Kelebihan strategik Kerajaan Perpaduan menuju penggal kedua
Oleh Liew Chin Tong
Peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memenangi penggal kedua kerajaan nampaknya cerah. Namun, ia bergantung kepada banyak perkara dan jika tersilap langkah, ia akan kecundang, malah cepat pula jatuhnya.
Politik Malaysia sudah memasuki pusingan akhir penggal Parlimen ini yang bakal terbubar automatik menjelang Disember 2027. Tiga negeri akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, iaitu Melaka menjelang Disember 2026, Sarawak (Februari 2027) dan Johor (April 2027).
Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini, manakala Parlimen boleh dibubarkan lebih awal bagi membolehkannya diadakan bersekali PRN Melaka dan Johor, jika itulah dirasakan perlu oleh Perdana Menteri.
Saya percaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), masing-masing gabungan kerajaan di negeri berkenaan, akan menang kebanyakan kerusi Parlimen. Dengan itu, melalui tulisan ini, saya ingin menumpukan faktor utama di Semenanjung yang akan mengimbangkan kedudukan politik Malaysia.
• Pertama: Benarkah ada 'gelombang hijau'?
Ada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung. Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang 71 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) pula 23 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Apa berlaku dalam PRU pada 2022 itu, BN mengalami kemerosotan sokongan. Dengan menolak gabungan lama pada PRU15 melalui pertandingan tiga penjuru, pengundi Melayu konservatif mengalih sokongan kepada PN, manakala Melayu moderat dan bukan Melayu memilih PH. Yang dikatakan gelombang hijau itu sebenarnya tidak wujud.
Bagi menghadapi PRU16, persoalan utama ialah sama ada PH dan BN, yang sekarang duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan, dapat mengelakkan daripada bertembung.
Pada PRU 2018 dan 2022, tiga gabungan bertanding merebut kerusi sama. Memang sukar mengajak mantan saingan duduk bersama, tetapi jika PH dan BN sanggup bekerjasama dalam PRU16, yang bakal kalah ialah PN.
• Kedua: Adakah PN sudah mencapai had kemuncaknya?
PN dengan gabungan utamanya PAS dan BERSATU, sudah mencapai kemuncaknya ketika PRN pada Ogos 2023, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
Ini kerana strategi utama PN adalah memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali sebagai Perdana Menteri dengan memimpin PN sebagai Kerajaan Persekutuan. Mereka yakin pengundi akan memilih PN.
Seperti kita tahu, keputusan PRN itu sekadar mengekalkan status quo. Strategi PN gagal, manakala bintang Muhyiddin kembali malap. Malah, BERSATU berpecah menjadi tiga fraksi antara kumpulan Muhyiddin; kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kumpulan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Krisis PN sudah tidak menjadi rahsia lagi dan sukar untuk mereka yang bertelagah kembali bersatu.
• Ketiga: Adakah PAS harapan masa hadapan Malaysia?
Ketika perebutan kuasa dalam PN berakhir dengan kejatuhan Menteri Besar PAS di Perlis digantikan BERSATU, PAS memaksa Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.
Setakat rencana ini ditulis, belum ada pengganti Muhyiddin. Sebaliknya, bukan sahaja kedua-dua parti terus bertelagah, malah ia melarat kepada perang mulut antara kumpulan dalam PAS sendiri.
Calon pengganti sesuai ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, walaupun sukar dipastikan sama ada kumpulan konservatif menguasai PAS dapat menerima beliau menerajui parti pada masa akan datang.
PAS menghadapi dilema serius. PAS dalam sifat dan bentuknya hari ini lahir daripada kebangkitan 'young Turk' atau golongan pemimpin muda parti pada 1982 apabila keseluruhan kepemimpinan lama ditendang keluar.
Generasi muda PAS ketika itu, termasuk presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ialah barisan hadapan parti terpengaruh dengan kebangkitan Islam di seluruh dunia, termasuk revolusi Iran 1979.
Idea mereka mengenai Islamisme global dan antinasionalisme Melayu, dengan menjadikan saingan politik mereka UMNO sebagai sasaran serangan, menjadikan parti semakin radikal sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an.
Menjelang alaf baharu, PAS mula mengubah kedudukan untuk memperlihatkan wajah sedikit moderat. Malah, ia menjadi sebahagian komponen Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR sepanjang 2008 hingga 2015.
Pengaruh Presiden PAS sukar menjalar
Bagaimanapun, apabila golongan konservatif tegar berjaya menolak keluar kumpulan moderat dalam parti, PAS kembali menjadi parti Melayu tradisional pra-1980-an, walaupun sifatnya kini lebih keras dan agresif, bermain dengan isu kaum.
Abdul Hadi memegang jawatan presiden PAS sejak 2002. Apabila menguasai sepenuhnya kepemimpinan atasan parti, pengaruhnya sukar menjalar ke dalam kalangan orang Melayu moderat dan susah untuk diterima, malah ditakuti kaum bukan Melayu.
Kesan sosial dan global juga pesat berubah. Gerakan Ikhwanul Muslimin di Asia Barat yang menjadi ikutan politik PAS dilumpuhkan, manakala rujukan PAS dalam hal ehwal sosial, budaya dan agama, termasuk Arab Saudi yang semakin terbuka dari sudut sosial, sudah tidak lagi sama seperti dahulu.
Isu seperti inilah yang akan menjadi topik perbahasan dalaman PAS apabila ia bersiap sedia untuk menghadapi PRU16.
• Keempat: Adakah akan wujud 'kuasa ketiga'?
'Kuasa ketiga' dalam bentuk gerakan popular rakyat atau parti politik baharu yang muncul untuk memberi impak besar di beberapa negara, tidak banyak memberi kesan dalam politik Malaysia.
Namun, ia pernah berlaku dan meninggalkan kesan besar seperti kemunculan DAP dan GERAKAN dalam PRU pada 1969 dan kemenangan besar PKR pada PRU dalam 2008 (walaupun selepas sedekad ditubuhkan pada 1999).
Mungkinkah watak politik seperti Datuk Seri Rafizi Ramli atau Khairy Jamaluddin akan lahir sebagai kuasa ketiga untuk 'menyerang' PH di bandar, di samping menjadi ancaman kepada DAP dan PKR dalam PRU akan datang? Sejujurnya, saya tidak akan menafikan kemungkinan ini.
• Kelima: Mungkinkah Gen Z akan menjadi gerakan 'anti-establishment'?
Kebanyakan kerusi PH dipegang sekarang dimenangi melalui tsunami politik PRU 2008, di samping beberapa lagi diperoleh pada PRU 2013. Sesetengah kerusi ini terasa seperti kubu PH. Cuma kalau terlalu yakin, ia mungkin tumbang.
Satu faktor mampu menjejaskan PH dan mengubah percaturan politik (kerana PH memerlukan kerusi kubu sebagai asas untuk mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri) adalah kemungkinan berlakunya bantahan 'anti-establishment' daripada Gen Z.
Seseorang warga dilahirkan pada 2008 berhak menjadi pengundi pada 2026 apabila usianya mencapai 18 tahun. Sama ada golongan muda ini sudah membuat pilihan politik atau tidak, berdasarkan isu yang menjadi keutamaan Gen Z di seluruh di dunia - pekerjaan, gaji dan mobiliti sosial serta fenomena kebangkitan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York - kita tidak boleh memandang rendah terhadap impak mereka.
Kesimpulannya, Perdana Menteri mempunyai kuasa membubarkan Parlimen boleh melaksanakannya pada bila-bila masa. Apabila kelebihan ini digabungkan dengan kemungkinan terjalin kerjasama pilihan raya PH-BN dan sebagai Kerajaan Perpaduan sekarang, jika dapat membentuk naratif dan dasar untuk memujuk warga bandar dan separa bandar, khususnya Gen Z, pada masa sama, PN terus bergolak dan reaksi pengundi tidak positif terhadap cara PAS berpolitik, maka PRU16 bakal memanfaatkan Anwar, sekurang-kurangnya 'di atas kertas'.
Penulis ialah Pengarah Strategik DAP




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.