Ketua Bahagian Johor Tolak Kepimpinan Muhyiddin
JOHOR BAHRU: Seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor mengisytiharkan telah hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kegagalan beliau menguruskan krisis dalam parti secara efektif.
Ketua Bahagian Tanjung Piai, Musa Khamis berkata, tindakan Lembaga Disiplin terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta beberapa individu lain dilihat bersifat melindungi kuasa presiden dan bukan atas dasar kepentingan parti.
Menurutnya, ia juga merupakan satu tindakan penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan parti.
“Keadaan ini menjejaskan imej dalam kalangan rakyat, sekaligus menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ahli akar umbi. Ia juga berpotensi merosakkan hubungan dengan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
“Selaku Presiden, Tan Sri Muhyiddin perlu mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan ahli dan membuka laluan bagi pembinaan semula parti yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Musa, pihaknya selaku Ketua Bahagian berharap kepimpinan tertinggi parti akan mengutamakan kepentingan parti secara keseluruhan berbanding agenda peribadi mana-mana pihak.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu telah mengeluarkan surat kepada Hamzah bagi memberi keterangan berhubung empat aduan termasuklah dakwaan beliau terlibat dalam komplot bagi menggagalkan usul mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti.
Hamzah bagaimanapun dijangka akan tetap dipecat daripada jawatan tersebut sama ada hadir atau tidak ke prosiding Lembaga Disiplin parti, Khamis ini. – UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.