https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin Perlu Segera Berundur!


Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk berundur sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran didakwa gagal menguruskan krisis dalaman parti sehingga dibiarkan berlarutan ke tahap yang mustahil dipulihkan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah itu dapat memulihkan dan membina semula kekuatan sebenar parti, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

“Lebih malang, beliau dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada memimpin parti pada masa hadapan.

“Sudah sampai masa Muhyiddin mempertimbangkan ber­undur daripada jawatan Presiden. Saya percaya hasrat murni kenyataan ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar, apatah lagi pendirian ini selari dengan intipati kenyataan beliau sendiri di Singapura pada 2008 terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Ronald, usaha mengheret Hamzah ke Lembaga Disiplin Bersatu hanya usaha Muhyiddin demi mengekalkan kuasa tanpa mengambil kira usaha memperkukuhkan parti.

Katanya, lebih membimbangkan apabila tindakan itu mengheret Ketua-Ketua Bahagian termasuk wakil rakyat yang menyokong Hamzah dan memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.

“Penyalahgunaan prosedur secara terdesak bagi menyekat suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.

“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar matlamat perjuangan sebenar dan seolah-olah perjuangan hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin dan melindungi kelompok pemimpin tertentu,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.