qing, karya ini menafsir semula novel klasik Cina, Mimpi di Bilik Merah — sebuah epik yang menampilkan hampir 900 watak — dengan memberikan tumpuan khusus kepada 12 watak wanita sebagai teras pementasan.

Menurut pengarah Easee Gan, produksi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Muka Space untuk meneroka karya sastera dan isu sosial melalui pendekatan teater eksperimental. Pemilihan Mimpi di Bilik Merah sebagai sumber ilham didorong oleh kekuatan emosinya serta kerelevanannya yang merentas zaman.

The Dream of the Red Chamber: Awakening tidak berhasrat untuk “mengajar” sastera klasik atau sekadar menghidupkan nostalgia. Sebaliknya, pementasan ini mengemukakan satu persoalan asas: Apakah makna mimpi lama dalam dunia moden yang bergerak pantas?

Produksi ini terbitan dan persembahan oleh Muka Space dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta kerjasama Sekolah Menengah Pin Hwa, Shiny Universe, Yayasan Kumpulan Tindakan, Kelab Feminisme Universiti Malaya dan rakan kolaborasi lain.

Berbeza dengan teater konvensional yang meletakkan penonton di dalam posisi duduk dan pasif, The Dream of the Red Chamber: Awakening menggunakan format teater jelajah ruang, apabila penonton perlu bergerak secara fizikal dari satu lokasi ke lokasi lain.

Setiap penonton dibekalkan peta dan sepanjang pengalaman imersif itu, mereka berperanan sebagai khalayak aktif yang perlu mencari serta menemui 12 watak yang ditempatkan di 12 lokasi berbeza di sekitar kawasan sekolah.

Setiap ruang — termasuk bilik darjah, koridor, auditorium dan kawasan terbuka — berfungsi sebagai latar dramatik kepada watak tertentu, menjadikan keseluruhan kampus sebagai medan pementasan.

Dua belas orang gadis

Pendekatan ini menjadikan pengalaman pementasan tidak bersifat linear. Urutan pertemuan dengan watak bergantung sepenuhnya kepada laluan yang dipilih penonton, sekali gus membentuk pengalaman naratif yang berbeza bagi setiap individu.

Pengarah Easee Gan berkata The Dream of the Red Chamber asalnya merupakan sebuah novel epik yang kaya dengan lapisan sosial, psikologi dan falsafah, serta menampilkan ratusan watak daripada pelbagai latar.

Namun, pementasan ini tidak bertujuan mengadaptasi keseluruhan karya tersebut. Sebaliknya, ia memilih 12 watak wanita — diinspirasikan daripada konsep Dua Belas Gadis Jinling — sebagai simbol kepada pengalaman belia, emosi dan peralihan hidup.

“Pemilihan 12 watak ini bukan berdasarkan penceritaan semula plot novel, filem atau drama televisyen tertentu, tetapi merupakan tafsiran kontemporari terhadap arketip (pola asas) watak dalam karya Cao Xueqin,” katanya kepada Malaysiakini.

“Pementasan ini juga dipersembahkan dalam empat bahasa — Mandarin, Bahasa Malaysia, Inggeris dan Kantonis sebab mempunyai penonton yang berbilang kaum,” katanya.

Pendekatan berbilang bahasa ini bukan sahaja mencerminkan realiti masyarakat majmuk, malah mengukuhkan tema dialog merentas generasi dan zaman yang diketengahkan oleh produksi ini.

Dua belas watak yang ditemui sepanjang perjalanan pementasan berfungsi sebagai arketip emosi, masing-masing mewakili pengalaman dan konflik dalaman manusia yang berbeza.

Sesal, diskriminasi, berundur

Sebahagian daripada watak-watak ini bergelut dengan penyesalan terhadap pilihan hidup yang telah dibuat, terperangkap antara apa yang diinginkan dan apa yang terpaksa diterima.

Dalam persembahan, terdapat watak yang sentiasa berdepan diskriminasi — sama ada kerana jantina, latar belakang atau peranan sosial — sehingga suara dan potensinya sering dipinggirkan oleh masyarakat sekeliling.

Ada juga watak yang dianugerahkan bakat serta kepekaan luar biasa namun terhalang oleh struktur, peraturan dan jangkaan yang membataskan kebebasan diri. Sebahagian lagi memikul tekanan untuk sentiasa sempurna, sehingga keletihan emosi menjadi beban senyap yang menghimpit.

Tidak kurang juga watak yang memilih untuk berundur, memerhati dan berdiam diri — bukan kerana ketiadaan keberanian, tetapi kerana kesedaran bahawa tidak semua perjuangan dapat dimenangi melalui penentangan terbuka.

Dalam ruang dan masa pementasan yang terhad, setiap watak berdepan persoalan tentang identiti, keinginan, peraturan sosial dan masa depan — persoalan yang kekal relevan serta dekat dengan realiti generasi muda hari ini.

Ada yang melawan arus, ada yang tunduk kepada keadaan, ada yang tumbang di tengah perjalanan, dan ada juga yang akhirnya ‘terjaga’ — menemukan kefahaman baru tentang diri dan dunia di sekeliling mereka.

Pementasan ini berakhir dengan alunan piano klasik yang lembut namun menghimpit emosi, mengiringi kemunculan kesemua 12 watak wanita di dalam satu ruang bersama.

Sekolah ruang peralihan

Setelah sebelum ini ditemui secara terpisah, pendedahan kolektif ini menjadi momen kesedaran — seolah-olah menyatukan serpihan mimpi yang telah dilalui penonton sepanjang perjalanan.

Menurut pengarah, keputusan mementaskan karya ini di kampus sekolah turut membawa makna simbolik. Dalam konteks pementasan, sekolah digambarkan sebagai ruang peralihan — tempat terakhir yang relatif terlindung sebelum seseorang melangkah ke dunia dewasa.

Pendekatan ini selari dengan konsep Grand View Garden dalam novel asal, yang sering ditafsir sebagai ruang indah tetapi sementara, melambangkan kemurnian, harapan dan kemusnahan.

Bagi Easee Gan, pementasan ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah ritual artistik yang mengajak penonton merenung persoalan identiti, keinginan, peraturan sosial dan perpisahan — isu yang terus bergema dalam kehidupan belia masa kini.

Melalui pendekatan imersif (penghayatan), penonton bukan sahaja menyaksikan cerita, tetapi turut “mengalami” perjalanan emosi watak-watak tersebut secara dekat dan peribadi.

The Dream of the Red Chamber: Awakening mencerminkan usaha menghidupkan karya sastera klasik bukan melalui nostalgia atau penceritaan semula, tetapi melalui dialog yang hidup dengan realiti semasa.

RACHEL KOH ialah siswi bidang pengajian media.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.