https://critoxium.com/shop/

Terkini

RM10 Juta Untuk Pengkhianat Bersatu — Sumpah Lama Kini Jadi ‘Bom’ Politik


Semua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat daripada parti itu perlu membayar denda sebanyak RM10 juta.

Perkara itu berdasarkan dokumen lafaz baiah dan sumpah yang didakwa telah ditandatangani oleh semua wakil rakyat terbabit sebelum ini.

Dalam perenggan ketiga dokumen berkenaan dinyatakan secara jelas mengenai penalti kewangan terhadap mana-mana penandatangan yang melanggar janji berkenaan.

Melalui dokumen itu, penandatangan berikrar untuk mele­takkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara sekiranya mereka keluar atau dipecat daripada parti.

Selain itu, mereka juga bersetuju untuk membayar RM10 juta kepada Bersatu dengan serta-merta sekiranya melanggar baiah berkenaan.

Difahamkan, ketetapan itu bertujuan menghalang perbuatan melompat parti atau mengkhianati mandat dalam kalangan wakil rakyat parti itu khususnya dalam kea­daan landskap politik yang se­ring menyaksikan perubahan sokongan.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, beliau merupakan individu yang telah membuat draf baiah tersebut.

Katanya, baiah itu dibuat dengan persetujuan keseluruhan ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi (MPT) susulan tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Ia termasuklah tindakan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada tahun 2024.

Begitu juga dengan tindakan beberapa ahli Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023.

“Memang saya yang draf dan MPT yang lain bersetuju termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung parti,” katanya.

Razali berkata, hampir ke­semua wakil rakyat Bersatu telah menandatangani dokumen berkenaan dan kemudian dakwanya telah disimpan oleh Hamzah.

“Hampir kesemua menandatangani surat tersebut termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya masih ingat Tan Sri sempat bergurau, siapa yang tidak mahu tandatangan, ada simpan niat hendak lompat parti,” katanya.

Tambah beliau, setiap daripada wakil rakyat yang menandatangi dokumen lafaz baiah dan sumpah itu berada dalam keadaan waras dan bukan dipaksa.

“Memang dalam bai’ah itu menyebut siapa yang dipecat atau keluar parti perlu membayar RM10 juta.

“Mereka yang tandatangan perlu melafazkan ikrar tersebut dalam keadaan waras dan bukan secara paksa. Jadi seharusnya mereka perlu membayar jumlah yang ditetapkan di dalam baiah tersebut kerana sudah dipecat,” katanya.

Baru-baru ini, Bersatu memecat empat orang Ahli Parlimennya diketuai bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan.

Sebelum ini, Ketua Penera­ngan Bersatu, Datuk Tun Fai­sal Ismail Aziz mengingatkan pe­mimpin yang telah me­ninggalkan parti itu me­ngenai sumpah dan baiah yang yang telah ditandata­ngan. Kata beliau, selain dilaknat Allah dan Rasul mereka yang melanggar sumpah dan baiah itu juga berdepan bayaran pampasan RM10 juta kepada Bersatu.-UTUSAN.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.