https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pilihan Raya PBT: Reformasi Tulen atau Eksperimen Berisiko?


Oleh Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Perdebatan mengenai pelaksanaan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukanlah isu baharu dalam landskap politik Malaysia. Ia sering dikaitkan dengan usaha memperkukuh demokrasi tempatan dan meningkatkan akauntabiliti di peringkat akar umbi.

Namun, berdasarkan Kajian Pelaksanaan Pilihan Raya PBT oleh The Future Research (2024), perbahasan ini wajar dinilai secara lebih menyeluruh berasaskan bukti empirikal, perbandingan antarabangsa serta realiti sosiopolitik tempatan dan bukan semata-mata melalui lensa idealisme demokrasi.

Kajian ini merangkumi analisis sejarah pilihan raya tempatan, kerangka perundangan semasa, dapatan perbincangan kumpulan fokus bersama pakar akademik serta temu bual dengan wakil parti politik dan pengamal PBT.

Dapatan utama menunjukkan isu pilihan raya PBT bukan hanya berkisar kepada demokrasi prosedural, tetapi turut membabitkan aspek kestabilan tadbir urus, kos fiskal, keharmonian sosial serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Pada hemat penulis, dapatan ini penting kerana wacana awam mengenai pilihan raya PBT sering tertumpu kepada persoalan 'hak memilih', sedangkan persoalan lebih mendasar sejauh mana sesuatu sistem benar-benar meningkatkan kualiti kehidupan seharian rakyat kurang diberi perhatian.

Dalam konteks inilah kajian ini menawarkan sudut pandang lebih seimbang dan berpijak pada realiti tadbir urus.

Dalam sistem sedia ada, PBT beroperasi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Ahli majlis dilantik melalui mekanisme membabitkan parti politik, wakil masyarakat sivil dan golongan profesional.

Berdasarkan kajian The Future Research itu, walaupun sistem ini sering dianggap kurang demokratik dari sudut prosedural, ia menyumbang kepada kesinambungan dasar, penyelarasan pentadbiran serta pengurusan konflik politik di peringkat tempatan.

Kajian ini turut merujuk pengalaman antarabangsa sebagai perbandingan dasar.

Di Filipina, walaupun pilihan raya tempatan dilaksanakan secara meluas, ia sering dikaitkan dengan penguasaan politik keluarga dan persaingan sengit menjejaskan kualiti tadbir urus tempatan.

Di United Kingdom (UK) pula, meskipun kerajaan tempatan dipilih melalui pilihan raya, kuasa membuat keputusan mereka masih banyak dipengaruhi kawalan fiskal dan mekanisme penilaian prestasi ditetapkan kerajaan pusat.

Malah, dalam beberapa kes, persaingan pilihan raya mendorong kemunculan kepemimpinan populis yang menumpukan dasar jangka pendek tanpa disiplin fiskal mencukupi.

Kes seperti Birmingham City Council serta Nottingham dan Woking yang mengalami krisis kewangan serius hingga memerlukan campur tangan kerajaan Pusat, memperlihatkan pilihan raya tempatan tanpa kerangka institusi dan fiskal kukuh tidak semestinya menjamin tadbir urus lebih berkesan.

Kenal pasti empat pilihan tadbir urus

Berdasarkan analisis itu, kajian The Future Research mengenal pasti empat pilihan tadbir urus utama bagi pengurusan PBT di negara ini.

Pilihan pertama adalah melaksanakan semula pilihan raya PBT sepenuhnya. Walaupun berpotensi meningkatkan akauntabiliti politik, kajian mengenal pasti risiko seperti ketidakseimbangan demografi bandar-luar bandar, politiking berpanjangan di peringkat tempatan serta kemungkinan ketegangan sosial dalam masyarakat majmuk.

Pilihan kedua ialah pelaksanaan pilihan raya PBT secara separa. Walaupun sering dilihat sebagai pendekatan pertengahan, kajian mendapati kos pelaksanaan tinggi, potensi pertindihan peranan serta ketidakjelasan garis akauntabiliti menjadikannya kurang efisien dari sudut tadbir urus.

Pilihan ketiga pula adalah meletakkan pentadbiran tempatan sepenuhnya di bawah kerajaan negeri. Pendekatan ini menawarkan kelebihan dari segi penyelarasan dasar dan penjimatan kos, namun memerlukan mekanisme libat urus awam dan sistem semak imbang lebih kukuh bagi memastikan kepentingan komuniti setempat terus diwakili.

Berdasarkan keseluruhan dapatan, kajian ini mendapati pilihan keempat, iaitu mengekalkan sistem PBT sedia ada dengan penambahbaikan menyeluruh dari segi ketelusan, prestasi, integriti dan libat urus awam, menjadi pilihan paling sesuai dan realistik untuk Malaysia ketika ini.

Pendekatan ini membolehkan reformasi dilaksanakan secara berperingkat tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian sosial.

Pandangan ini seiring dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang menegaskan sebarang pertimbangan mengenai pelaksanaan pilihan raya PBT perlu mengambil kira kerangka Perlembagaan serta implikasinya terhadap kestabilan pentadbiran negeri.

Beliau berpandangan sistem sedia ada wajar ditambah baik secara berterusan tanpa memperkenalkan mekanisme baharu yang berpotensi mencetuskan ketidakselarasan antara PBT dengan kerajaan negeri.

Penulis juga menekankan realiti unik bandar besar seperti Kuala Lumpur yang bukan sahaja berfungsi untuk penduduk tetap, tetapi juga jutaan penduduk siang yang bergantung kepada ibu kota itu untuk bekerja dan mencari rezeki.

Justeru, sebarang pembaharuan tadbir urus bandar wajar menilai implikasinya terhadap semua kelompok yang menerima kesan langsung daripada pentadbiran bandar demi memastikan keadilan sosial dan keterangkuman.

Kebimbangan terhadap implikasi fiskal turut disentuh Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, yang berpandangan sumber awam perlu dimanfaatkan secara optimum untuk memperkukuh perkhidmatan asas seperti kebersihan bandar, pengangkutan awam dan penyelenggaraan infrastruktur.

Dalam keadaan ekonomi semasa, kecekapan dan impak kepada kesejahteraan rakyat wajar menjadi kayu ukur utama reformasi.

Pendekatan pengukuhan institusi ini turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menegaskan keberkesanan pentadbiran bandar banyak bergantung kepada kekuatan sistem urus tadbir dan integriti institusi, bukan semata-mata kaedah pemilihan kepimpinan.

Kesimpulannya, mengekalkan sistem PBT sedia ada dengan penambahbaikan menyeluruh merupakan pendekatan paling pragmatik dan berimbang dalam konteks Malaysia.

Demokrasi berkesan wajar dinilai bukan sahaja melalui proses pemilihan, tetapi juga melalui keupayaan sistem untuk menyampaikan perkhidmatan awam secara cekap, stabil dan berimpak kepada rakyat.

Felo The Future Research

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.