Krisis Bersatu: Perebutan legitimasi dan pertaruhan masa depan
Oleh Dr. Awang Azman Awang Pawi
Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan taktikal, tetapi menjelma sebagai pertarungan terbuka mengenai legitimasi kepimpinan, hala tuju parti dan masa depan Perikatan Nasional (PN).
Pemecatan tokoh-tokoh kanan termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin memperlihatkan konflik ini bersifat struktural dan mendalam maka ia bukanlah sekadar episod sementara. Legitimasi dan survival politik
Secara asasnya, krisis ini berpunca daripada dua faktor utama, iaitu, persoalan legitimasi kepimpinan. Selepas kekalahan dalam pilihan raya umum lalu dan prestasi bercampur dalam beberapa pilihan raya negeri, tekanan terhadap kepimpinan parti semakin memuncak.
Dalam mana-mana parti politik, kekalahan atau kegagalan memperluas pengaruh akan membuka ruang kepada cabaran dalaman.
Dalam konteks Bersatu, tekanan itu tertumpu kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini menjadi Perdana Menteri dan pengasas parti. Situasi ini membuka peluang bagi pihak dalaman parti untuk cuba mengambil alih.
Kedua, pertembungan strategi masa depan. Terdapat perbezaan ketara antara kumpulan yang mahu pendekatan lebih konfrontatif sebagai blok pembangkang dan kumpulan yang melihat keperluan strategi lebih pragmatik termasuk kemungkinan rundingan taktikal dengan pihak lain menjelang pilihan raya akan datang.
Hamzah dilihat mewakili kelompok yang lebih fleksibel dan strategik, manakala kepimpinan sedia ada mahu mengekalkan disiplin serta kesatuan di bawah struktur sedia ada.
Faktor ketiga yang tidak boleh diketepikan adalah tekanan kes mahkamah dan persepsi awam. Bersatu terpalit dengan beberapa isu integriti yang memberi kesan terhadap keyakinan akar umbi.
Dalam politik, persepsi sering lebih kuat daripada realiti. Apabila imej parti terjejas, perebutan kepimpinan menjadi lebih sengit kerana masing-masing melihat keperluan ‘penstrukturan semula’ sebagai jalan keluar.
Jangkaan masa depan kumpulan Hamzah kini berada pada persimpangan strategik. Terdapat tiga kemungkinan utama.
Pertama, pembentukan blok bebas dalam Parlimen sebagai tekanan politik jangka pendek. Langkah ini memberi ruang rundingan dan fleksibiliti, namun dalam jangka panjang ia lemah dari segi jentera dan sumber.
Kedua, kembali kepada UMNO melalui saluran tertentu. Walaupun spekulasi ini berlegar, realitinya tidak mudah.
Politik UMNO sendiri sedang melalui fasa konsolidasi dan tidak semua kepimpinan UMNO bersedia menerima kemasukan tokoh besar yang berpotensi mengubah keseimbangan dalaman parti. Lebih-lebih lagi kerusi Gerik dan Larut misalnya menjadi tumpuan UMNO pada PRU akan datang.
Ketiga, pembentukan parti baharu dengan sokongan elemen tertentu dalam PN, khususnya jika terdapat persefahaman dengan Pas. Parti berbilang kaum dijangka ditubuhkan bagi melengkapkan sokongan bukan Melayu bagi sekutu utama Hamzah, iaitu Pas.
Daripada satu segi membuka pasaran politik dan memberikan pilihan kepada pengundi di negara ini, namun persaingan pasaran pengundi dengan Pakatan Harapan tidaklah mudah.
Secara realistik, pilihan paling pragmatik untuk kumpulan Hamzah adalah langkah interim iaitu membina kekuatan melalui jaringan akar umbi dan menunggu momentum politik yang lebih sesuai. Dalam politik, masa sering menjadi faktor penentu.
Nasib Muhyiddin dan kepimpinan sedia ada
Muhyiddin masih mempunyai kelebihan sebagai pengasas dan simbol awal parti. Namun kelebihan simbolik tidak semestinya menjamin kestabilan jangka panjang. Jika krisis ini gagal dikawal, Bersatu berisiko mengalami penghakisan perlahan yang melemahkan struktur parti dari dalam.
Tiga cabaran utama Muhyiddin adalah untuk memulihkan kesatuan dalaman. Tanpa konsensus elit parti, jentera akar umbi akan terkesan.
Yang kedua ialah mengurus hubungan dengan Pas. Pas kini mempunyai kedudukan lebih stabil dan tersusun dalam PN.
Jika Bersatu dilihat lemah, Pas berpotensi mengambil peranan dominan dalam blok pembangkang. Bersatu juga perlu meyakinkan pengundi atas pagar.
Krisis dalaman memberi gambaran ketidakstabilan, dan pengundi cenderung memilih blok yang kelihatan lebih stabil.
Jika Muhyiddin berjaya melakukan penstrukturan semula dengan kepimpinan baharu lebih inklusif, beliau mungkin dapat mengekalkan kawalan. Namun jika konflik berterusan, risiko perpecahan rasmi tidak boleh diketepikan.
IMPLIKASI kepada PN dan sekutu
Bagi PN, krisis Bersatu mempunyai implikasi langsung terhadap kestabilan blok pembangkang. Pas berada dalam kedudukan strategik.
Sekiranya Bersatu berpecah, Pas akan memperkukuh dominasi dalam PN dan juga akhirnya mahukan sekutu yang lebih kuat.
Sudah tentu, jika Hamzah membuka parti baharu dengan sokongan wakil rakyat dan penyokong yang lebih besar akan memudahkan kerjasama kerjasama Pas.
Perkara ini boleh berlaku terutama selepas pembubaran bagi berdepan PRU akan datang. Cuma, Pas perlu memikirkan untuk menyelesaikan isu sekutu dalam PN atau bubar PN kerana Bersatu pimpinan Muhiyiddin tidak akan bersetuju jika ini berlaku.
Unjuran Masa Depan
Dalam jangka pendek, krisis ini akan menurunkan moral dan melemahkan fokus politik Bersatu. Dalam jangka sederhana, sama ada parti itu berpecah atau berjaya menstabilkan diri bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan mengurus krisis.
Secara lebih luas, krisis ini mencerminkan cabaran parti berasaskan personaliti dan bukan institusi yang kukuh. Tanpa mekanisme penggantian kepimpinan yang tersusun dan demokrasi dalaman yang matang, konflik kepimpinan mudah bertukar menjadi krisis berterusan.
Kesimpulannya, krisis Bersatu bukan sekadar perebutan jawatan, tetapi ujian terhadap kematangan politik parti tersebut. Masa depan kumpulan Hamzah bergantung kepada strategi dan jaringan politik yang bijak.
Nasib Muhyiddin pula bergantung kepada keupayaan beliau mengembalikan keyakinan dan bertindak lebih tegas terhadap penentangnya.
Faktor Azmin Ali juga boleh menjadi penentu membantu mengukuhkan kekuatan Bersatu. Jika gagal, sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa parti yang berpecah jarang kembali ke tahap kekuatan asalnya.
Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik di Universiti Malaya. Beliau kini ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.