Ketua Bersekutu Johor Angkat Kaki
JOHOR BAHRU: Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang mengumumkan meletak jawatan serta keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta merta.
Beliau berkata, peletakan jawatan dan keahlian itu dibuat susulan telah kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya Tan Lek Khang dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersekutu Bersatu Negeri Johor, Ketua Bersekutu Bersatu Bahagian Labis dan melepaskan keahlian saya sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkuat kuasa serta merta.
“Peletakan semua jawatan dan keahlian ini adalah disebabkan kehilangan kepercayaan kepada tampuk kepimpinan tertinggi Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Lek Kang lagi, Ahli Parlimen Pagoh itu telah gagal menyelesaikan kemelut dalaman parti yang berlarutan sehingga saat ini.
Sebentar tadi, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan telah dipecat kerana didakwa mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kepemimpinan Muhyiddin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan memberitahu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin memutuskan bahawa Hamzah dipecat serta merta.
Beliau turut dilaporkan berkata tindakan tersebut susulan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu sudah melanggar Perlembagaan Bersatu.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.