https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rasuah ‘Ikan Kecil’, Mampukah Kerajaan Tundukkan ‘Ikan Besar’?


Oleh Fahmy A Rosli -

 "Nak tolong tak?" Selalunya soalan ini digunakan untuk menawarkan pertolongan kepada pihak memerlukan tetapi boleh berubah sebagai 'cara halus' meminta sogokan.

Berdasarkan video tular di media sosial baru-baru ini, memaparkan seorang pemandu ditahan anggota badan penguat kuasa kononnya didapati memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya.

Selepas memaklumkan kesalahan dilakukan pemandu itu, tiba-tiba terdengar anggota terbabit berkata 'nak tolong tak' sebagai tawaran dan penyelesaian untuk elak disaman.

Pemandu terbabit enggan menerima tawaran itu yang merujuk pemberian 'duit kopi' dengan memaklumkan kepada anggota terbabit untuk mengeluarkan saman kepadanya. Ada orang kata tawaran itu 'duit kopi'.

Isu 'duit kopi' begitu sinonim dengan anggota penguatkuasaan. Sekalipun disogok serendah RM50, soalnya bukan kecil ataupun besar jumlah itu, tetapi menunjukkan betapa mudahnya integriti penjawat awam dibeli.

'Duit kopi', tumbuk rusuk, wang tepi, duit bawah meja atau apa pun istilahnya, ia tidak sepatutnya menjadi normalisasi dalam sistem perkhidmatan negara.

Bayangkan, jika rasuah membabitkan 'ikan kecil' pun sukar ditumpaskan apatah lagi 'ikan besar'. Ini satu pandangan sinis apabila ada tanggapan undang-undang negara ini wujud tetapi sebenarnya lemah dari segi penguatkuasaan.

Terdapat keadaan lain jika undang-undang negara ini tegas kepada 'ikan kecil', timbul stigma lain pula apabila 'ikan besar' pula dibiarkan berleluasa. Stigma ini masih wujud sehingga kini.

Mutakhir, banyak 'ikan besar' diheret ke muka pengadilan atas dakwaan isu integriti dan rasuah. Bukan calang-calang nama kerana ada membabitkan pegawai tertinggi kerajaan, ahli perniagaan dan tidak terkecuali orang kanan kepada pemimpin negara.

Ini dilihat satu perkembangan sihat dan paling mustahak mencerminkan ketegasan kerajaan sekarang membanteras amalan rasuah tidak kira siapa mereka.

Sekalipun berlaku penyelewengan membabitkan sekecil-kecil perolehan bekalan kain pelikat, ia tetap isu jenayah kerana individu diberi tanggungjawab pecah amanah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui perkara ini berlaku selepas beliau dapati ada kelompok kecil dalam kalangan penjawat awam mengamalkan sikap meminta dan menerima rasuah.

Baru-baru ini, Perdana Menteri sempat 'mengamuk' dengan memberi amaran keras kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa dengan menetapkan tempoh seminggu untuk menyatakan kesediaan memikul amanah dan melakukan pembaharuan atau bersedia diturunkan ke jawatan lebih rendah, susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.

Lebih tiga tahun memimpin, konsistensi Anwar menggarap prinsip tatakelola baik dalam pentadbiran tidak lain bertujuan menangani pembaziran serta amalan rasuah yang berakar umbi sekian lama.

Tekankan tatakelola baik dalam khidmat awam

Boleh dikatakan hampir setiap hari, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan soal tatakelola yang baik dalam perkhidmatan awam. Dalam setiap majlis dihadirinya, beliau tidak muak mengulangi ketegasan dan peringatan kepada semua pihak, khususnya penjawat awam supaya tidak terjebak isu integriti seperti rasuah.

Bukan peringatan semata-semata, Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu tindakan tegas tanpa pilih kasih diambil terhadap kelompok terjebak isu integriti kerana beliau bimbang sekiranya tidak dibanteras bukan sahaja berisiko mencemarkan imej kerajaan MADANI dipimpinnya bahkan mengancam keselamatan negara.

Maka, kerajaan memperkenal agenda reformasi tatakelola melalui pembaharuan undang-undang termasuk Akta Perolehan Kerajaan 2025.

Ia bermatlamat meningkatkan integriti serta ketelusan urusan perolehan sekali gus mengurangkan ketirisan, rasuah selain memastikan penggunaan dana awam secara berkesan.

Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Disember 2025, turut diharap dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan birokrasi perkhidmatan awam, menerusi tindakan hukuman lebih tegas terhadap salah laku dalam perolehan kerajaan.

Pengenalan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti, ia menjadi garis panduan lebih jelas kepada kerajaan membasmi rasuah. Ini penting bagi melonjakkan kedudukan Malaysia ke dalam kelompok negara 25 teratas menjelang 2030.

Usaha membanteras rasuah bukan tugas silo kerana ia memerlukan daya gembleng komitmen semua pihak tanpa mengira berlainan fahaman politik.

Rakyat sudah matang untuk disuap propaganda murahan. Mereka tidak menuntut hukuman segera, tetapi menuntut proses adil dan tanpa pilih kasih.

Dunia luar memerhati. Pelabur dan rakan antarabangsa tidak menilai kita melalui ucapan, tetapi melalui keberanian menguatkuasakan undang-undang.

Negara yang serius melawan rasuah bukan negara senyap, tetapi sanggup menanggung risiko politik demi membersihkan sistem.

Namun, ketegasan ini tidak boleh bersifat 'bermusim'. Jika keberanian ini hanya muncul kerana kepentingan politik, maka reformasi akan dilihat sebagai sandiwara.

Memetik saranan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, tindakan besar-besaran mesti diambil bukan sahaja terhadap penerima rasuah, tetapi terhadap pemberi rasuah dan ejen selama ini kurang disentuh.

Maka, SPRM mesti mempercepatkan siasatan dan pendakwaan, tanpa pilih kasih dan tanpa kompromi selain memastikan tiada campur tangan politik atau tekanan luar yang melemahkan proses.

Penulis adalah Wartawan BH

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.