'Ditakutkan pasal DAP atau duduk bawah tempurung selamanya'
Oleh Zulkifli Jalil
ASET, kekuatan dan daya tahan Malaysia kita akur terletak pada pembentukan kaum yang pelbagai. Namun, berbilang kaum ini di tahap meruncing jika tidak dipupuk setiap masa dengan prinsip penggabungan dan penerapan nilai sejagat.
Apatah lagi dengan bilangan pengguna internet negara menunjukkan peningkatan kepada lebih 25 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk negara ini.
Daripada jumlah itu, 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan peruntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial. Dengan kadar penembusan jalur lebar isi rumah meningkat kepada 85 peratus, manakala kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat hampir 70 juta langganan berlegar.
Penulis tidak mahir sepak terajang politik. Tetapi berharap ahli politik kerajaan dan pembangkang dapat mainkan peranan penting memupuk perpaduan dan keharmonian kaum dalam keadaan perbezaan ideologi serta fahaman. Atau dalam lingkaran tohmahan serta fitnah yang muncul.
Rakyat kita dengan perbezaan agama, bahasa dan warna kulit menjadikan masyarakatnya kaya dengan pelbagai budaya. Perbezaan inilah menjadi kekuatan. Bukan kelemahan dalam pembentukan bangsa Malaysia, unity in diversity (perpaduan dalam kepelbagaian).
Berwaspada
Meskipun ada cakap-cakap cabaran untuk Malaysia 2026 ini 'agak getir', namun paling utama negara perlu berwaspada setiap masa dalam menguruskan kerumitan berbilang kaumnya.
Dan politik bukanlah tempatnya yang mana nasib memainkan peranan terlalu besar. Dalam politik, pilihan kaedah 'pemandu-automatik' tidak membantu untuk mencapai kejayaan. Semua perkara harus dirancang dan dilakukan dalam kaedah manual hampir setiap masa.
Hari ini lisan barangkali tidak lagi berkata-kata. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak berkomunikasi. Lidah mungkin diam, tapi tangan sedang bingit 'berkata-kata'. Kita sekarang menjadikan media sosial sebagai medan perbualan. Berkomunikasi di Threads, Telegram, WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan bermacam-macam aplikasi muncul.
Pada zaman ini, apa yang diperingatkan mengenai bahaya lisan, bukan lagi lisan melakukannya. Pada akhir zaman, tangan ambil alih perbuatan lisan. Kecelaan tangan bukan lagi pada mencuri, merompak, memukul dan senarai klasiknya. Kecelaan tangan adalah pada tingkah lakunya sebagai penaip perkataan di alam tersebarnya qalam!
Peranan ahli politik
Edmund Burke dipetik daripada The Oxford Dictionary of Quatations (3rd. Edn.) 1980 memberi pengertian mengenai peranan ahli politik.
"Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia tuhan dan mematuhi pemikiran/munasabah (Every politician ought to sacrifice to the grace and to join compliance with reason). Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang kadangkala menyatakan politik itu adalah perkara sambilan bagi seseorang meminati bidang politik".
Di sebalik ini, adalah sesuatu yang benar untuk mengatakan Parlimen memberi kesan kepada kehidupan semua lapisan masyarakat rakyat Malaysia. Ia meluluskan tidak kurang 2,200 undang-undang utama melalui pelbagai akta di Parlimen dan pindaan mereka.
Dengan keahlian seramai 104 orang pada 1959, kini ia menjadi seramai 222 orang ahli mewakili parti kerajaan, pembangkang selain Bebas. Badan perundangan negara turut berjaya melalui sekurang-kurangnya dua Perisytiharan Darurat, 17 Yang di-Pertuan Agong dan 10 kepemimpinan Perdana Menteri.
Walaupun dengan pertukaran kerajaan UMNO-Barisan Nasional buat pertama kali sejak merdeka pada 9 Mei 2018 dan keadaan Parlimen mencerminkan satu manifestasi 'mudah tersinggung dan panas', demokrasi di Malaysia sebenar-benarnya wujud.
Menakut-nakutkan
Jadi, kalau masuk bab Melayu berpolitik, elok sangat sudah tiba masanya buang kaedah berpolitik mengguna ras, agama dan cara menakut-nakutkan. Perlu jiwa besar dan berani menongkah cabaran serta menyelesai risiko. Lihat DAP, mereka berani dan tidak pernah putus asa menarik dan menyertai musuh ketat politik parti itu sebelum ini.
Tetapi kalau parti Melayu sampai segenap segi daripada hal peribadi, ideologi hinggalah bab agama dan parti sering menakut-nakutkan sesama sendiri akan perihal 'DAP', malah terus tolak cabaran tanpa mahu berdepan selesaikan risiko, maka eloklah duduk di bawah tempurung selama-lamanya.
Parti politik yang cekap menilai untuk berubah mengikut arus global dunia masa kini ke arah kebaikan dan piawaian tinggi, akan terus relevan.
Robert D Kaplan dalam bukunya, Warrior Politics: Why Leadership Demands a Pagan Ethos mengingatkan, kekalutan dan kecelaruan pada abad ke-21 mungkin juga berbangkit daripada gerakan populis. Iaitu mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, dirangsang pula oleh kepercayaan agama dan sektarian atau taifah. Dan diperkasa oleh Revolusi pasca Perindustrian, terutama teknologi maklumat.
Waima apa pun, apabila perpaduan terhasil, bermakna pelabur akan mula mempercayai pasaran ekonomi negara yang menjadi stabil. Seterusnya mereka mula melakukan pelaburan ke negara ini.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.