Peranan Wilayah Persekutuan dalam perpaduan kaum
Persekutuan Malaysia berdiri di atas dua gagasan penting iaitu perpaduan kaum dan integrasi nasional. Perpaduan kaum sudah mula dirintis sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 bahawa rakyat negara ini terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.
Sementara integrasi nasional digerakkan sejak pemisahan Singapura daripada Malaysia dengan negara ini dituntut melakukannya antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah
Saya membesar di Kuala Lumpur dari tahun 1965 hingga 1969 dan kemudian menyambung semula sebagai warga ibu kota mulai tahun 1975 hingga 2014.
Pada tahun 1969, saya sering melihat lori sampah hijau bertuliskan ‘Ibu Kota’. Ia merujuk pada Suruhanjaya Ibu Kota. Suruhanjaya itu ditubuhkan pada tahun 1961 menggantikan Majlis Bandaran Kuala Lumpur yang diwujudkan pada tahun 1948 menggantikan Kuala Lumpur Sanitary Board.
Suruhanjaya ini adalah dipercayai badan bersama negeri dan persekutuan walaupun Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada Selangor, malah merupakan ibu negerinya
Ahli majlis bandaran Kuala Lumpur dipilih melalui pilihan raya tempatan pada tahun 1952, 1955, 1957, 1961 dan 1963. Ia dihentikan pada tahun 1965.
Selepas itu ahlinya dilantik oleh kerajaan negeri. Suruhanjaya itu pula diketuai oleh Pesuruhjaya Ibu Kota. Semasa peristiwa 13 Mei, saya berada di darjah empat dan melihat api menjulang di kawasan Chow Kit.
Selepas peristiwa itu, perintah berkurung diisytiharkan, sekolah ditutup dan saya duduk saja di rumah. Setelah sekolah dibuka, kami terpaksa pergi sekolah pada setiap hari Sabtu untuk menggantikan hari yang kami tidak boleh pergi ke sekolah.
Pada 15 Mei 1969, Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan dengan Tun Razak Hussein menjadi Pengarah Operasi yang berkuasa penuh untuk memastikan keamanan dan membangun semula perpaduan.
Mageran memperkenalkan Rukun Negara, menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Perundingan Negara, melaksanakan Akta Hasutan dan Dasar Ekonomi Baru.
Pada 1 Februari 1970, Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya. Suruhanhaya Ibu Kota digantikan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang diketuai oleh Datuk Bandar, yang dilantik oleh kerajaan negeri.
Tun Razak dilantik sebagai perdana menteri pada September 1970. Mageran dibubarkan dan Parlimen dipulihkan pada 1971.
Di Dewan Rakyat, Perikatan hanya menang 74 daripada 144 kerusi. Mereka masih dapat membentuk kerajaan. Dewan Rakyat memerlukan 73 kerusi untuk sesebuah parti membentuk kerajaan. Maknanya Perikatan hanya mempunyai kelebihan satu undi.
Perak dan Selangor hampir jatuh kepada pembangkang jika mereka bersatu. Di Perak, Perikatan hanya memegang 19 kerusi. Pembangkang yang terdiri daripada Parti Progresif Rakyat (PPP) , DAP, Gerakan dan PAS memegang 21 kerusi tetapi mereka tidak bersatu.
Begitu juga dengan Selangor apabila Perikatan hanya memperoleh 14 kerusi, sama dengan pembangkang yang terdiri daripada DAP dan Gerakan, tetapi kedua-dua parti majoriti Cina itu tidak bersatu. Maka Perikatan mentadbir sebagai kerajaan minoriti di Perak dan Selangor.
Pada Februari 1974, kerajaan menubuhkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selangor memindahkan ibu kota negeri dari Kuala Lumpur ke Sungai Renggam yang ditukar namanya kepada Shah Alam pada 1978.
Bagaimanapun, Petaling Jaya yang sebelum ini berada dalam daerah Kuala Lumpur diserahkan kepada Selangor. Enam kawasan DUN Selangor diserahkan kepada Wilayah Persekutuan dan ia dimansuhkan. Wilayah Persekutuan hanya ada kawasan Parlimen.
Kawasan-kawasan DUN itu ialah Kepong (Gerakan), Kampong Bharu (Umno), Bukit Nanas (DAP), Pantai (DAP) dan Sentul (DAP).
Dengan penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Perikatan mengukuhkan kedudukannya di Selangor dan menghalang ia jatuh kepada DAP.
Maka, pentadbiran Wilayah Persekutuan termasuk DBKL diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Lebih penting lagi ialah penubuhan Wilayah Persekutuan boleh menyumbang kepada perpaduan kaum dan integrasi nasional. Ini kerana Wilayah Persekutuan ini bukan milik mana-mana negeri tetapi semua negeri dalam persekutuan Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah. Maka dari segi integrasi nasional, ia merupakan tempat pertemuan semua warga negara tanpa mengira asal negeri masing-masing.
Dari segi perpaduan, ia juga menjadi tempat pertemuan semua kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India, suku-suku Sarawak dan Sabah. Malah Wilayah Persekutuan bukan milik penduduknya, ia milik semua warga negara.
Walaupun majoriti penduduknya adalah Cina ketika itu tetapi Kuala Lumpur bukan kota milik Cina. Malah untuk itu Tun Razak menggalakkan orang Melayu berhijrah ke Kuala Lumpur.
Pada September 1974, BN menang besar dengan kebanyakan parti di negara ini menyertai gabungan itu: PAS, Gerakan, PPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO).
Dalam kabinet pertama BN, perdana menteri melantik Presiden SUPP, Ong Kee Hui sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan. SUPP adalah parti Cina utama Sarawak.
Dengan pelantikan itu, ia mengukuhkan gagasan bahawa Wilayah Persekutuan ini adalah milik semua kaum, dan semua negeri. Ong Kee Hui yang mewakili Cina Sarawak diberikan satu portfolio yang mencerminkan semangat nasional dalam federalisme.
Ong Kee Hui hanya menjadi menteri bagi Wilayah Persekutuan selama setahun (1974-1975). Beliau kemudian digantikan dengan Michael Chen dari MCA yang dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kampung Baharu yang turut bertanggung jawab atas Wilayah Persekutuan (1975-1976).
Maklumat ini saya tidak dapat peroleh dari Google dan Chat GPT. Saya memperoleh dari seorang penulis New Straits Times yang mendapatkannya dari New Straits Times, Bernama, Borneo Post dan Malay Mail.
Dari Internet termasuk portal rasmi kerajaan, Menteri Wilayah Persekutuan dimulakan dengan Hassan Adli, seorang pemimpin PAS dari tahun 1976 hingga 1978.
Sejak beliau sehinggalah tahun 2025, kesemua Menteri Wilayah adalah orang Melayu iaitu 14 dari UMNO, dua dari PKR, dua dari PBB, satu dari Angkatan Keadilan Rakyat (Akar), satu dari Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan satu dari Parti Amanah Negara. Kesemuanya dari BN kecuali PKR dan Amanah.
Jadi apabila Hannah Yeoh dari DAP dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, heboh dinyatakan bahawa inilah pertama kalinya seorang Cina menjadi menteri bagi Wilayah Persekutuan sedangkan sudah pernah ada dua orang menteri Cina menjaga Wilayah Persekutuan ketika mula-mula iaditubuhkan.
Nama rasmi jawatan Hannah Yeoh adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan sudah tidak ada lagi Kementerian Wilayah Persekutuan. Ia telah menjadi Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sebab itu ada pihak yang menyatakan bahawa kedudukan Hannah Yeoh diturunkan kerana menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ini tidak benar. Jawatan beliau adalah anggota kabinet dan tidak ada penurunan taraf. Malah dengan adanya heboh terhadap seorang Cina menjaga Wilayah Persekutian, maka portfolo ini tentulaj amat penting.
Ada pihak terutama di kalangan “pejuang” Melayu berasa bimbang bahawa Hannah Yeoh akan mengembalikan pilihan raya tempatan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Mereka bimbang pentadbiran Kuala Lumpur akan dikuasai oleh orang Cina jika pilihan raya tempatan diadakan dan selanjutnya meminggirkan orang Melayu.
Pertamanya, janji manifesto PH tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan Madani ini bukan kerajaan PH. Ia adalah kerajaan campuran PH-BN dan lain-lain. Umno berpendirian menolak diadakan pilihan raya tempatan. Maka apabila mereka menolak, DAP tidak akan dapat melaksanakannya.
Namun begitu, ketakutan orang Melayu terhadap pilihan raya tempatan bersifat historikal atau bersejarah. Pada masa awal diadakan dulu sememangnya pilihan raya tempatan didominasi oleh orang Cina terutama dari Parti Buruh dan Front Sosialis di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.
Tentulah ia menjadi begitu kerana pada masa itu majoriti penduduk bandar adalah orang Cina. Tetapi tidak sekarang. Banyak orang Melayu sudah tinggal di bandar.
Tetapi isu pilihan raya tempatan bukannya soal kaum. Ia adalah soal kebertanggungjawaban Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberikan perkhidmatan yang sewajarnya kepada para penduduk. Ini kerana selama ini, ahli majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri dianggap tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan.
Sewajarnya sudut pandangan yang perlu diambil adalah soal memperbaiki sistem supaya mendatangkan kebaikan kepada penduduk Wilayah Persekutuan, sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan.
Tetapi peranan Wilayah Persekutuan bukan kepada penduduk-penduduknya saja tetapi kepada seluruh warga negara Malaysia. Ini kerana Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah wilayah persekutuan. Ia bukanlah sebuah negeri tersendiri, dan kedudukannya berbeza daripada negeri-negeri atau wilayah Sarawak dan Sabah.
Lebih-lebih lagi ia mempunyai peranan mengukuhkan perpaduan kaum dan integrasi nasional serta tidak wajar diheret ke dalam sebarang politik perkauman.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.