Gerakan Gugat Presiden? 14 Pemimpin Bersatu Dipanggil Lembaga Disiplin
Seramai 14 pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti
Tindakan itu dipercayai berkaitan dengan isu disiplin termasuk gerakan kononnya untuk menjatuhkan kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Antara pemimpin yang dipanggil ialah dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Yunus Nurdin.
Selain itu, beberapa Ketua Bahagian terlibat antaranya Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd. Yunus Mohd. Yusof (Tapah); Kamaruddin Majid (Teluk Intan) dan Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru) serta Dr. Mohd Yadzil Yaakub (Jasin).
Pemimpin bahagian lain yang akan dipanggil menghadap Ahmad Nasir Mid (Selayang); Mohd. Hassuandi Hamzah (Larut) dan Abdul Aziz Ismail (Dungun) serta Ramlan Meon (Tangga Batu).
Turut dipanggil Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim dan Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar.
Menurut sumber, tindakan membawa 14 pemimpin parti menghadap Lembaga Disiplin didakwa sebagai langkah terdesak untuk menyekat pengaruh Hamzah yang dipercayai meningkat termasuk menerima sokongan kuat daripada akar umbi, ahli Parlimen di samping pelbagai aduan dari seluruh negara.
“Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha utama kepemimpinan parti bagi mengekang gerakan tersebut dan tidak menolak kemungkinan tindakan lebih keras akan diambil, termasuk penggantungan atau pemecatan.
“Namun, tindakan yang diambil dilihat agak keras dan tegas. Terdapat pihak yang berpendirian mempertahankan tindakan mereka dan enggan berkompromi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber turut memberitahu, perjumpaan khas ahli Parlimen dan Ahli Undangan Dewan Rakyat (ADUN) Bersatu yang berlangsung Ahad lalu di kediaman Muhyiddin bertukar kepada sambutan bulan Ramadan.
Menurut sumber, perubahan itu berlaku susulan kehadiran yang rendah apabila hanya 18 daripada 80 MP dan ADUN parti berkenaan hadir pada pertemuan tersebut.
“Kebanyakan mereka yang tidak hadir dikenal pasti sebagai penyokong kuat Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang tidak mahu beliau dipecat, malah didesak untuk mengambil alih jawatan Presiden Bersatu bagi menyelamatkan parti,” katanya.-UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.